Kaffarah Jimak

Oleh Dr. Udah Mohsin.

Kaffarah Jimak Siang Ramadhan

Dalil wajib  kaffarah jimak pada siang Ramadhan
Di antaranya:
أَنَّ أَبَا هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ
بَيْنَمَا نَحْنُ جُلُوسٌ عِنْدَ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذْ جَاءَهُ رَجُلٌ فَقَالَ يَا رَسُولَ اللَّهِ هَلَكْتُ قَالَ مَا لَكَ قَالَ وَقَعْتُ عَلَى امْرَأَتِي وَأَنَا صَائِمٌ فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ هَلْ تَجِدُ رَقَبَةً تُعْتِقُهَا قَالَ لَا قَالَ فَهَلْ تَسْتَطِيعُ أَنْ تَصُومَ شَهْرَيْنِ مُتَتَابِعَيْنِ قَالَ لَا فَقَالَ فَهَلْ تَجِدُ إِطْعَامَ سِتِّينَ مِسْكِينًا قَالَ لَا قَالَ فَمَكَثَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَبَيْنَا نَحْنُ عَلَى ذَلِكَ أُتِيَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِعَرَقٍ فِيهَا تَمْرٌ وَالْعَرَقُ الْمِكْتَلُ قَالَ أَيْنَ السَّائِلُ فَقَالَ أَنَا قَالَ خُذْهَا فَتَصَدَّقْ بِهِ فَقَالَ الرَّجُلُ أَعَلَى أَفْقَرَ مِنِّي يَا رَسُولَ اللَّهِ فَوَاللَّهِ مَا بَيْنَ لَابَتَيْهَا يُرِيدُ الْحَرَّتَيْنِ أَهْلُ بَيْتٍ أَفْقَرُ مِنْ أَهْلِ بَيْتِي فَضَحِكَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ حَتَّى بَدَتْ أَنْيَابُهُ ثُمَّ قَالَ أَطْعِمْهُ أَهْلَكَ
صحيح البخاري - (7 /24
Bermaksud: Bahawasanya Abu Hurayrah r.a. berkata: Sedang kami duduk di sisi Rasulullah s.a.w. tiba-tiba datang kepadanya seorang lelaki, lalu lelaki itu berkata: Wahai Rasulullah! Aku binasa. Jawab Rasulullah: Kenapa engkau? Jawabnya, aku telah jimak/mensetubuhi isteriku, sedangkan aku berpuasa, maka Jawab Rasulullah: Adakah engkau boleh dapat seorang hamba yang engkau merdekakannya? Jawab lelaki itu, tidak. Nabi berkata: Adakah engkau mampu untuk puasa selama dua bulan berturut-turut? Jawab lelaki itu, tidak. Nabi berkata: Adakah engkau dapat memberi makan 60  orang miskin? Lelaki itu menjawab, tidak. Abu Hurayrah berkata:  Nabi s.a.w. terus berada di situ. Sedang kami berada dalam keadaaan itu lalu Nabi s.a.w. diberikan satu miktal iaitu satu bekas yang mengandungi tamar. Lalu Nabi bertanya di manakah orang yang bertanya tadi? Jawab orang itu, aku. Nabi berkata: Ambillah ia dan hendaklah engkau bersedekah dengannya, maka kata orang itu, Ya Rasulullah! Adakah kepada orang yang lebih fakir dariku?. Demi Allah, tiada di kawasan itu   ahli keluarga yang lebih fakir dari ahli rumahku, maka Nabi s.a.w. ketawa sehingga ternyata gigi gerahamnya. Kemudian Nabi berkata Berilah makan akannya kepada ahli keluargamu.
Dalam nas di atas tidak menyebut bahawa perkara itu berlaku pada siang bulan Ramadhan. Walau bagimana pun dalam riwayat lain menunjukkan ia berlaku pada siang  bulan Ramadhan dan terdapat juga nas yang menunjukkan ia belaku dalam bulan Ramadhan.
عَنْ أَبِى هُرَيْرَةَ رَضِىَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ : جَاءَ رَجُلٌ إِلَى رَسُولِ اللَّهِ -صلى الله عليه وسلم- وَهُوَ يَنْتِفُ شَعَرَ رَأْسِهِ وَيَدُقُّ صَدْرَهُ وَيَقُولُ : هَلَكَ الأَبْعَدُ فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ -صلى الله عليه وسلم- :« هَلاَكًا مَاذَا ». قَالَ : إِنِّى وَقَعْتُ عَلَى أَهْلِى الْيَوْمَ وَذَلِكَ فِى رَمَضَانَ قَالَ :« هَلْ عِنْدِكَ رَقَبَةٌ تُعْتِقُهَا ». قَالَ : لاَ. فَقَالَ :« فَهَلْ تَسْتَطِيعُ صِيَامَ شَهْرَيْنِ مُتَتَابِعَيْنِ ». قَالَ : لاَ. قَالَ :« فَهَلْ تَسْتَطِيعُ إِطْعَامَ سِتِّينَ مِسْكِينًا ». قَالَ : لاَ ، ثُمَّ انْصَرَفَ الرَّجُلُ فَجَاءَ رَجُلٌ مِنَ النَّاسِ بِعَرَقٍ عَظِيمٍ فِيهِ صَدَقَةُ مَالِهِ فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ -صلى الله عليه وسلم- :« أَيْنَ السَّائِلُ؟ ». قَالُوا : قَدِ انْصَرَفَ قَالَ :« عَلَىَّ بِهِ ». فَجَاءَهُ الرَّجُلُ فَقَالَ :« خُذْ هَذَا فَتَصَدَّقْ بِهِ كَفَّارَةً لِمَا صَنَعْتَ ». قَالَ : يَا رَسُولَ اللَّهِ أَعَلَى أَحْوَجَ مِنِّى وَأَهْلِ بَيْتِى وَالَّذِى نَفْسِى بِيَدِهِ مَا بَيْنَ لاَبَتَيْهَا أَحْوَجُ مِنِّى وَمِنْ أَهْلِ بَيْتِى قَالَ فَضَحِكَ رَسُولُ اللَّهِ -صلى الله عليه وسلم- حَتَّى بَدَتْ نَوَاجِذُهُ قَالَ :« فَكُلْ وَأَطْعِمْ أَهْلَ بَيْتِكَ وَاقْضِ يَوْمًا مَكَانَهُ ». 12275
السنن الكبرى للبيهقي وفي ذيله الجوهر النقي - (4 / 226)
Bermaksud: Daripada Abu Hurayrah r.a. katanya, seorang lelaki datang kepada Rasulullah s.a.w. dia menarik rambut kepalanya dan menepuk dadanya seraya berkata: Binasa, maka Rasulullah s.a.w. bersabda: Binasa apa? Jawab lelaki itu: Pada hari ini, dalam bulan Ramadhan, aku telah mensetubuhi isteriku. Nabi bersabda: Adakah engkau memiliki hamba yang engkau boleh memerdekakannya? Jawabnya, tidak. Jawab Rasulullah s.a.w. Adakah engkau mampu berpuasa dua bulan berturut-turut? Jawabnya, tidak. Jawab Rasulullah s.a.w.: Adakah engkau mampu memberi makan 60 orang miskin? Jawabnya tidak. …

عَنْ عَائِشَةَ أَتَى رَجُلٌ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي الْمَسْجِدِ قَالَ احْتَرَقْتُ قَالَ مِمَّ ذَاكَ قَالَ وَقَعْتُ بِامْرَأَتِي فِي رَمَضَانَ قَالَ لَهُ تَصَدَّقْ قَالَ مَا عِنْدِي شَيْءٌ فَجَلَسَ وَأَتَاهُ إِنْسَانٌ يَسُوقُ حِمَارًا وَمَعَهُ طَعَامٌ قَالَ عَبْدُ الرَّحْمَنِ مَا أَدْرِي مَا هُوَ إِلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ أَيْنَ الْمُحْتَرِقُ فَقَالَ هَا أَنَا ذَا قَالَ خُذْ هَذَا فَتَصَدَّقْ بِهِ قَالَ عَلَى أَحْوَجَ مِنِّي مَا لِأَهْلِي طَعَامٌ قَالَ فَكُلُوهُ
 قَالَ أَبُو عَبْد اللَّهِ الْحَدِيثُ الْأَوَّلُ أَبْيَنُ قَوْلُهُ أَطْعِمْ أَهْلَكَ
صحيح البخاري - (21 / 95)
Bermaksud: Daripada `Aishah r.a., seorang lelaki dating kepada Nabi s.a.w. di dalam masjid, lalu katanya: Aku binasa. Jawab Baginda: Dari sebab apa kah itu? Jawabnya: Aku telah mensetubuhi isteriku pada bulan Ramadhan Jawab Nabi: …
Dari nas-nas di atas menunjukkan bahawa orang yang melakukan jimak dengan isterinya itu adalah pada siang bulan Ramadhan, dengan sengaja, lagi mengetahui akan tegahan perbuatan tersebut, sebab itu dia berkata “ halaktu” aku telah binasa, iaitu aku melakukan perbuatan yang membawa aku binasa, lalu Rasulullah s.a.w. menyuruhnya memerdekakan seorang hamba, jika dia tidak mendapatinya maka dia berpuasa dua bulan berturut-turut, jika dia tidak terdaya maka dia hendaklah memberi makan 60 orang miskin. Kata Imam al-Nawawi: Orang yang batal puasanya pada bulan Ramadhan dengan sebab jimak tanpa uzur sama ada bagi lelaki atau perempuan wajib baginya menahan diri dari (yang membatalkan puasa)  tanpa khilaf, dan wajib baginya qada. Mengenai kaffarah pula maka wajib bagi lelaki/suami sahaja. Adapun bagi perempuan/isteri maka menurut pendapat yang lebih sahih  (asahh) tidak wajib kaffarah. (al-Nawawi t.t.(a), 6: 377.). Kenyataan Imam al-Nawawi di atas menunjukkan menurut pendapat yang lebih sahih   (asahh) kaffarah itu adalah wajib ke atas suami/lelaki sahaja, tiada sesuatu ke atas perempuan.
Bentuk Kaffarah jimak/bersetubuh pada siang bulan Ramadhan
Bentuk kaffarah ini adalah mengikut tertib, iaitu wajib memerdekakan hamba, jika tidak dapat maka berpuasa dua bulan beturut-turut, maka jika tidak mampu hendaklah memberi makan 60 orang miskin sebagai mana yang dijelaskan dalam hadith riwayat Abu Huriyrah di atas. (al-Nawawi t.t.(a), 6: 380.).
Hukum bersetubuh dua hari atau lebih, dan bersetubuh dua kali atau lebih dalam satu hari, dalam bulan Ramadhan
Imam al-Nawawi berkata: Sepakat sahabat-sahabat kami ( ulama mazhab al-Shafi`i), Seseorang yang bersetubuh dengan isterinya dua hari atau lebih dalam bulan Ramadhan maka wajib ke atasnya bagi setiap hari satu kaffarah, kerana puasa pada setiap hari itu dikira sebagai ibadah yang berasingan.  Menurut Imam Malik, Daud (al-Zahiri) dan dari salah satu yang lebih sahih dari dua riwayat daripada Imam Ahmad orang itu juga kena kaffarah bagi setiap hari satu kaffarah. Adapun orang yang bersetubuh dengan isterinya dua kali atau lebih pada satu hari maka wajib ke atasnya satu kaffarah sahaja iaitu untuk kali yang pertama, dan tiada kaffarah bagi kali keduanya atau yang selepasnya, dengan tiada khilaf, kerana apa yang dilakukan pada kali kedua itu dia dikira sebagai tidak berpuasa. Ini juga yang dikatakan oleh Imam Abu Hanifah dan Imam Malik. (al-Nawawi t.t.(a), 6: 384-385.).
Orang yang meneruskan persetubuhan setelah terbit fajar
Apabila telah terbit fajar sedangkan seseorang itu sedang bersetubuh dan meneruskan persetubuhannya sedangkan dia mengetahui bahawa fajar telah terbit maka batal puasanya dengan tiada khilaf. Manakala mengenai kaffarah pula maka menurut pendapat yang sahih yang dinaskan, wajib ke atasnya kaffarah, Inilah yang diputuskan oleh jamhur ulama.  (al-Nawawi t.t.(a), 6: 386-387.).
Orang yang menyangka fajar belum terbit atau matahari telah terbenam lalu dia bersetubuh.
 Seseorang yang menyangka bahawa fajar belum terbit  atau   matahari telah terbenam iaitu telah masuk maghrib, lalu dia bersetubuh kemudian ternyata sebaliknya maka orang itu tiada kena kaffarah. Kata Imam al-Nawawi: Inilah yang diputuskan oleh sahabat-sahabat (ulama-ulama mazhab al-Shafi`i).  (al-Nawawi t.t.(a), 6: 388.).

Orang yang sakit atau musafir bersetubuh.
Orang yang sakit atau musafir membatalkan puasanya  dengan bersetubuh pada siang bulan Ramadhan hukumnya jika dia kasadkan dengan jimak itu kerana kemudahan yang ada padanya sebagai orang sakit atau orang musafir maka dia tidak kena kaffarah. Jika dia tidak kasad yang demikian maka menurut yang lebih sahih dia tidak kena kaffarah juga. (al-Nawawi t.t.(a), 6: 389.). Orang yang sakit  diharuskan tidak berpuasa begitu juga dengan orang yang musafir. Firman Allah:
{فَمَنْ كَانَ مِنْكُمْ مَرِيضًا أَوْ عَلَى سَفَرٍ فَعِدَّةٌ مِنْ أَيَّامٍ} [البقرة : 184]
Bermaksud:  Sesiapa dari kalangan kamu yang sakit   atau musafir maka (diganti) beberapa hari (mengikut bilang yang dia tidak berpuasa).                                 Oleh itu jika dia bersetubuh dengan kasad akan keharusan yang ada padanya maka dia tidak kena kaffarah. Jika dia tidak kasad yang demikian itu, maka dia juga tidak kena kaffarah menurut pendapat  yang lebih sahih (asahh) kerana dia diharuskan tidak berpuasa.

Orang yang bermukim bersetubuh selepas itu terus musafir
Seorang yang tidak musafir (mukim) berpuasa pada bulan Ramadhan, kemudian dia bersetubuh maka batal puasanya, selepas itu pada hari itu juga dia musafir maka tidak gugur kaffarah ke atasnya menurut pendapat yang al-mazhab, dan inilah yang diputuskan oleh jamhur al-ulama.   (al-Nawawi t.t.(a), 6: 389.). Bermaksud: orang itu tetap kena kaffarah.

Orang yang sihat berpuasa lalu dia bersetubuh  selepas itu dia  demam pada  hari itu juga.
Seorang yang sihat dia berpuasa pada bulan Ramadhan lalu dia bersetubuh maka batallah puasanya, selepas itu juga dia demam pada hari itu juga, maka menurut pendapat yang lebih sahih dari pendapat yang lebih sahih tidak gugur kaffarah ke atasnya. .   (al-Nawawi t.t.(a), 6: 389.). Bermaksud orang ini tetap kena kaffarah.

Orang yang sihat berpuasa lalu dia bersetubuh kemudian gila.
Seorang yang sihat dia berpuasa pada bulan Ramadhan lalu dia bersetubuh maka batallah puasanya kemudian dia gila atau dia mati maka menurut pendapat yang lebih sahih gugur kaffarah darinya (tidak kena kaffarah) kerana harinya itu tidak sesuai (salih)  untuk berpuasa. (al-Nawawi t.t.(a), 6: 389.). Seorang yang gila walaupun sekejap batal puasanya.

Hukum meliwat/mensetubuhi isteri pada dubur, meliwat kanak-kanak dan dewasa.
Hukum meliwat/mensetubuhi isteri pada dubur, meliwat kanak-kanak dan dewasa adalah sama dengan mensetubuhi isteri pada qubul dari sudut batal pusanya, wajib menahan diri (dari yang membatalkan puasa ???) pada baki harinya, wajib qada dan wajib kaffarah. Adapun melakukan perkerjaan itu pada qubul atau dubur  binatang maka menurut pendapat yang lebih sahih (asahh) memutuskan dengan wajib kaffarah padanya. . (al-Nawawi t.t.(a), 6: 390.).

Hukum zina, wati subhat, wati pada nikah yang fasad dan lain-lain
Bersetubuh dengan cara zina, wati subhat, wati pada nikah yang fasad, meliwat hambanya, saudara perempuannya, anak perempuannya, perempuan kafir dan perempuan-perempuan lain sama sahaja dari segi batal puasa, wajib qada, wajib kaffarah dan wajib menahan (dari melakukan perkara-perkara yang membatalkan puasa pada baki harinya. . (al-Nawawi t.t.(a), 6: 390.). Perbincangan hukum di sini adalah dari sudut yang berkaitan dengan puasa pada bulan Ramadhan, tidak menyentuh hukum hudud.

Melakukan perkara yang membatalkan puasa selain dari jimak/bersetubuh.
Seseorang yang membatalkan puasanya dengan yang lain dari jimak seperti makan, minum, mengeluarkan mani dengan sengaja atau lainnya maka tidak kena kaffarah kerana  nas yang berkaitan dengan kaffarah adalah pada jimak/bersetubuh. Inilah yang al-mazhab dan yang diputuskan oleh jamhur ulama. (al-Nawawi t.t.(a), 6: 390).

Pengenalan kepada jimak yang wajib kaffarah
Kata Imam al-Nawawi: Imam al-Ghazali dan lainnya  telah memberi penjelasan mengenai wajib kaffarah dengan sebab jimak. Iaitu kaffarah itu wajib kepada orang yang membatalkan puasanya pada siang dari bulan Ramadhan dengan sebab jimak/bersetubuh yang sempurna, dia berdosa dengannya, dengan sebab puasa. (al-Nawawi t.t.(a), 6: 392).                                                                                                 Pengenalan (dabit) di atas mempunyai beberapa ikatan.                                                                                                     
Pertama, “Membatalkan puasanya”. Maka terkeluar darinya: Orang yang melakukan jimak dengan keadaan lupa bahawa dia berpuasa Ramadhan (sama dengan makan dengan keadaan lupa akan puasanya) Perbuatan ini tidak membatalkan puasa mengikut yang al-mazhab . Apabila kami kata tidak membatalkan puasa maka tidak kena kaffarah sebab tidak batal. Jika dikatakan batal puasa pun maka menurut pendapat yang lebih sahih tidak kena kaffarah juga kerana dia tidak berdosa.

Kedua. Perkataan “dari bulan Ramadhan” maka tiada kena kaffarah dengan sebab membatalkan puasa sunat, puasa nazar, puasa qada dan puasa kaffarah jimak/bersetubuh. Sebabnya ialah kaffarah itu hanya untuk menghormati bulan Ramadhan.

Ketiga. Perkataan” sebab jimak/bersetubuh” maka terkeluar dari perkataan itu: batal puasa dengan sebab makan, minum, mengeluarkan mani, dan bercumbu-cumbu selain dari persetubuhan/wati maka dalam perkara-perkara tersebut tidak kena kaffarah menurut yang al-mazhab. (al-Nawawi t.t.(a), 6: 392). Dari sini difahami bahawa orang yang membatalkan puasanya dengan makan, selepas itu dia bersetubuh dengan isterinya dia tidak kena kaffarah.
                                                                                                                    
Keempat. “yang sempurna” terkeluar dari perkataan itu tidak sempurna. Oleh itu perempuan yang kena jimak maka batal puasanya dengan sebab dimasukkan setengah zakar (khasafah) dalam farajnya. Hukum jimak/bersetubuh tidak sabit kecuali dengan memasukkan semua khasafah. Oleh itu bagi perempuan dia dihukumkan batal puasanya sebelum jatuh hukum jimak. 
                                                                                                         
Kelima. “dia berdosa dengannya” terkeluar dari perkataan itu orang yang jimak setelah terbit fajar sedangkan dia menyangka masih berada diwaktu malam maka puasanya tidak batal dan tiada kaffarah baginya.                                                           

Keenam. “dengan sebab puasa” maka terkeluar dari perkataan itu orang yang musafir dia berpuasa kemudian dia batalkan puasanya dengan jimak/persetubuhan sekalipun dengan cara zina, kerana mengambil kemudahan sebagai seorang  musafir (mutarahhisan) maka tiada kaffarah ke atasnya. . (al-Nawawi t.t.(a), 6: 392).

Orang yang tidak mampu membayar kaffarah jimak pada siang Ramadhan.
Sebelum diperkata mengenai perkara tersebut perlu diambil perhatian bahawa hak harta yang wajib bagi Allah ada tiga bentuk.

pertama, wajib yang bukan dengan sebab yang secara langsung dari hamba, seperti zakat fitrah. Dalam perkara ini jika tidak mampu ketika diwajibkan maka tidak lagi tertanggung ke atas dirinya. 

Kedua, wajib yang dengan sebab dari hamba itu dengan cara gentian seperti fidyah memakai minyak wangi dan memakai baju ketika mengerjakan haji. Dalam perkara ini, jika seseorang itu tidak mampu ketika diwajibkan maka kewajipan itu tetap tertanggung di atas dirinya.

Ketiga, wajib yang dengan sebab dari hamba itu, bukan berbentuk gantian seperti kiffarah jimak pada siang bulan Ramadhan. Mengenai  kiffarah jimak pada siang bulan Ramadhan ini ada dua pendapat yang masyhur.
Pertama, yang lebih sahihnya di sisi sahabat (ulama-ulama mazhab al-Shafi`i) ia tetap tertanggung di atas orang itu, maka apabila dia mampu melaksanakan salah satu dari hukuman itu dia wajib melaksanakannya. Kedua, tidak tertanggung ke atasnya. . (al-Nawawi t.t.(a), 6: 393-394).

Beberapa masalah yang berkaitan dengan jimak pada puasa di bulan Ramadhan
Pertama. Orang yang lupa berniat pada malam bulan Ramadhan kemudian pada siangnya dia bersetubuh maka orang itu tidak kena kaffarah dengan tiada khilaf, kerana persetubuhan itu tidak merosakkan puasa . . (al-Nawawi t.t.(a), 6: 394). Orang itu tidak kena kaffarah sebab puasanya tidak sah kerana tidak melakukan niat pada waktu malam. Apabila puasanya tidak sah maka dia tidak kena kaffarah. Walau bagaimanapun bagi orang yang tidak berniat ini, haram ke atasnya makan, minum dan bersetubuh sekalipun puasanya tidak sah dan wajib qada.                                                                                               
Kedua. Seseorang yang melakukan persetubuhan pada waktu siang bulan Ramadhan dengan alasan tidak tahu hukumnya haram.  Jika orang ini baru masuk Islam atau seumpamanya maka tidak kena kaffarah. Jika sebaliknya maka dia kena kaffarah. Jika dia berkata: Aku tahu akan haram persetubuhan pada siang Ramadhan tetapi aku tidak tahu tentang wajib kaffarah maka dalam masalah ini wajib keatasnya kaffarah dengan tanpa khilaf, kerana kecuaiannya.

Ini adalah sedikit perbincanggan mengenai Kaffarah jimak siang Ramadhan. Mudah-mudahan ianya memberi manfa`at kepada kita