HUKUM HAKAM BERKAITAN TANAH PERKUBURAN - MUKADIMAH PENGARANG

OLEH DR UDAH MOHSIN

بسم الله الرحمن الرحيم
الحمد لله رب العالمين، والصلاة والسلام على سيدنا محمد وعلى آله وصحبه أجمعبن.

Setiap manusia akan mati. Apabila dia mati maka bagi orang Islam wajiblah dimandikan, dikapankan, disembahyangkan dan seterusnya dikuburkan. Mungkin ada sesetengah orang, dia hendak keluarganya dikuburkan di sebahagian tempat tertentu, tidak bercampur dengan orang lain. Dari sini timbullah kawasan ini keluarga aku, dan kawasan ini keluarga engkau. Mungkin ada juga orang yang hendak supaya kuburnya atau kubur bapanya atau keluarganya itu mempunyai kawasan yang lebih besar dari kubur orang lain.

Setelah seseorang itu dikuburkan maka dia akan ditimbus kemudian akan diletakkan nisan, ada yang batu dan ada yang kayu. Setelah itu ada yang mendirikan dinding, ada yang batu dan ada yang kayu, dan ada yang memasang mozek supaya kubur itu kelihatan cantik.  Itulah tanda kasih si waris kepada bapa, ibu atau keluarganya.

Ada yang menulis nama si mati dan ada juga yang menulis ayat al-Quran seperti Surah al-Fatihah atau lainnya. Mungkin ada juga orang yang memasang lampu di atas kubur. Lebih dari itu ada yang mendirikan tempat sembahyang dan tempat membaca al-Quran di atas kubur supaya orang yang datang bolah membaca al-Quran dan sembahyang di situ.

Bagi orang yang datang menziarahi kubur pula ada lelaki dan ada perempuan, ada yang menutup `aurat dan ada yang tidak. Mungkian ada di antara mereka ada yang duduk di atas kubur atau ada yang bersandar kepadanya. Mungkin ada juga orang yang memijaknya. Mungkin juga ada orang yang menziarahi kubur hanya pada masa-masa yang tertentu sahaja seperti selepas sembahyang hari raya atau sebagainya. Ada yang faham mengenai adab-adab menziarahi kubur dan ada yang tidak.

Oleh itu dalam tulisan ini penulis akan cuba memperkatakan perkara-perkara tersebut berpandukan kepada nas-nas yang berkaitan, pandangan ulama mengenainya dan akhirnya penulis cuba memberi pendapatnya jika perlu.

Udah bin Mohsin.
Lot 5889, Jalan Ikram
Sungai Merab Luar
4300 Kajang Selangor.