Hukum membaca al-Quran untuk si mati


Dr. Udah bin Mohsin

Adakah pahala membaca al-Quran sampai kepada si mati atau tidak
Kita biasa membaca al-Quran dan pahalanya dihadiahkan kepada si mati, maka dalam tulisan ini diperkatakan pandangan ulama mengenainya, samaada pahalanya sampai kepada si mati atau tidak dan bagaimana cara yang paling baik supaya pahalanya sampai kepada si mati. Perbahasan dalam tulisan ini disertakan dalil-dalil bagi mereka yang mengatakan sampai dan dalil mereka yang mengatakan tidak sampai dari al-Quran, Sunnah dan pandangan ulama.
Pandangan ulama mengenai pahala membaca al-Quran kepada si mati .
Kata Imam al-Nawawi dalam al-Adhkar: Khilaf ulama mengenai sampai pahala membaca al-Quran  kepada si mati. Mengikut yang masyhur dari Imam al-Shafie dan sekumpulan ulama bahawa ia tidak sampai kepadanya.
Manakala menurut Imam Ahmad bin Hanbal dan sekumpulan ulama,  dan juga sekumpulan ulama-ulama mazhab al-Shafie bahawa ia sampai kepada si mati.
Kata Imam al-Nawawi lagi: Yang dipilih ialah bahawa orang yang membaca al-Quran itu setelah selesai dia membaca al-Quran untuk si mati dia berdoa:
اللهم أوصل ثواب ما قرأته إلى فلان
Bermaksud: Ya Allah! Sampaikanlah pahala apa yang aku baca ini kepada si pulan.   والله أعلم    ( Al-Nawawi t.t.(b), 150).
Dalam Sharh Sahih Muslim Imam al-Nawawi berkata:
وأما قراءة القرآن فالمشهور من مذهب الشافعى أنه لا يصل ثوابها إلى الميت وقال بعض أصحابه يصل ثوابها إلى الميت وذهب جماعات من العلماء إلى أنه يصل إلى الميت ثواب جميع العبادات من الصلاة والصوم والقراءة وغير ذلك وفى صحيح البخارى فى باب من مات وعليه نذر أن بن عمر أمر من ماتت أمها وعليها صلاة أن تصلى عنها وحكى صاحب الحاوى عن عطاء بن أبى رباح واسحاق بن راهويه أنهما قالا بجواز الصلاة عن الميت وقال الشيخ أبو سعد عبد الله بن محمد بن هبة الله بن أبى عصرون من أصحابنا المتأخرين فى كتابه الانتصار إلى اختيار هذا وقال الامام أبو محمد البغوى من أصحابنا فى كتابه التهذيب لا يبعد أن يطعم عن كل صلاة مد من طعام وكل هذه المذاهب ضعيفة
(al-Nawawi T.T.(c) , 1: 90)
 Bermksud: Adapun bacaan al-Quran maka yang masyhur menurut Imam al-Shafie bahawasanya ia tidak sampai pahalanya kepada si mati. Sebahagian dari sahabat-sahabatnya (ulama-ulama dalam mazhab al-Shafer) mengatakan: sampai pahalanya kepada si mati. Beberapa kumpulan ulama berpendapat sampai kepada si mati semua ibadat yang merangkumi sembahyang, puasa, membaca al-Quran dan lain-lain. Dalam Sahih al-Bukhari terdapat bab  orang yang mati dan menanggung nazar, bahawasanya Ibn Umar menyuruh orang yang kematian ibunya sedangkan ibu itu menanggung beban meninggalkan sembahyang hendaklah disembahyangkan untuknya. Pengarang kitab al-Hawi menghikayatkan daripada `Ata’ bin Abu Ribah dan Ishaq bin Rahawih bahawasanya kedua-duanya berkata: Harus sembahyang menggantikan si mati. Kata al-Shykah Abu Sa`id, Abd Allah bin Muhammad bin Hibah Allah bin Abu `Asrun, dari kalangan sahabat-sahabat kami yang mutaakhirun dalam kitabnya: “al- Intisar” memilih pendapat ini. Kata Imam Abu Muhammad al-Baghawi dari sahabat kami dalam kitabnya: “al-Tahdhib”: Tidak jauh (boleh) bahawa seseorang itu memberi makan (kepada orang miskin) bagi setiap sembahyang satu cupak makanan. Kata Imam al-Nawawi Pendapat-pendapat di atas adalah lemah.
Dalam kitab     Mirqat al-Mafatih Sharh Miskat al-Masabih,  ada menyebut bahawa Imam al-Suyuti  berkata: Berlaku khilaf mengenai sampai pahala membaca al-Quran kepada si mati,  jahmur al-salaf dan imam yang tiga,  mengatakan sampai pahalanya kepada si mati,  dan menyalahi mereka itu oleh imam kita, al-Shafie.  (Ali al-Qari t.t. , 5: 465)
Pandangan Imam Malik mengenai perkara ini, ada juga ulama yang mengatakan tidak sampai.
مرعاة المفاتيح شرح مشكاة المصابيح - (5 / 453)
Kata al-Mubarakfuri dalam Tuhfah al-Ahwadhi:
قال القارىء في شرح الفقه الأكبر ذهب أبو حنيفة وأحمد وجمهور السلف رحمهما الله إلى وصولها والمشهور من مذهب الشافعي ومالك عدم وصولها انتهى
Al-Mubarakfuri . t.t., 3: 275        
Bermaksud: Al-Qari’  berkata dalam, Sharh al-Fiqh al-Akbar: Abu Hanifah, Ahmad dan jamhur al-salaf  r.a. berpendapat, sampai pahalanya kepada si mati,  dan yang masyhur dari mazhab al-Shafie dan Malik tidak sampai.
Kata al-Shykh Muhammad al-Sharbini al-Khatib dalam Mughni al-Muhtaj: Mengenai tidak sampai pahala bacaan al-Quran kepada si mati: Ini ialah yang dinukil oleh Imam al-Nawawi dalam Syarah Sahih Muslim daripada Imam al-Shafie dan dari kebanyakkan ulama. (Muhammad al-Sharbini al-Khatib … 11: 219)
Kata Imam al-Ramli dalam Nihayah al-Muhtaj, mengenai bacaan al-Quran: Ada pandangan padanya, menurut imam mazhab yang tiga sampai pahalanya kepada si mati apabila si pembaca itu mengkasadkan bacaannya, dan ramai dari imam-imam kita yang memilihnya. Katanya lagi: Ibn al-Salah berkata: Sayugia meyakini memberi manfaat dua:    اللَّهُمَّ أَوْصِلْ ثَوَابَ مَا قَرَأْنَاهُ   Bermaksud: Ya Allah! Sampaikanlah pahala apa yang kami baca. (al-Ramli t.t. 19: 341).
Kata Ibn Hajar al-Haytami di antara mereka yang mengatakan sampai ialah: Ibn al-Salah, al-Tabari dan katanya lagi: Di  atasnya amalan kebanyakkan manusia. Dan apa yang dilihat oleh orang-orang Islam baik maka ia di sisi Allah adalah baik.
Ibn Hajar al-Haytami T.T , 28: 145)
Kata Ibn al-Salah dalam Fatawa Ibn al-Salah: Ada pun mengenai bacaan al-Quran maka padanya khilaf di kalangan fuqaha’, apa yang dilakukan oleh kebanyakkan ulama (al-nas) harus yang demikian itu, dan sayugia apabila seseorang itu hendak melakukannya dia berdoa:
اللهم أوصل ثواب ما قرأته لفلان
Bermaksud: Ya Allah! Sampaikanlah pahala apa yang aku baca kepada si pulan atau kepada orang yang di kehendaki.(Ibn al-Salah. T.T. 1: 193)
Dari apa yang telah dibincangkan di atas maka mengenai bacaan al-Quran kepada si mati ada khilaf ulama mengenainya. Di antara ulama yang mengatakan tidak sampai pahalanya kepada si mati ialah Imam al-Shafie. Manakala di antara ulama yang mengatakan sampai pahalanya kepada si mati ialah Imam Ahmad  bin Hanbal. Sebaik-baiknya bagi orang yang hendak melakukannya setelah dia membaca al-Quran itu dia berdoa supaya disampaikan pahala bacaan itu kepada si mati dengan katanya:           اللهم أوصل ثواب ما قرأته لفلان
 Ya Allah! Sampaikanlah pahala apa yang aku baca kepada si pulan atau kepada rang yang di kehendaki.
Dalil mereka yang mengatakan tidak sampai
Firman Allah:
وَأَنْ لَيْسَ لِلْإِنْسَانِ إِلَّا مَا سَعَى (39) }
Bermaksud: Dan bahawa tiadalah bagi manusia itu kecuali apa yang dia usaha.
Kata Ibn Kathir: Sebagaimana seseorang itu  tidak menanggung dosa orang lain maka begitu juga  dia tidak mendapat pahala kecuali dari apa yang dia usaha.
Kata Ibn Kathir lagi mengenai membaca al-Quran pahalanya tidak sampai kepada si mati: Kerana ia bukan dari amalan si mati dan bukan dari usahanya. Oleh kerana itu Baginda Rasulullah s.a.w. tidak menyuruh dan tidak menggalakkan umatnya melakukannya. Baginda juga tidak menunjukkan mereka melalui nas atau isyarat dan tidak ada dinukil dari seorang pun dari kalangan Sahabat r.a. Jika itu merupakan perkara yang baik nescaya mereka akan mendahului kita. Katanya lagi: Perkara yang berkaitan dengan taqarrub kepada Allah memerlukan kepada nas, tidak boleh menggunakan kias dan pendapat.  Adapun doa dan sedakah maka ijmak ulama bahawa ia sampai kepada si mati dan telah dinaskan oleh syarak mengenai kedua-duanya. (Ibn Kathir 1999, 7: 465)
Firman-Nya lagi:
{ {وَلَا تُجْزَوْنَ إِلَّا مَا كُنْتُمْ تَعْمَلُونَ (54) } [يس : 54]
Bermaksud: Dan tidaklah kamu dibalas kecuali apa yang kamu telah melakukan.
Firman-Nya lagi:
{ لَهَا مَا كَسَبَتْ وَعَلَيْهَا مَا اكْتَسَبَتْ} [البقرة : 286]
Bermaksud: Bagi diri seseorang itu (pahala) apa yang dia usaha dan ke atasnya (dosa) yang dia lakukan.
Hadith:
عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ
أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ إِذَا مَاتَ الْإِنْسَانُ انْقَطَعَ عَنْهُ عَمَلُهُ إِلَّا مِنْ ثَلَاثَةٍ إِلَّا مِنْ صَدَقَةٍ جَارِيَةٍ أَوْ عِلْمٍ يُنْتَفَعُ بِهِ أَوْ وَلَدٍ صَالِحٍ يَدْعُو لَهُ
صحيح مسلم - (8 / 405)
Bermaksud: Bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: Apabila seseorang itu mati terputuslah daripadanya amalannya kecuali dari tiga perkara, kecuali dari sedakah jariyah, ilmu yang dimanfaatkan atau anak salih yang mendoakan untuknya.
Kata Ibn Kathir mengenai hadith di atas: Tiga perkara ini pada hakikatnya adalah dari usaha dan perbuatan seseorang itu, sebagaimana disebut dalam hadith:
إِنَّ مِنْ أَطْيَبِ مَا أَكَلَ الرَّجُلُ مِنْ كَسْبِهِ وَوَلَدُهُ مِنْ كَسْبِهِ
سنن أبى داود - (9 / 406)
Bermaksud: Bahawasanya dari sebaik-baik apa yang seseorang itu makan ialah dari usahanya, sedangkan anaknya itu adalah dari usahanya.
Sedakah jariyah juga, seperti wakaf adalah dari kesan usahanya dan wakafnya. Allah telah berfirman:
{ إِنَّا نَحْنُ نُحْيِي الْمَوْتَى وَنَكْتُبُ مَا قَدَّمُوا وَآثَارَهُم } [يس: 12
Bermaksud: Bahawa sesungguhnya Kami yang menghidupkan orang yang mati dan kami menulis apa yang telah mereka lakukan dan kesan-kesannya.
Ilmu yang disebarkan kepada orang ramai kemudian orang ramai berpandukan kepadanya selepasnya juga adalah dari usaha dan perbuatan seseorang itu.
عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ
أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ مَنْ دَعَا إِلَى هُدًى كَانَ لَهُ مِنْ الْأَجْرِ مِثْلُ أُجُورِ مَنْ تَبِعَهُ لَا يَنْقُصُ ذَلِكَ مِنْ أُجُورِهِمْ شَيْئًا
صحيح مسلم - (13 / 164)
Bermaksud: Bahawa Rasulullah s. a. w. bersabda: Sesiapa yang menyeru kepada pertunjuk maka baginya (pahala) seperti pahala-pahala orang yang mengikutnya, sedikitpun tidak dikurangkan dari pahala-pahala mereka.
(Ibn Kathir 1999, 7: 465)
Hadith lain:
13016- سبع يجرى للعبد أجرهن بعد موته وهو فى قبره من علم علمًا أو أجرى نهرًا أو حفر بئرًا أو غرس نخلاً أو بنى مسجدًا أو ورث مصحفًا أو ترك ولدًا صالحًا يستغفر له بعد موته (ابن أبى داود فى المصاحف ، وسمويه ، وأبو نعيم فى الحلية ، والبيهقى فى شعب الإيمان عن أنس)
أخرجه أبو نعيم فى الحلية (2/344) ، والبيهقى فى شعب الإيمان (3/248 ، رقم 3449) ، وأخرجه أيضًا : الديلمى
(2/330 ، رقم 3492)
جامع الأحاديث - (13 / 238)
Bermaksud: Tujuh perkara berterusan bagi seseorang hamba pahalanya setelah matinya, ketika dia berada di kuburnya. Orang yang  mengajarkan ilmu, mengalirkan sungai, mengali perigi, menanam pohon kurma, membina masjid, mewariskan mushaf atau meninggalkan anak yang salih yang beristighfar untuknya setelah matinya.
Dibataskan kepada tujuh menunjukkan yang lainnya tidak termasuk.
Dalam kitab Mir`at al-Mafatih pengarangnya menulis dari gurunya
فإنه لم يقم على إهداء
 ثواب القراءة دليل شرعي لا من قرآن ولا من سنة صريحة صحيحة ولا من إجماع، ولا يكفي في مثل هذه المسألة حديث ضعيف أو أثر صحابي فضلاً عن القياس أو أثر التابعي ومن دونه.
مرعاة المفاتيح شرح مشكاة المصابيح - (5 / 45
Bermaksud: Menghadiahkan pahala bacaan al-Quran tidak mempunyai dalil syarie, tidak dari al-Quran, Sunnah yang sahih lagi jelas dan tidak dari ijmak. Dalam masalah yang seperti ini tidak mencukupi hanya dari hadith da`if, athar Sahabat, apatah lagi kias atau athar Tabie dan orang yang selepasnya.
Ibn al-Qayyim yang mengatakan sampai pahala bacaan al-Quran kepada si mati dia juga mengakui ianya adalah tidak sabit dari pada al-salaf.
مرعاة المفاتيح شرح مشكاة المصابيح - (5 / 453)
Dalil mereka yang mengatakan sampai.
Kata Imam al-Nawawi: Dalil mereka ialah kias kepada doa, sedakah dan haji,  perkara-perkara ini adalah sampai kepada si mati dengan ijmak.
شرح النووي على مسلم - (1 / 90)
Ada juga yang berdalil dengan hadith di bawah ini:
عَنْ ابْنِ عَبَّاسٍ قَالَ
مَرَّ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِقَبْرَيْنِ فَقَالَ إِنَّهُمَا لَيُعَذَّبَانِ وَمَا يُعَذَّبَانِ فِي كَبِيرٍ أَمَّا أَحَدُهُمَا فَكَانَ لَا يَسْتَتِرُ مِنْ الْبَوْلِ وَأَمَّا الْآخَرُ فَكَانَ يَمْشِي بِالنَّمِيمَةِ ثُمَّ أَخَذَ جَرِيدَةً رَطْبَةً فَشَقَّهَا نِصْفَيْنِ فَغَرَزَ فِي كُلِّ قَبْرٍ وَاحِدَةً قَالُوا يَا رَسُولَ اللَّهِ لِمَ فَعَلْتَ هَذَا قَالَ لَعَلَّهُ يُخَفِّفُ عَنْهُمَا مَا لَمْ يَيْبَسَا
صحيح البخاري – (1 / 365)
Bermaksud: Daripada Ibn `Abbas katanya Nabi s.a.w. lalu di dua kubur, lalu Baginda bersabda: Kedua-duanya diazab, dan kedua-duanya diazab bukan kerana sesuatu yang besar. Adapun salah satunya maka dia tidak memelihara air kencingnya, manakala yang seorang lagi dia berjalan dengan membatu api (melaga-lagakan orang). Kemudian Nabi mengambil satu pelepah tamar dan membelahnya kepada dua, dan Baginda mencucukkannnya satu kepada setiap kubur. Para sahabat bertanya: Mengapa engkau lakukan ini wahai Rasulullah? Jawab Baginda: mudah-mudahhan diringankan kepada kedua-duanya selagi dua pelepah ini belum kering.
Mereka mengatakan sebab diringankan azab kepada penghuni kubur itu ialah kerana tasbih pelepah yang masih basah. Jika pelepah tamar yang masih basah meringankan azab kepada si mati maka apatah lagi bacaan al-Quran.
Dalil yang lain:
وأخرج عبد العزيز صاحب الخلال بسنده عن أنس أن رسول الله قال من دخل المقابر فقرأ سورة يس خفف الله عنهم وكان له بعدد من فيها حسنات
مرقاة المفاتيح شرح مشكاة المصابيح - (5 / 465)
Hadith ini menurut al-Sakhawi: Aku menyangkanya tidak sahih. Manakala menurut al-Albani dalam Silsilah al-Ahadith al-da`ifah wa al-mawdu`ah hukumnya palsu. (al-Albani 1978, 3: 397-398.).
Bermaksud: … Daripada Anas, bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: Sesiapa masuk  ke kubur lalu dia membaca Surah Yasin maka Allah meringankan  mereka, dan baginya kebaikkan mengikut bilangan orang terdapat dalam kubur itu.
Hadith:
عن معقل بن يسار أن النبي صلى الله عليه وآله وسلم قال : ' اقرءوا على موتاكم يس
الأحكام الشرعية الكبرى - (2 / 486)
Kata al-Albani dalam kitab D`if al-Jami` al-Saghir: hukumnya da`if.
(al--Albani 1978, 1: 330.).
قال الحافظ فى " البلوغ " 1 / 107 : صححه ابن حبان .
** تعقيب : قال الفقى 1 / 107 : هو حديث سليمان التيمى عن أبى عثمان _ و ليس بالنهدى _ و أعله ابن القطان بالاضطراب و الوقف و بجهالة حال أبى عثمان و أبيه . و نقل عن الدارقطنى أنه قال : هذا حديث مضطرب الإسناد و مجهول المتن و لا يصح . اه
روضة المحدثين - (9 / 176)
Hadith di atas menurut al-Darqutni
ضَعِيفُ الْإِسْنَادِ مَجْهُولُ الْمَتْنِ
Ini sebagaimana yang dinyatakan oleh al-Hafiz Ibn Hajar dalam Talkhis al-Khabir. (Ibn Hajar 1989, 2: 245
Hadith di atas menurut Ibn Hibban: Sahih , manakala menurut al-Darqutni, tidak sahih.
Bermaksud: Bacalah Yasin ke atas orang yang mati itu
Kata Imam al-Qurtubi: ' اقرءوا على موتاكم يس  Boleh jadi (yuhtamal)  bacaan itu di sisi mayat ketika dia mati dan boleh jadi bacaan itu di kuburnya.
مرقاة المفاتيح شرح مشكاة المصابيح - (5 / 465)
Mereka yang mengatakan sampai, menjelaskan maksud ayat:
وَأَنْ لَيْسَ لِلْإِنْسَانِ إِلَّا مَا سَعَى (39) }
Bermaksud: Dan bahawa tiadalah bagi manusia itu kecuali apa yang dia lakukan ada beberapa pendapat.
Daripada apa yang telah dipaparkan menunjukkan berlaku khilaf di kalangan ulama mengenai hadiah pahala bacaan al-Quran kepada si mati. Ada yang mengatakan sampai dan ada yang mengatakan tidak sampai. Ada juga yang berpendapat jika hendak diyakini sampai hendaklah disertakan  dengan doa selepas bacaan al-Quran tersebut kerana doa itu telah dinaskan sampai kepada si mati.  Seperti katanya: Ya Allah! Sampaikanlah apa yang saya/kami baca ini kepada si pulan.
Pada pandangan penulis apabila kita hendak melakukannya di samping kita menyertakannya  dengan doa selepas kita membaca al-Quran, kita juga hendaklah melebihkan sesuatu yang tidak khilaf padanya iaitu doa. Bermaksud setelah kita membaca al-Quran, zikir dan lain-lain untuk si mati kita hendaklah membanyakkan doa untuknya kerana doa untuk si mati disepakati oleh ulama tentang sampainya kepada si mati. Di samping itu kita juga hendaklah mengakhiri bacaan al-Quran dan zikir itu dengan doa supaya disampaikan oleh Allah kepada si mati.
Dalam perkara khilaf, kita mesti saling hormat-menghormati. Jangan sekali-kali  dalam perkara khilaf ini boleh memecah belahkan masyarakat.