HUKUM HAKAM BERKAITAN TANAH PERKUBURAN 1

OLEH DR UDAH MOHSIN

1.  Takrif kubur dan tanah perkuburan

 Kubur ialah tempat menanam mayat, atau lubang (liang) di tanah tempat menanam mayat. (Kamus Dewan 2005, 837, Sulayman bin Muhammad al-Bujayirimi  t.t  6:150)
Tanah perkuburan pula ialah tanah lapang atau kawasan tempat menguburkan orang-orang yang telah mati. (Kamus dewan 205, 838, )


2.  Hukum mengkhususkan tanah kubur untuk diri dan keluarga.

Tanah perkuburan yang diwakafkan untuk orang ramai maka semua orang Islam adalah berhak untuk dikuburkan di mana jua di kawasan perkuburan itu. Oleh itu seseorang itu tidak boleh mengkhususkan dirinya dan keluarganya untuk dikuburkan di kawasan yang tertentu.  ( Fatwa al-Syikh Muhammd Bakhit, 1338 H.Mufti Masir)                                   
Pandangan penulis: Tanah perkuburan Sungai Merab adalah tanah perkuburan awam, kawasannya tidak berapa luas, penduduknya semakin hari semakin bertambah dengan pesatnya. Oleh itu seseorang itu tidak boleh mengkhususkan dirinya dan keluarganya di tempat yang tertentu. Kadar kawasan kuburnya juga tidak boleh  melebihi kadar kebiasaan bagi seseorang itu.   
   
3.  Hukum meninggikan kubur seseorang dan membina di atasnya.

Maksud tajuk ini ialah hukum meninggikan tanah yang ada di atas sesuatu kubur dari permukaan tanah dan hukum membina sesuatu di atas kubur. Untuk membincangkan tajuk ini marilah kita memahami nas-nas berikut:

عَنْ أَبِى الْهَيَّاجِ الأَسَدِىِّ قَالَ قَالَ لِى عَلِىُّ بْنُ أَبِى طَالِبٍ أَلاَّ أَبْعَثُكَ عَلَى مَا بَعَثَنِى عَلَيْهِ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم أَنْ لاَ تَدَعَ تِمْثَالاً إِلاَّ طَمَسْتَهُ وَلاَ قَبْرًا مُشْرِفًا إِلاَّ سَوَّيْتَهُ.(صحيح مسلم ، الجنائز : سنن الترمذى، الجنائز)
المشرف المرتفع عن الأرض

                 
Bermaksud: Daripada Abu al-Hayyaj al-Asadi katanya, Ali bin Abu Talib berkata kepada aku, tidakkah aku mengutusmu sebagaimana Rasulullah s.a.w.mengutus aku, bahawa tiada sebarang berhala kecuali engkau hapuskannya, dan tiada sebarang kubur yang tinggi dari permukaan bumi kecuali engkau ratakannya.

Hadith di atas menegah dari meninggikan sesuatu kubur yang menjadikannya lebih tinggi dari permukaan tanah. Dengan perkataan lain, suruhan supaya tanah tambak kubur seseorang itu tingginya sama dengan permukaan tanah.

Nas yang lain pula ialah sabda Rasulullah s.a.w.

عَنِ الْقَاسِمِ قَالَ دَخَلْتُ عَلَى عَائِشَةَ فَقُلْتُ يَا أُمَّهْ اكْشِفِى لِى عَنْ قَبْرِ النَّبِىِّ -صلى الله عليه وسلموَصَاحِبَيْهِ رضى الله عنهما فَكَشَفَتْ لِى عَنْ ثَلاَثَةِ قُبُورٍ لاَ مُشْرِفَةٍ وَلاَ لاَطِئَةٍ مَبْطُوحَةٍ بِبَطْحَاءِ الْعَرْصَةِ الْحَمْرَاءِ قَالَ أَبُو عَلِىٍّ يُقَالُ إِنَّ رَسُولَ اللَّهِ -صلى الله عليه وسلم- مُقَدَّمٌ وَأَبُو بَكْرٍ عِنْدَ رَأْسِهِ وَعُمَرُ عِنْدَ رِجْلَىْ رَسُولِ اللَّهِ -صلى الله عليه وسلم-. (سنن أبى داود، الجنائز(
اللاطئة غير المساوية للارض وليست بالمرتفعة

Bermaksud: Daripada Qasim katanya, aku masuk menemui `Aisah, kataku: Wahai ibu! Terangkan kepadaku mengenai kubur Nabi s.a.w. dan dua orang sahabatnya r.a.`. lalu `Aishah menerangkan kepada aku mengenai tiga kubur, tidak tinggi dan tidak rendah yang lebih tinggi dari bumi, rata dengan bumi, tanahnya berwarna merah.

Hadith di atas jelas menunjukkan bahawa kubur Rasulullah, s.a.w., Abu Bakr  dan Umar adalah rata dengan bumi. Hadith lain yang ada kaitan dengan tajuk di antaranya ialah:

عَنْ جَابِرٍ قَالَ نَهَى رَسُولُ اللَّهِ -صلى الله عليه وسلم- أَنْ يُجَصَّصَ الْقَبْرُ وَأَنْ يُقْعَدَ عَلَيْهِ وَأَنْ يُبْنَى عَلَيْهِ.
(صحيح مسلم، الجنائز

Daripada Jabir katanya: Rasulullah s.a.w. menegah bahawa dikeraskan tanah kubur (disimin), duduk di atas kubur dan dibina  di atas kubur.

Hadith di atas adalah menegah membina sesuatu di atas kubur dan mengeraskan tanah kubur. (menyimin)

Hadith lain mengenai perkara ini ialah

عَنْ أَبِى هُرَيْرَةَ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ - صلى الله عليه وسلم - قَالَ « قَاتَلَ اللَّهُ الْيَهُودَ اتَّخَذُوا قُبُورَ أَنْبِيَائِهِمْ مَسَاجِدَ » . (صحيح البخارى، الصلاة (

Bermaksud: Daripada Abu Hurayrah r.a.`. bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: Allah membunuh orang Yahudi, mereka telah menjadikan kubur para anbiya mereka sebagai masjid   

Hadith di atas menjelaskan larangan keras membina masjid atau tempat sembahyang di atas kubur.

Nas lain yang penting juga di dalam masalah ini ialah:

عَنْ سُفْيَانَ التَّمَّارِ أَنَّهُ ُ رَأَى قَبْرَ النَّبِىِّ – صلى الله عليه وسلم – مُسَنَّمًا (صحيح البخارى، الجنائز)
المسنم المرتفع

Bermaksud: Daripada Sufyan al-Tammar bahawasanya beliau melihat kubur Nabi s.a.w. membonggol.

Sufian al-Tammar adalah seorang yang bertemu dengan sighar al-tabi`in. Beliau adalah salah seorang yang thiqah. (Ibn Hajar 1325, 4: 109)

Athar di atas menunjukkan bahawa kubur Rasulullah s.a.w. adalah membonggol, tidak rata.

Dari hadith-hadith yang telah dipaparkan menunjukkan kepada larangan membina apa sahaja di atas kubur sebagaimana yang dijelaskan oleh hadith Jabir yang diriwayatkan oleh Muslim. Dilarang membina masjid atau tempat sembahyang di atas kubur sebagaimana hadith Abu Hurayrah yang diriwayatkan oleh al-Bukhari. Apa yang disuruh ialah supaya kubur itu rata dengan bumi sebagaimana hadith Ali yang diriwayatkan oleh Muslim. Kubur Rasulullah s.a.w., Abu bakr dan Umar adalah rata dengan bumi sebagaimana hadith `Aisah yang diriwayat oleh Muslim dan al-Tirmidhi.

Larangan membina sesuatu di atas kubur itu asasnya adalah untuk menjaga akidah dari berlaku sesuatu yang boleh membawa kepada syirik. Ia adalah sebagai pencegah dari berlaku sesuatu yang merosakkan akidah iaitu yang disebut sebagai shadd al-dhari`ah

Dengan ini perbelanjaan harta untuk perkara ini adalah pembaziran. Dari hadith-hadith di atas juga menunjukkan kepada larangan mengeraskan tanah kubur. Dizaman ini bahasa yang mudahnya ialah disimin, apatah lagi diletakkan batu mar-mar, mozek dan sebagainya.

Persoalan yang timbul ialah athar yang di bawa oleh al-Bukhari yang dikatakan oleh Sufyan al-Tammar yang merupakan seorang atba` tabi`in yang menyatakan bahawa kubur Rasulullah adalah membonggol, yang telah berubah dari keadaan yang sebelumnya. Asalnya rata. Perkara ini berlaku setelah dinding kubur itu menurun di zaman al-Walid bin Abd al-Malik, ada juga yang mengatakan di zaman Umar bin Abd al-Aziz, kemudian kubur itu dibetulkan. ( Sunan al-Kubra Li al-Bayhaqi, Kitab al-Janaiz). Kubur itu dibetulkan, setelah dibetulkan keadaannya tidak seperti asal, rata, tetapi membonggol.

Pandangan ulama mengenai:

1.  Membina sesuatu di atas kubur

Menurut al-Shafi`I: Ditegah membina sesuatu di atas kubur apatah lagi jika tanah perkuburan itu bukan miliknya maka ia adalah haram.  Menurut al-Mawardi: Tidak harus (haram) membina sebarang binaan di atas kubur jika tanah kubur itu bukanmiliknya kerana Rasulullah s.a.w. menegah dari membina sesuatu di atas kubur dan kerana menyempitkan yang lain. (al-Mawardi 1414 H., 3: 27)  Kata al-Nawawi: Membina di atas kubur, jika kubur itu miliknya sendiri adalah makruh, Jika kubur itu untuk awam maka hukumnya adalah haram. Inilah yang dinaskan oleh al-Shafi`i dan sahabat-sahabat (dalam mazhab al-Shafi`i) (al-Nawawi1392, 7: 27) Sheikh al-Islam Ibn Hajar al-Haytami telah ditanya tentang pendapat al-Imam al-Ghazali dan lain-lainnya yang mengharuskan membina di atas kubur ulama, mashayikh dan orang-orang soleh, bahkan ada yang mengatakan ia adalah satu perkara yang disukai (istihbab). Ibn Hajar al-Haytami menjawab: Yang dinukil yang mu`tamad ialah yang diputuskan (jazam) oleh al-Nawawi dalam Sharah al-Muhadhadhab: Haram membina pada perkuburan yang musabbalah. Jika dibina hendaklah diruntuhkan. Tiada beza di antara kubur orang soleh, kubur ulama’ dan lainnya. Sesuatu pendapat yang bertentangan dengan ini adalah lemah. Yang dimaksudkan dengan musabbalah ialah tanah perkuburan yang biasanya orang ramai di kawasan itu dikuburkan di situ. (Tanah perkuburan awam). Adapun tanah perkuburan milik khas jika dibina di atasnya tanpa izin tuannya hukumnya haram dan hendaklah dirobohkan, sekalipun kubur itu kubur orang alim atau orang soleh. (Ibn Hajar al-Haytami t.t. 2: 12). Manakala pengarang Subul al-Salam berpendapat: Perbuatan itu adalah haram kerana asal larangan adalah haram. (Muhmammad Ismail al-San`ani, (1379 H. 2).

Pandangan penulis: Tanah perkuburan kita adalah tanah perkuburan untuk orang awam. Oleh itu haram membina sesuatu di atas kubur.

2.  Meninggikan kubur dari permukaan tanah

Kata al-Bayhaqi: Hadith al-Qasim bin Muhammad di dalam perkara ini adalah yang lebih sahih dan yang sepatutnya diterima, tetapi setengah ahli ilmu dari mazhab kita (shafi`iyyah)  pada zaman ini, menyukai (istahabba) untuk membonggolkan kubur kerana ia adalah harus dengan ijma’, dan meratakan kubur telah menjadi si`ar bagi ahli bid`ah. (Sunan al-Bayhaqi, Kitab al-Janaiz) al-Tirmidhi ketika meriwayatkan hadith Ali di atas iaitu yang menyuruh meratakan kubur berkata: Sesetengah ahli ilmu beramal dengan hadith ini. Mereka benci (yakrahun) bahawa ditinggikan kubur dari permukaan bumi.  Kata al-Shafi`I: Aku benci (akrah) untuk ditinggikan kubur kecuali sekadar diketahui ia sebagai kubur supaya tidak dipijak dan diduduki. (Sunan al-Tirmidhi, al-Janaiz

Pandangan penulis: Sebaik-baiknya kubur itu adalah rata dengan permukaan bumi kerana itulah yang disuruh oleh Rasullah s.a.w. dan yang dilakukan kepada kubur Baginda diperingkat awal, juga kepada kubur Abu Bakr dan Umar. Walaubagaimanapun harus ditinggikan kubur itu dari permukaan bumi sekadar untuk diketahui ia sebagai kubur. Berlebih-lebihan pada meninggikan sesuatu kubur dari permukaan tanah adalah ditegah.

3.  Menyimin kubur

Maksudnya di sini ialah   - أَنْ يُجَصَّصَ الْقَبْرُ

al- jass  adalah sejenis batu yang hampir seperti kapur atau seperti simin bercampur pasir.(`Atiyyah Muhammad Salim 21/121 ). Dengan lain perkataan mengikut bahasa yang mudah di zaman ini ialah menyimin kubur. Al-Imam al-Shafi`I menegah dari menyimin kubur. Kata al-Mawardi: Menyimin kubur adalah ditegah sama ada tanah perkuburan itu miliknya atau bukan. (al-Mawardi 1414 H., 3: 27) Kata al-Nawawi: Makruh menyimin kubur.  (al-Nawawi1392, 7: 27). 

Pandangan penulis: Menyimin kubur adalah dilarang. Sekurang-kurangnya perbuatan itu adalah makruh, tetapi ada juga yang mengatakan haram. Jika menyimin itu ditegah maka meletakkan batu-batu  yang bernilai di atasnya adalah lebih ditegah lagi. Sama dengan ini juga memasang mozek atau sebagainya di atas kubur. Ini semua adalah merupakan bentuk pembaziran yang telah ditegah oleh syara`                                   

 .....bersambung siri 2