HUKUM HAKAM BERKAITAN TANAH PERKUBURAN - SEKAPUR SIREH

Alhamdulillah, dipanjatkan rasa kesyukuran yang tidak terhingga ke hadrat Allah SWT diatas limpah dan rahmatnya buku kecil, Hukum-hakam Berkaitan Tanah Perkuburan ini dapat diterbitkan oleh Tabung Penyelenggaran Tanah Perkuburan Islam Sungai Merab atau singkatannnya Tabung TAPIS Sungai Merab dengan kerjasama Masjid Al-Istiqamah Sungai Merab.

Tabung TAPIS ini yang pada awalnya diwujudkan untuk mengumpul dana untuk kerja-kerja penambakan dan menaiktaraf tanah perkuburan Islam Kampung Sungai Merab, mengambil satu lagi langkah proaktif dengan menerbitkan buku panduan kecil “HUKUM HAKAM BERKAITAN TANAH PERKUBURAN” ini. Buku ini lahir dari kesedaran bahawa pengurusan tanah perkuburan mestilah dibuat secara lebih professional dan yang lebih penting lagi menepati kehendak syarak.

Menjadi lumrah masyarakat kita khususnya orang Melayu untuk meniru sesuatu yang dilihat secara mata kasarnya indah dan cantik. Kita tidak pernah cuba mencari dan mengkaji apakah perbuatan dan perkara yang ditiru itu dibenarkan oleh syarak atau sebaliknya. Dan yang lebih buruk lagi ada diantara kita yang menempelak jika ada orang berilmu yang menegur perbuatan kita hanya dengan alasan perkara atau
perbuatan itu adalah lumrah dan ramai yang membuatnya.

Sesungguhnya harapan yang sangat tinggi diletakkan diatas penerbitan buku ini. Ia
diharapkan akan dapat menjadi panduan kepada seluruh orang-orang Islam khususnya di persekitaran Sungai Merab ini perkara-perkara yang dibenarkan dan tidak
dibenarkan oleh agama berkaitan dengan tanah perkuburan. Mungkin kita selama ini menurut dan meniru perbuatan orang lain tanpa ilmu. Kita tidak sedar bahawa
perbuatan kita itu sebenarnya menyalahi hukum. Ada antara kita yang sanggup berbelanja besar untuk menghias kubur kaum keluarga sebagai kononnya tanda kasih sayang. Mungkin juga ada antara kita yang mengambil mudah dengan duduk atau
bersandar ditepi kuburan tanpa mengetahui hukumnya.

Buku ini yang dilahirkan dari kertas kerja yang dibuat oleh Ustaz Dr Udah Mohsin, telah dimuzakarahkan oleh beberapa orang ahli panel. Hasil daripada muzakarah inilah, akhirnya buku kecil ini diterbitkan. Jawatankuasa Tabung TAPIS dan Masjid Al-Istiqamah mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga kepada semua ahli panel yang terlibat.

1    Ustaz Dr. Mudasir bin Rosder
Ustaz Dr Hasnan bin Kasan 
Ustaz Hj Mohamed Sain bin Ithnin
Ustaz Md Nasrin bin Hj Mutti
Ustaz Hj Zulkifli bin Dahlan

Juga terima kasih kepada Tuan Hj Abd. Halim bin Mt Esa, Pegawai Agama Daerah Sepang yang telah turut serta hadir dan memberi pandangan untuk menambahbaik kertas kerja yang dibentangkan.

Ahli Jawatankuasa Tabung TAPIS dan Masjid Al-Istiqamah juga ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua penyumbang dan penderma. Jumlah sumbangan yang kami terima sangat menggalakkan sehinggakan kami tidak memerlukan sebarang bantuan dari pihak kerajaan untuk menjayakan projek ini. Kami percaya bahawa setiap dermawan mahu melihat kejayaan projek ini dan pastinya mereka mahu saham akhirat ini digunakan sepenuhnya.

Kepada sahabat-sahabat yang bertungkus-lumus menjayakan projek ini, samada dari segi masa, tenaga dan wang ringgit, kami ucapkan terima kasih. Hanya Allah jua yang mampu membalas jasa tuan-tuan dan puan-puan.

Akhirnya kepada semua pihak yang memberi sokongan dan bantuan kepada projek ini, Tuan Pegawai Daerah Sepang, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Sepang, Polis, JKR Daerah Sepang, Jabatan Parit dan Saliran Daerah Sepang, Pejabat Agama Daerah Sepang dan semua yang terlibat, kami mengucapkan terima kasih. Semoga semua usaha kita mendapat keberkatan dan memberi manafaat kepada kita dihari kemudian.


Jawatankuasa Tabung TAPIS Sungai Merab
Jawatankuasa Masjid Al-Istiqamah Sungai Merab
Oktober 2009