Allah adalah hakim yang maha adil

Disediakan oleh:
Dr.Udah Mohsin

ALLAH ADALAH HAKIM YANG MAHA ADIL DAN MENGHUKUM DENGAN BENAR.
SEGALA YANG TERDAPAT DI DALAM AL-QURAN ITU ADALAH BENAR, DAN HUKUM-HAKAM YANG TERDAPAT PADANYA ADALAH ADIL.

Renungilah ayat al-Quran di bawah ini:

أَفَغَيْرَ اللَّهِ أَبْتَغِي حَكَمًا وَهُوَ الَّذِي أَنْزَلَ إِلَيْكُمُ الْكِتَابَ مُفَصَّلًا وَالَّذِينَ آتَيْنَاهُمُ الْكِتَابَ يَعْلَمُونَ أَنَّهُ مُنَزَّلٌ مِنْ رَبِّكَ بِالْحَقِّ فَلَا تَكُونَنَّ مِنَ الْمُمْتَرِينَ (114) وَتَمَّتْ كَلِمَتُ رَبِّكَ صِدْقًا وَعَدْلًا لَا مُبَدِّلَ لِكَلِمَاتِهِ وَهُوَ السَّمِيعُ الْعَلِيمُ (115) وَإِنْ تُطِعْ أَكْثَرَ مَنْ فِي الْأَرْضِ يُضِلُّوكَ عَنْ سَبِيلِ اللَّهِ إِنْ يَتَّبِعُونَ إِلَّا الظَّنَّ وَإِنْ هُمْ إِلَّا يَخْرُصُونَ (116) إِنَّ رَبَّكَ هُوَ أَعْلَمُ مَنْ يَضِلُّ عَنْ سَبِيلِهِ وَهُوَ أَعْلَمُ بِالْمُهْتَدِينَ (117) [الأنعام: 114 - 117]

Maksud ayat-ayat di atas
Adakah aku hendak mencari hakim yang betul-betul benar  dan adil dalam menjalankan  hukumannya selain daripada Allah, sedangkan Dialah yang menurunkan kitab al-Quran yang jelas nyata kandungannya (tentang perkara yang hak dan yang batil, yang halal dan yang haram), dan mereka yang Kami kurniakan kitab mengatuhi bahawasannya al-Quran itu diturunkan dari sisi Tuhanmu dengan benar, maka janganlah engkau jadi dari kalangan orang yang ragu-ragu.
Dan telah sempurnalah kalimah Tuhanmu (al-Quran) dengan benar dan adil, tiada siapa yang dapat mengubah kalimah-kalimah-Nya, Dia adalah Maha mendengar lagi Maha melihat.
Dan jika engkau mentaati/mengikut kebanyakan orang yang berada di muka bumi nescaya mereka akan menyesatkan engkau dari jalan Allah, sedangkan tiadalah yang mereka ikut kecuali sangkaan semata-mata, dan tiadalah mereka kecuali berdusta.
Sesungguhnya Tuhanmu Dia lebih mengetahui orang yang sesat dari jalan-Nya dan Dia lebih mengetahui  orang yang mendapat hidayah daripada-Nya.

Penjelasan perkataan
Maksud kalimah hakaman ( حَكَمًا )
Kata Dr Wahbah al-Zuhayli:

والحكم: من يحكم بالحقّ فقط، فهو أبلغ من الحاكم إذ لا يستحق التّسمية بحكم إلا من يحكم بالحقّ لأنها صفة تعظيم في مدح، أما الحاكم فهو صفة جارية على الفعل، فقد يسمّى بها من يحكم بغير الحق
(التفسير المنير للزحيلي ، 8 : 12-13)

Maksud perkataan di atas ialah, perkataan hakam hanya layak digunakan bagi yang menghukum dengan benar sahaja, ia lebih tinggi dari hakim, kerana tidak berhak untuk dinamakan dengan hakam kecuali yang menghukum dengan benar kerana ia menunjukkan sifat mengagongkan dalam pujian. Ada pun hakim maka ia digunakan bagi orang yang menjalankan hukuman, dinamakan juga dengannya yang menghukum dengan tidak benar.
Kesimpulan dari penjelasan Dr. Wahbah al-Zuhayli di atas ialah perbezaan di antara lafaz hakam dan hakim. Hakam has kepada yang menjalankan hukuman dengan benar/betul. Adapun hakim ialah yang menjalankan hukuman, sama ada dengan benar atau tidak.
Kata al-`Allamah Abu al-Su`ud:

قالوا الحكَمُ أبلغُ من الحاكمِ وأدلُّ على الرسوخ لما أنه لا يُطلق إلا على العادل وعلى مَنْ تكرَّر منه الحكمُ بخلاف الحاكم
(تفسير أبي السعود ، إرشاد العقل السليم إلى مزايا الكتاب الكريم ، 3:177 )

Para ulamak berkata: Perkataan hakam lebih tinggi dari hakim dan lebih menunjukkan kepada sangat mahir dan mantap, kerana ia tidak boleh digunakan kecuali kepada yang adil dan kepada yang telah banyak menjalankan hukuman, bersalahan perkataan hakim.
Apa yang dapat disimpulkan dari penjelasan dua ulama di atas berhubung dengan maksud perkataan hakam dalam ayat di atas ialah ia hanya boleh digunakan kepada yang menghukum dengan benar dan adil.
Maksud kalamah mufassalan مُفَصَّلًا
Kata Dr Wahbah al-Zuhayli:
مبيّنا فيه الحقّ والباطل، والحلال والحرام.
(التفسير المنير للزحيلي ، 8 : 12-13)

Menjelaskan di dalamnya (kitab al-Quran) yang hak dan yang batil, yang halal dan yang haram.

Penjelasan ayat-ayat al-Quran di atas
Rasulullah s.a.w. menerangkan kepada mereka yang tidak beriman: Adakah aku hendakan mencari hakim yang betul-betul benar dan adil dalam menjalankan hukuman selain dari Allah, sedangkan Dialah yang telah menurunkan kepada kamu kitab al-Quran yang jelas nyata kandungannya (tentang perkara yang hak dan yang batil, yang halal dan yang haram).
Ayat seterusnya Allah menerangkan: Mereka yang telah Allah kurniakan kitab mengetahui bahawasanya al-Quran itu diturunkan daripada Tuhanmu dengan benar, oleh itu janganlah engkau menjadi dari kalangan mereka yang ragu-ragu.
Seterusnya Allah menjelaskan: Telah sempurna kalimah Tuhanmu iaitu al-Quran, dan sesuatu yang terkandung di dalamnya adalah benar dan hukum-hakam yang terkandung di dalamnya adalah adil. Tiada siapa yang boleh mengubah kalimah-kalimah Allah itu, atau dengan lain perkataan tiada siapa yang boleh mengubah al-Quran itu. Ia adalah terpelihara selama-lamanya. Allah Yang memeliharanya. Allah adalah Maha mendengar dan Maha mengetahui.
Ayat seterusnya Allah menerangkan: Jika engkau wahai Rasulullah,  taat/ikut  kebanyakan orang yang ada di muka bumi nescaya mereka akan menyesatkan engkau dari jalan Allah. Sebenarnya apa yang mereka ikut/pegang hanyalah persangkaan samata-mata, dan mereka adalah  berdusta.
Ayat Seterus Allah menjelaskan Sesungguhnya Tuhanmu Dialah Yang lebih mengetahui orang yang sesat dari jalan-Nya, dan Dialah Yang lebih mengetahui orang yang mendapat petunjuk Daripada-Nya.
Rasulullah s.a.w. yang diperintahkan oleh Allah s.w.t. supaya terus berada pada jalan-Nya dialah yang mendapat petunjuk daripada Allah s.w.t, sebaliknya orang yang tidak beriman dialah yang sesat. Dalam ayat yang lain Allah s.w.t. menjelaskan:
{وَادْعُ إِلَى رَبِّكَ إِنَّكَ لَعَلَى هُدًى مُسْتَقِيمٍ } [الحج: 67]
Bermaksud: Dan serulah kepada Tuhanmu Sesungguhnya engkau adalah di atas petunjuk/hidayah yang lurus.
Dalam ayat di atas jelas, Allah menjelaskan bahawa Rasulullah s.a.w. adalah di atas petunjuk, hidayah Allah s.w.t. yang lurus lagi benar.

Di antara pengajaran ayat-ayat di atas
Allah menghukum adalah dengan benar dan adil.
Allah telah menurunkan al-Quran yang jelas nyata kandungannya (tentang perkara yang hak dan yang batil, yang halal dan yang haram).
al-Quran itu adalah benar kandungannya, dan adil hukum hakamnya.
Tidak ada sesiapa pun yang boleh mengubah al-Quran kerana Allah Yang Maha mendengar dan Maha mengetahui menjaganya.
Jika engkau wahai Rasulullah mentaati dan mengikut kebanyakkan orang yang ada di bumi ini maka mereka akan menyesatkan engkau dari jalan Allah, sedangkan yang mereka ikut atau yang mereka pegang itu tidak lebih dari hanya persangkaan semata-mata, dan mereka adalah berdusta.
Allah Yang lebih mengetahui siapa yang sesat dan siapa yang mendapat hidayah.
Nabi Muhammad, Rasulullah s.a.w. adalah di atas petunjuk, hidayah Allah s.w.t. yang lurus lagi benar.
Kita wajib berpegang teguh dengan al-Quran iaitu kitab Allah yang diturunkan kepada Rasulullah s.a.w. yang telah diperakui oleh Allah Yang mencipta sekelian makhluk, bahawa apa yang terkandung di dalam al-Quran itu adalah benar dan hukum ahkamnya adalah adil.

Doa
Ya Allah! Jadikanlah al-Quran itu sebagai asas dan panduan ilmu kami dan kami sentiasa dapat beramal dengan ajaran al-Quran.