TAFSIR SURAH AL-ASR

USTAZ DR UDAH MOHSIN
Masjid al-Istiqamah Sg Merab



بسم الله الرحمن الرحيم


وَالْعَصْرِ (1) إِنَّ الإنْسَانَ لَفِي خُسْرٍ (2) إِلا الَّذِينَ آمَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ وَتَوَاصَوْا بِالْحَقِّ وَتَوَاصَوْا بِالصَّبْرِ (3)

Bermaksud: Demi masa, bahawasanya manusia itu sesungguhnya di dalam kerugian, kecuali mereka yang beriman dan beramal salih, mereka yang berpesan-pesan dengan kebenaran dan mereka yang berpesan-pesan dengan kesabaran                                                                                                         .

Di dalam ayat di atas Allah telah bersumpah dengan masa. Allah bersumpah itu, menunjukkan perkara itu adalah  amat penting, yang kita semua sebagai hamba-Nya mesti mengambil perhatian. Setelah Allah bersumpah dengan masa, lalu Allah menjelaskan, bahawasanya manusia itu berada di dalam kerugian, kecuali, iaitu yang tidak rugi, mereka ialah orang yang beruntung. Yang beruntung itu  ialah orang-orang yang beriman, beramal salih, berpesan-pesan dengan kebenaran dan berpesan-pesan dengan kesabaran. Oleh itu, selain dari mereka yang mempunyai ciri-ciri di atas adalah rugi.                  

Kita semua tidak mahu rugi, bahkan kita semua hendak mencari keuntungan. Orang yang beruntung ialah yang mendapat kebahagian di dunia dan akhirat. Inilah yang sentiasa kita do`akan dengan melafazkan:                                   

رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً وَفِي الْآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ (201)  [البقرة : 201 ، 202]

Bermaksud: Wahai Tuhan kami berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan peliharalah kami dari azab neraka.

Ciri-ciri orang yang beruntung sebagaimana yang diterangkan oleh ayat al-Quran di atas, pertama ialah beriman. الحمد لله    kita semua telah beriman, dan kita semua hendaklah bersyukur di atas nikmat yang amat agong ini,  kerana orang yang tidak beriman iaitu orang kafir dia akan kekal di dalam neraka.

Firman Allah:

) إِنَّ الَّذِينَ كَفَرُوا مِنْ أَهْلِ الْكِتَابِ وَالْمُشْرِكِينَ فِي نَارِ جَهَنَّمَ خَالِدِينَ فِيهَا أُولَئِكَ هُمْ شَرُّ الْبَرِيَّةِ (6) [البينة : 6]

Bermaksud:  Bahawasanya mereka yang kafir dari kalangan Ahli Kitab dan musyrikin adalah dalam neraka jahanam, mereka kekal di dalamnya. Mereka adalah sejahat-jahat manusia.

 Firman-Nya lagi :

وَمَنْ يَعْصِ اللَّهَ وَرَسُولَهُ فَإِنَّ لَهُ نَارَ جَهَنَّمَ خَالِدِينَ فِيهَا أَبَدًا  [الجن،:

Bermaksud: Dan sesiapa yang derhaka kepada Allah dan rasul-Nya, maka sesungguhnya baginya neraka jahannam mereka kekal selama-lama di dalamnya.

Firman-Nya lagi:

إِنَّ اللَّهَ لَعَنَ الْكَافِرِينَ وَأَعَدَّ لَهُمْ سَعِيرًا (64) خَالِدِينَ فِيهَا أَبَدًا لَا يَجِدُونَ وَلِيًّا وَلَا نَصِيرًا [
(سورة الأحزاب ، 33: 64-65)

Bermaksud: Bahawasanya Allah melaknat orang-orang kafir dan menyediakan untuk mereka neraka sa`ir, mereka kekal di dalamnya selama-lama, mereka tidak dapat pelindung dan mereka tidak dapat penolong.

Firman-Nya lagi:

إن الذين كفروا وظلموا لم يكن الله ليغفر لهم ولا ليهديهم طريقا . إلا طرق جهنم خالدين فيها أبدا  (سورة النساء ، 4: 169)

Bermaksud: Bahawasanya mereka yang kafir dan zalim Allah tidak memberi keampunan untuk mereka dan Allah tidak  memberi petunjuk kepada mereka kepada  jalan kecuali jalan menuju neraka jahannam, mereka kekal di dalamnya selama-lama.

Tiga ayat al-Quran di atas jelas menunjukkan bahawa orang kafir kekal selama-lamanya di dalam neraka. Kewajipan kita ialah untuk menjaga diri kita, keluarga kita dan seterusnya masyarakat kita, jangan sekali-kaliterjerumus didalam kekufuran.                                                                                               
Ciri kedua bagi orang yang beruntung sebagaimana yang dijelaskan di dalam ayat di atas tadi ialah beramal salih. Amal salih ialah setiap perkara yang disuruh oleh syarak iaitu yang disuruh oleh Allah dan Rasul-Nya, samaada perkara itu yang berkaitan dengan ukhrawi atau duniawi. Mengerjakan sembahyang, puasa, zakat, haji, membaca al-Quran, berzikir, berselawat, berdo`a dan lain-lain adalah merupakan amal salih. Bahkan perkara duniawi yang diperintahkan oleh syara` kita melakukannya  juga adalah amal salih, seperti mencari rezeki yang halal, menolong orang yang berada di dalam kesusahan, bersikap adil, amanah, bercakap benar dan lain-lain.  Apabila seseorang itu  diperintahkan melakukan amal salih maka sewajibnya  dia tidak melakukan perkara-perkara yang dilarang oleh syarak,  kerana perkara-perkara yang dilarang itu adalah bukan amal salih bahkan ia adalah amal talih. Perkara-perkara yang dilarang hendaklah dijauhi. Orang yang beriman dan beramal salih dijanjikan syurga baginya. 

Firman Allah                       :                                                                

إِنَّ الَّذِينَ آمَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ كَانَتْ لَهُمْ جَنَّاتُ الْفِرْدَوْسِ نُزُلًا (107) [الكهف : 107]

Bermaksud: Bahawasanya mereka yang beriman dan beramal salih adalah bagi mereka syurga Firdaus sebagai tempat tinggal.

Firman-Nya lagi:

إِنَّ الَّذِينَ آمَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ لَهُمْ أَجْرٌ غَيْرُ مَمْنُونٍ (8)  [فصلت : 8 ، 9]

Bermaksud: Bahawasanya mereka yang beriman dan beramal salih bagi mereka pahala yang tidak putus-putus

Firman-Nya lagi:
.
) إِنَّ الَّذِينَ آمَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ لَهُمْ جَنَّاتٌ تَجْرِي مِنْ تَحْتِهَا الْأَنْهَارُ ذَلِكَ الْفَوْزُ الْكَبِيرُ (11) [البروج : 11]

Bermaksud: Bahawasanya mereka yang beriman dan beramal salih bagi mereka syurga-syurga yang mengalir sungai-sungai di bawahnya, Yang demikian itu adalah kejayaan yang besar.

Mereka juga adalah kekal di dalamnya. Firman Allah:

إِنَّ الَّذِينَ آمَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ أُولَئِكَ هُمْ خَيْرُ الْبَرِيَّةِ (7)  [جَزَاؤُهُمْ عِنْدَ رَبِّهِمْ جَنَّاتُ عَدْنٍ تَجْرِي مِنْ تَحْتِهَا الْأَنْهَارُ خَالِدِينَ فِيهَا أَبَدًا رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمْ وَرَضُوا عَنْهُ ذَلِكَ لِمَنْ خَشِيَ رَبَّهُ (8) (سورة البينة , 98: 7-8)

Bermaksud: Bahawasanya mereka yang beriman dan beramal salih mereka adalah sebaik-baik makhluk. Balasan mereka di sisi Tuhan mereka syurga `adan yang mengalir sungai-sungai dari bawahnya mereka kekal di dalamnya selama-lama, Allah reda kepada mereka dan mereka reda kepada-Nya, yang demikian itu adalah bagi mereka yang takut kepada Tuhannya.            

Ciri ketiga bagi orang yang beruntung iaitu bukan orang yang rugi ialah   berpesan-pesan dengan kebenaran. Kebenaran ialah sesuatu yang didatangkan oleh Allah dan Rasul-Nya, iaitu al-Quran dan hadith Rasulullah  s.a.w. yang sahih. Berpesan-pesan ertinya ingat mengingat. Oleh itu kita  wajib ingat mengingat di antara satu dengan yang lain mengenai isi kandungan al-Quran dan Hadith, sama ada mengenai perkara yang disuruh atau perkara yang dilarang oleh Allah dan Rasul-Nya.  Adalah tidak memadai jika kita hanya menyampaikan isi kandungan al-Quran itu hanya pada perkara-perkara  yang kita sukai sahaja, dan kita tinggalkan pada perkara-perkara yang kita  tidak sukai, begitu juga dengan hadith. Kerana apa yang diperintahkan kepada kita ialah berpegang dengan keseluruhan ajaran Islam, bukan hanya berpegang dengan sebahagiannya sahaja dan ditinggalkan sebahagian yang lain. Firman Allah:                                                                                                                                                                                    
              يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا ادْخُلُوا فِي السِّلْمِ كَافَّةً وَلَا تَتَّبِعُوا خُطُوَاتِ الشَّيْطَانِ إِنَّهُ لَكُمْ عَدُوٌّ مُبِينٌ (208)
[البقرة : 208]  

Bermaksud: Wahai mereka yang beriman masuklah kamu ke dalam keselamatan (Islam) secara keseluruhan, dan janganlah kamu mengikut jejak- jejak langkah syaitan kerana syaitan itu adalah musuh yang jelas bagi kamu .                                                                                                                  
Dalam ayat ini jelas Allah menyuruh kita supaya berpegang dengan keseluruhan ajaran Islam bukan hanya sebahagian-sebahagian sahaja. Dalam hal ini Rasulullah s.a.w. bersabda:                               .                                                                     
لا يؤمن أحدكم حتى يكون هواه تبعا لما جئت به .
 حديث حسن صحيح رويناه في كتاب الحجة بإسناد صحيح   الأربعون النووية - (1 / 41

Bermaksud: Seseorang dari kamu tidak sempurna imannya sehingga hawa nafsunya mengikut apa yang aku membawanya.                                            .

Islam itu akan kelihatan indah dan  lengkap apabila kita berpegang dengan keseluruhan ajaran Islam. Apabila kita disuruh untuk berpesan-pesan dengan kebenaran  maka dengan apa cara sekalipun bentuk berpesan-pesan itu adalah dituntut, seperti bermuzakarah, mengadakan kelas, ceramah, khutbah, forum, diskusi, wacana dan lain-lain lagi. Apa yang penting keseluruhan ajaran Islam itu kita sentiasa perkatakan dan diamalkan.                      .                                                                                                           
Ciri keempat bagi orang yang beruntung, iaitu bukan orang yang rugi ialah berpesan-pesan dengan kesabaran. Sabar adalah merupakan satu sifat yang amat dipuji yang setiap orang Mukmin wajib memilikinya. Sabar itu banyak bahagiannya. Sabar melaksanakan perintah Allah, sabar meninggalkan larangan-larangan Allah dan sabar menerima ujian dari Allah. Apa  yang telah diperintahkan oleh Allah kepada kita, kita mestilah melaksanakannya, begitu juga apa yang dilarang oleh Allah kepada kita, kita mesti meninggalkannya. Di dalam melaksanakan perintah-perintah Allah itu   kita akan menghadapi berbagai-bagai ujian. Kalau kita tidak sabar kita tidak  akan melaksankan perintah-perintah  Allah itu, begitu juga untuk meninggalkan larangan-larangan Allah itu ada berbagai-bagai ujian yang kalau tidak benar bersabar maka kita tidak akan meninggalkan larangan itu. Allah s.w.t. telah menyatakan kepada Rasul-Nya supaya bersabar mengikut apa yang telah diwahyukan kepadanya. 

Firman-Nya:                                            

وَاتَّبِعْ مَا يُوحَى إِلَيْكَ وَاصْبِرْ حَتَّى يَحْكُمَ اللَّهُ وَهُوَ خَيْرُ الْحَاكِمِينَ (سورة يونس, 10: 109)

Bermaksud: Dan ikutlah apa yang diwahyukan ke atasmu dan bersabarlah sehingga Allah memberi hukuman, dan Dia adalah sebaik-baik yang menghukum.

Suruhan kepada Rasulullah adalah juga suruhan kepada umatnya kerana apa yang diperintahkan kepada Rasulullah ia juga diperintahkan kepada umatnya kecuali perkara-perkara yang hanya khusus baginya sahaja. Oleh itu kita mesti bersabar untuk melaksanakan suruhan Allah dan meninggalkan larangan-Nya, begitu juga dengan suruhan Rasul-Nya dan larangannya. Kita juga hendaklah sentiasa berpesan-pesan di antara satu dengan yang lain supaya sentiasa bersabar melaksanakan perintah Allah dan Rasul-Nya, begitu juga sentisa berpesan-pesan diantara satu dengan lain supaya meninggalkan larangan Allah dan Rasul-Nya.                                       

Selain  dari sabar melaksanakan perintah dan meninggalkan larangan, kita juga hendaklah sabar menerima ujian dari Allah.     Firman Allah.  

{ وَلَنَبْلُوَنَّكُمْ بِشَيْءٍ مِنَ الْخَوْفِ وَالْجُوعِ وَنَقْصٍ مِنَ الْأَمْوَالِ وَالْأَنْفُسِ وَالثَّمَرَاتِ وَبَشِّرِ الصَّابِرِينَ (155) الَّذِينَ إِذَا أَصَابَتْهُمْ مُصِيبَةٌ قَالُوا إِنَّا لِلَّهِ وَإِنَّا إِلَيْهِ رَاجِعُونَ (156) } [البقرة : 155 - 157
(Surah al-Baqarah, 2: 155-156)

Bermaksud:  Sesunggohnya kami (Allah) akan menguji kamu dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan berilah kegembiraan kepada orang yang sabar. Orang yang apabila ditimpa musibah mereka berkata: 
إِنَّا لِلَّهِ وَإِنَّا إِلَيْهِ رَاجِعُونَ

Bermaksud: Bahawasanya kita adalah milik Allah dan bahawasanya kita kepada-Nya kembali.

Ayat di atas jelas menyuruh kita bersabar menerima ujian dari Allah dan Allah telah menjelaskan kelebihan orang yang sabar.

Sabda Rasulullah s.a.w.:                                                
                                            
 إِنَّ عِظَمَ الْجَزَاءِ مَعَ عِظَمِ الْبَلَاءِ وَإِنَّ اللَّهَ إِذَا أَحَبَّ قَوْمًا ابْتَلَاهُمْ فَمَنْ رَضِيَ فَلَهُ الرِّضَا وَمَنْ سَخِطَ فَلَهُ السَّخَطُ
قَالَ أَبُو عِيسَى هَذَا حَدِيثٌ حَسَنٌ غَرِيبٌ مِنْ هَذَا الْوَجْهِ  (سنن الترمذى، الزهد)

Bermaksud: Bahawasanya besarnya balasan pahala bersama dengan besarnya ujian, dan bahawasanya Allah apabila Dia kasih kepada sesuatu kaum Dia akan mengujinya, maka sesiapa yang ridha maka dia mendapat keridhaan dan sesiapa yang benci maka dia mendapat kebencian.

Hadith ini jelas menyuruh kita supaya bersabar menerima ujian dari Allah s.w.t.

Apabila Allah telah menjelaskan bahawa orang yang tidak rugi iaitu orang yang beruntung ialah orang yang beriman, beramal salih, berpesan-pesan dengan kebenaran dan berpesan-pesan untuk bersabar, maka berapa ramai orang Islam yang tidak mengikut ajaran al-Quran di atas kerana mereka banyak membuang masa dengan sia-sia, melepak di pasar-pasar raya, duduk berjam-jam kerana secawan kopi, berlumba haram, menghabiskan masa di tempat-tempat hiburan, berjam-jam di hadapan kaca TV dan lain-lain lagi.

Nikmat sihat, nikmat masa, nikmat harta yang Allah berikan kepada kita hendaklah kita gunakan dengan sebaik-baiknya sebagaimana yang disyari`atkan, supaya kita tidak menyesal di kemudian hari. Menyesal pada hari yang tidak ada gunanya penyesalan pada ketika itu. Firman Allah:

حَتَّى إِذَا جَاءَ أَحَدَهُمُ الْمَوْتُ قَالَ رَبِّ ارْجِعُونِ (99) لَعَلِّي أَعْمَلُ صَالِحًا فِيمَا تَرَكْتُ كَلَّا إِنَّهَا كَلِمَةٌ هُوَ قَائِلُهَا وَمِنْ وَرَائِهِمْ بَرْزَخٌ إِلَى يَوْمِ يُبْعَثُونَ (100)  [المؤمنون : 99 - 101]

Bermaksud:  Apabila mati telah datang kepada salah seorang daripada kamu dia berkata, wahai Tuhanku kembaliknlah aku (hidup semula di dunia.). Mudah-mudahan aku beramal salih dalam perkara-perkara yang aku telah tinggalkan. Tidak sekali-kali boleh berlaku. Ia hanya kata-kata yang dia mengatakannya, sedangkan di hadapan mereka adalh alam barzah (yang mereka  timggal padanya) sehingga hari mereka dibangkitkan  semula (Hari Kiamat).                                      .                                                                                                 .

وصلى الله على سيدنا محمد وعلى آله وصحبه آجمعين، والحمد لله رب العالين.