Akal


Ustaz Udah Mohsin
Masjid al-Istiqamah Sg Merab



بسم الله الرحمن الرحيم
الحمد لله رب العالمين و الصلاة و السلام على أشرف المرسلين سيدنا محمد و على اله و أصحابه أجمعين.  


Makalah ini memperkatakan tentang  peranan akal. Di dalam makalah ini juga ditegaskan bahawa akal yang waras sepatutnya beriman kepada Allah SWT apabila ia memerhatikan dan memikirkankan  kejadian-kejadian yang terdapat di alam ini, akal yang waras juga akan terus beriman kepada Allah SWT apabila dia mentadabbur isi kandungan al-Quran dan bukan setakat itu sahaja malah dia akan terus beriman kepada Muhammad sebagai Rasul-Nya. Seterusnya makalah ini menyentuh tentang batas-batas akal dan hubung kait diantara akal dan taklif syara’.

Pendahuluan
Tidak syak lagi bahawa akal mempunyai peranan yang amat penting bagi setiap manusia. Akallah yang membezakan di antara manusia  dengan haiwan. Tanpa akal manusia akan hanya mengikut hawa nafsunya sahaja, sama seperti haiwan. Dia tidak mempunyai neraca yang boleh menimbang samada sesuatu itu baik atau buruk, betul atau salah. Seterusnya dia tidak boleh berfikir bagaimana untuk maju dan bagaimana untuk mengimarahkan dunia ini. Di dalam Islam seseorang yang tidak berakal, gugurlah tuntutan  syara’ ke atasnya. Orang yang tidak berakal tidak wajib sembahyag fardu lima waktu, tidak wajib puasa di bulan Ramadan dan tidak wajib mengerjakan haji sekalipun dia mampu pergi ke Baitullah. Orang yang tidak berakal juga apabila dia melakukan kesalahan dia tidak boleh dihukum mengikut hukuman bagi kesalahan yang dilakukan itu.

Peranan akal.
Di dalam al-Quran terdapat banyak nas yang memperkatakan tentang peranan akal.
Di antara nas-nas berkaitan dengannya ialah firman Allah (s.w.t):

1.
ان في خلق السموات و الأرض و اختلاف الليل و النهار و الفلك التي تجري في البحر بما ينفع الناس و ما انزل الله من السماء من ماء فأحيا به الأرض بعد موتها و بث فيها من كل دابة و تصريف الرياح و السحاب المسحر بين السماء و الأرض لايت لقوم يعقلون
(al-Baqarah, 2:  164)
Bermaksud: Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi, pertukaran siang dan malam, bahtera yang belayar di laut membawa sesuatu yang memberi manfa’at kepada manusia, air yang diturunkan oleh Allah dari langit lantas Allah hidupkan dengannya  bumi yang telah mati dan Dia sebarkan di atas muka bumi ini dari segala jenis binatang dan pengisaran angin dan awan yang dikendalikan di antara langit dan bumi sesungguhnya itu semua adalah tanda-tanda bagi kaum yang berakal.
Ayat di atas antara lain menegaskan peranan akal iaitu menjadikan kejadian langit dan bumi, pertukaran siang dan malam dan lain-lain yang disebutkan di dalam ayat ini sebagai tanda-tanda kekuasaan, kebesaran dan ketauhidan Allah.

2.
و هو الذي مد الأرض وجعل فيها رواسي و أنهارا و من كل الثمرت  جعل فيها زوجين اثنين يغشي الليل النهار ان في ذلك لأيت لقوم يتفكر ون   و في الأرض قطع متجورت  و جنت من أعنب و زرع و نخيل صنوان و غير صنوان يسقى بماء وحد و نفضل بعضها على بعض في الأكل إن في ذلك لآيات لقوم يعقلون
(al-Ra`d, 13: 3-4)
Bermaksud: Dan Dialah yang telah membentangkan bumi dan menjadikan padanya gunung-gunung dan sungai-sungai, dan Allah jadikan padanya dari setiap segala buah-buahan berpasang-pasangan, Allah menutupkan malam pada siang. Sesungguhnya pada yang demukian itu adalah tanda-tanda kepada kaum yang berfikir. Dan di bumi ini terdapat bahagian-bahagian  yang berdampingan, dan kebun-kebun anggur, tanam-tanaman dan pohon kurma yang bercabang dan yang tidak bercabang, disirami dengan air yang sama. Kami melebihkan sebahagian tanaman itu atas sebahagian yang lain tentang rasanya. Sesungguhnya pada yang demikian itu adalah tanda-tanda kepada kaum yang berfikir.
Ayat di atas menegaskan peranan akal yang antara lain akal hendaklah menjadikan pembentangan bumi yang luas, kejadian gunung-ganang dan sungai-sungai, kejadian buah-buahan semua itu berpasangan dan pertukaran siang dan malam sebagai tanda kepada kebesaran Allah. Akal juga diperintahkan supaya menjadikan adanya bahagian-bahagian yang berdampingan di bumi, kebun-kebun anggur, tanam-tanaman dan pohon-pohon kurma semuanya itu disiram dengan air yang sama tetapi mempunyai rasa yang berlainan sebagai tanda kekuasaan dan kebesaran Allah.

3.
الذين يذكرن الله قيما و قعودا و على جنوبهم و يتفكرون في خلق السموت والأرض ربنا ما خلقت هذا بطلا سبحنك فقنا غذاب النار
 (Ali Imran, 3: 191)
Bermaksud: Mereka yang mengingati Allah berdiri, duduk dan baring dan mereka berfikir tentang kejadian langit dan bumi, wahai Tuhan kami Engkau tidak jadikan ini semua sia-sia, Maha Suci Engkau maka peliharalah kami dari azab neraka.
Ayat ini menyuruh manusia menggunakan akalnya memikirkan kejadian langit dan bumi, semua ini dijadikan oleh Allah tanpa sia-sia, semua ada hikmatnya.
4.
و أنزلنا اليك الذكر لتبين للناس ما نزل اليهم و لعلهم يتفكرون
(al-Nahl, 16: 44)
Bermaksud: Dan Kami turunkan kepada engkau peringatan (Quran) supaya engkau terangkan kepada manusia apa yang diturunkan kepada mereka dan mudah-mudahan  mereka berfikir.
Di antara kandungan ayat di atas menyuruh manusia supaya memikirkan isi kandungan al-Quran.
أ فلا يتدبرون القران أم على قلوب أقفالها
(Muhammad,47: 24)
Bermaksud: Tidakkah mereka mentadabburkan al-Quran ataupun hati mereka terkunci.
Ayat di atas menyuruh manusia memerhati dan mentadabburkan isi kandungan al-Quran.

5.
فاقصص القصص لعلهم يتفكرون
(al-A`raf, 7: 176)
Bermaksud: Ceritakanlah (wahai Muhammad) kisah-kisah itu mudah-mudahan mereka berfikir.
Di antar kandungan ayat di atas Allah menyuruh RasulullahNya menceritakan kisah orang-orang kafir dan bagaimanakah natijah mereka.

6.
قل لا أقول لكم عندي خزائن الله و لا اعلم الغيب و لا اقول لكم اني ملك ان اتبع الا ما يوحى الي قل هل يستوي الأعمى و البصير أ فلا تتفكرون
(al-An`am, 6: 50)
Bermaksud: Katakan (wahai Muhamad) aku tidak berkata kepada kamu aku memiliki khazanah Allah, aku tidak mengetahui perkara yang ghaib dan aku tidak berkata aku ini malaikat, apa yang aku ikut ialah apa yang diwahyukan kepada aku. Katakan (wahai Muhammad) adakah sama orang yang buta dengan orang yang dapat melihat. Tidakkah kamu berfikir.
Di antara kandungan ayat di atas menyuruh manusia supaya berfikir adakah sama di antara orang yang buta dengan orang melihat. Buta di sini ialah orang yang tidak mendapat hidayah dari Allah dan celek ialah orang yang mendapat hidayah dari Allah.

7.
فأما عاد فاستكبروا في الأرض بغير الحق و قالوا من أشد منا قوة أ و لم يروا أن الله الذي خلقهم هو أشد منهم قوة و كانوا بايتنا يجحدون
  ( Fussilat, 41: 15)
Bermaksud: Maka adapun kaum ‘Ad mereka takabur di atas muka bumi tanpa sebarang alasan yang benar dan mereka berkata siapakah yang lebih kuat dari kami?  dan adakah mereka tidak melihat bahawasanya Allah yang menjadikan mereka Dia adalah lebih kuat dari mereka mereka adalah mengingkari ayat-ayat Kami.
Di antara kandungan ayat ini menyuruh manusia supaya berfikir tentang kekuatan Allah. Allah yang menjadikan kaum ‘Ad adalah lebih kuat dari mereka.

8.
أ و لم يسيروا في الأرض فينضروا كيف كان عاقبة الذين من قبلهم و كانوا أشد منهم قوة
(Fatir, 35: 44)
Bermaksud: Dan adakah mereka tidak berjalan di atas muka bumi lalu melihat bagaimana akibat orang yang sebelum mereka sedangkan orang-orang itu lebih besar kekuataannya dari mereka.
Di antara kandungan ayat ini ialah menyuruh manusia melihat dan memikirkan bagaimana akibat orang-orang yang dahulu yang tidak mahu beriman.
9.
أ فلا ينظرون الى الابل كيف خلقت و الى السماء كيف رفعت و الى الجبال كيف نصبت و الى  الأرض كيف سطحت
(alGhashiyah,88: 17-20)
Bermaksud: Maka tidakkah mereka melihat kepada unta bagimana ia dijadikan, kepada langit bagaimana diangkat, kepada gunung bagaimana ia ditegakkan dan kepada bumi bagaimana ia dihamparkan.
Ayat di atas menggesa manusia supaya melihat dan memikirkan tentang kejadian unta, langit di angkat, gunung ganang ditegakkan dan bumi dihamparkan.

Dari ayat-ayat diatas difahami, akal mempunyai peranan yang besar. Akal hendaklah digunakan untuk memikirkan kejadian langit dan bumi, gunung-ganang, lautan, ribut taufan, malam dan siang, tumbuh-tumbuhan yang terdapat di atas bumi, bagaimana tanaman-tanaman yang mendapat air yang sama tetapi mempunyai rasa yang berlainan dan perbezaan dari segi kelazatannya.
Akal juga hendaklah memikirkan bahawa adalah tidak sama di antara orang yang buta mata hatinya dengan orang yang celek. Akal juga hendaklah mengambil iktibar dari orang-orang yang dahulu yang telah dibinasakan oleh Allah kerana kekufuran mereka. Lebih penting lagi akal hendaklah memikirkan tentang isi kandungan al-Quran.

Akal Dan Iman
Jika peranan akal begitu besar sebagaimana yang disebutkan di atas tadi, maka akal yang tidak membawa kepada beriman kepada Allah dengan melihat, memerhati, memikir dan mentadabbur perkara-perkara yang telah disebutkan di atas maka itu amat dicela.
Firman Allah:
  و لقد ذررأنا لجهنم كثيرا من الجن و الانس لهم قلوب لا يفقهون بها و لهم أعين لا
يبصرون بها و لهم آذان لا يسمعون بها أولئك كالأنعام بل هم أضل أولئك هم الغافلون

(al-A`raf, 7: 179)  Bermaksud: Dan Kami jadikan untuk isi neraka Jahannam ramai dari kalangan manusia dan jin mereka mempunyai hati yang mereka tidak memahami dengannya, mereka mempunyai mata yang mereka tidak melihat dengannya dan mereka mempunyai telinga yang mereka  tidak mendengar dengannya. Mereka adalah seperti binatang bahkan mereka lebih sesat. Merekalah orang yang lalai.
Akal juga sepatutnya memikir adakah nabi Muhammad itu seorang yang gila sehingga orang-orang kafir itu tidak beriman dengannya sedangkan yang dibawanya itu adalah benar isi kandungannya, tinggi dari segi bahasanya dan ia merupakan mu’jizat yang mereka tidak dapat membuat sepertinya walau satu ayat sekalipun. Dalam hal ini Allah berfirman:
أ ولم  يتفكروا ما بصاحبهم من جنة ان  هو الا نذير مبين   
( al-A`raf, 7: 184)
Bermaksud: Adakah mereka tidak berfikir sahabat mereka (Muhammad) bukanlah orang yang gila tetapi dia adalah seorang yang memberi peringatan lagi pemberi penjelasan.
Setelah diterangkan mengenai kefanaan dan rendahnya dunia itu dibandingkan dengan negeri Akhirat sepatutnya manusia memikirkan mengenai ini dan sepatutnya mereka beriman jika mereka seorang yang berakal.
Firman Allah:
 و الدار الاخرة خير للذين يتقون أ فلا تعقلون
(A`raf, 7: 169) 
Bermaksud: Dan tempat tinggal di Akhirat itu adalah lebih baik kepada orang yang bertakwa. Adakah kamu tidak berakal?.
Dari keterangan-keterangan di atas ternyata sapatutnya akal yang waras tidak sekali-sekali menolak keimanan kepada Allah, kepada al-Quran dan kepada risalah Muhammad (s.a.w.) bahkan akal yang waras membawa kepada beriman kepada Allah setelah melihat dan memikirkan tentang kekuasaanNya. Akal yang waras juga terus menerima al-Quran setelah meneliti isi kandungan dan bahasanya dan akal yang waras terus beriman kepada Rasulullah setelah melihat kepada risalah yang dibawanya dan kepada peribadi Baginda.

Persoalannya sekarang ialah bagaimana ramai orang yang bijak, boleh mencipta perkara yang hebat-hebat, meneroka angkasa lepas yang sudah tentunya dianggap mempunyai akal yang besar tetapi mereka tidak beriman. Untuk menjawab persoalan ini di antara lain  ialah kemungkinan mereka tidak mengenal Allah sekalipun mereka mengakui kejadian alam yang begini agung mesti ada yang menjadikannya. Mengenal Allah memerlukan kepada ilmu. Ilmu ini diperolehi dengan belajar atau disampaikan. Beriman kepada Allah juga memerlukan hidayah daripadaNya.


Firman Allah:
أن يهديه  يشرح صدره للإسلام و من يريد أن يضله يجعل صدره ضيقا حرجا كأنما يصعد في فمن يريد الله السماء
 (al-An`am, 6: 125)
Bermaksud: Sesiapa yang dikehandaki oleh Allah untuk memberi hidayah kepadanya Allah melapangkan dadanya untuk (memeluk) Islam dan sesiapa yang dikehendaki oleh Allah untuk menyesatkanya Allah menjadikan dadanya sesak lagi sempit seolah-olah dia sedang mendaki langit.  
Pencapaian-pencapaian akal dan ilmu menjadikan manusia boleh sampai ke bulan tetapi tidak semestinya orang yang memilikinya beriman - sekalipun sepatutnya mereka beriman- kerana sesuatu yang berada di dunia boleh diperolehi apabila menepati syaratnya. Dalam hal iniRasulullah bersabda: أنتم أعلم بأمر دنياكم     ( Muslim1955, 4: 1836) Bermaksud: Kamu lebih mengetahui tentang urusan-urasan dunia kamu.
  
Batas-Batas Akal
Di antara nas-nas yang berkaitan dengan batas-batas akal ialah:
Firman Allah (s.w.t.):
 ان الله عنده علم الساعة و ينزل الغيث و يعلم ما في الأرحام و ما تدري نفس ماذا تكسب غدا وما تدري نفس بأي أض تموت ان الله عليم خبير
(Luqman, 31: 34)
Bermaksud : Bahawasanya Allah memiliki ilmu tentang kiamat, Dialah yang menurunkan hujan Dialah yang mengetahui apa yang di dalam rahim, diri seseorang itu tidak mengetahui apa yang dia akan lakukan besok hari, diri seseorang itu tidak mengetahui di bumi mana dia akan mati. Bahawasanya Allah amat mengetahui dan amat bijaksana.
Ayat di atas menjelaskan diri seseorang yang di dalamnya mengandungi akal yang bijak tetapi diri itu terbatas dari mengetahui hakikat apa yang sebenarnya yang dia akan lakukan besok hari dan di mana dia akan mati. Manusia dengan akalnya yang bijak hanya boleh merancang dan memikir tetapi untuk mengetahui apa yang sebenarnya dia akan lakukan besok hari dia tidak mengetahui dengan tepat, dan di mana dia akan mati dia tidak tahu dengan tepatnya.

Sabda Rasulullah (s.a.w.):
  انما انا بشر , اذا امرتكم بشي من دينكم فخذوا به , و اذا أمرتكم بشي من رأي فانما أنا بشر
(Muslim 1955, 4: 1835)
Bermaksud: Sesungguhnya aku adalah manusia, apabila aku menyuruh kamu mengenai agama kamu hendaklah kamu berpegang dengannya, dan apabila aku menyuruh kamu dari fikiran maka bahawasanya aku adalah manusia.
Hadith di atas menjelaskan mengenai pendapat iaitu sesuatu yang di asaskan kepada akal ia bukan semestinya betul sekalipun datang dari Rasul. Adapun agama iaitu yang diasaskan kepada wahyu maka dia tidak salah dan wajib berpegang dengannya. Sabdanya lagi:
انما أنا بشر , و انكم تختصمون الي , و لعل بعضكم أن يكون ألحن بحجته من بعض , فأقضي على نحو ما أسمع , فمن قضيت له بحق أخيه شيئا فلا ياخذه فإنما أقطع له قطعة من النار
(al-Bukhari t.t.13: 157)
Bermaksud: Bahawasanya aku adalah manusia, dan kamu berhujah di hadapanku, kemungkinan setengah dari kamu kurang pandai berhujah dari yang lain, aku menghukum mengikut apa yang aku dengar, maka sesiapa yang aku menangkan dia dengan  sebab ia mengambil hak sudaranya maka aku berikan kepadanya satu potongan dari api neraka.
Dari Hadith di atas difahami bahawa hukuman yang berasaskan kepada ijtihad dan ijtihad ini pula diasaskan kepada fakta-fakta yang zahir ia bukan semestinya tepat kepada yang sebenarnya sekalipun datangnya dari Rasulullah. Dengan ini sesuatu yang ditetapkan oleh akal bukan semestinya betul.
Sabda Rasulullah (s.a.w):
 انما أقضي بينكم برأيي فيما لم ينزل علي فيه
( Abu Daud 1973,4: 15)
Bermaksud: Bahawasanya aku menghukum kepada kamu dengan pendapatku pada sesuatu yang tidak diturunkan wahyu padaku.
Hadith di atas menjelaskan sesuatu yang telah ada wahyu padanya tidak boleh berijtihad pada nya. Dengan ini akal hanya boleh di gunakan pada sesuatu yang tidak ada nas padanya atau untuk memahami nas.
Sabda Rasulullah lagi:
 من قال في القران برأيه فليتبوأ مقعده من النار
(al-Tirmidhi 1965, 5: 199)
Bermaksud: Sesiapa berkata mengenai al-quran dengan pendapatnya maka dia hendaklah menyediakan tempat duduknya dari neraka Jahannam.
Hadith di atas melarang seseorang yang hanya memperkatakan al-Quran dengan pemikirannya sahaja tanpa ilmu agama. Di dalam hadith yang lain Rasullah bersabda:
من قال في القران بغير علم فليتبوأ مقعده من النار
(al-Tirimdhi 1965, 5: 199)
Bermaksud: Sesiapa yang berkata mengenai al-Quran tanpa ilmu maka hendaklah ia menyedia tempat duduknya dari neraka Jahannam.
Di dalam satu riwayat Rasullah bersabda:
من قال في القران برايه فأصاب فأخطأ
( al-Tirmidhi 1965, 5: 200)
Bermaksud: Sesiapa berkata mengenai al-Quran dengan pendapatnya (sahaja tanpa ilmu agama) lalu   menepati kebenaran maka dia adalah ( dihukumkan) salah.
Dari nas-nas di atas jelas akal tidak boleh mengetahui dengan tepat sesuatu yang belum berlaku, dia tidak tahu dengan tepat apa yang dia akan lakukan pada besok hari, dan di bumi mana dia akan mati. Dengan ini akal tidak boleh menandingi wahyu, sesuatu yang telah ditetapkan oleh wahyu akal tidak boleh mendahuluinya. Sesuatu hukuman yang diputuskan oleh akal tidak semestinya betul. Akal menghukum sesuatu itu mengikut fakta yang diperolehinya. Seseorang yang hendak memperkatakan mengenai al-Quran atau hendak membuat tafsiran mengenai al-Quran  mestilah mempunyai ilmu di dalam agama supaya tafsirannya itu betul atau hampir kepada betul.

Hubungan Akal dengan Syara`
Akal dan syara` mempunyai hubungan yang amat kuat. Seseorang yang tidak berakal gugur taklif daripadanya, Sabda Rasullah (s.a.w.)
رفع القلم عن ثلاثة عن المجنون المغلوب على عقله حتى يفيق و عن الناعم حتى يستيقظ و عن الصبي حتى يحتلم 
(Abu Daud 1973, 4: 559)
Bermaksud: Diangkatkan Qalam (tiada dosa dan pahala) dari tiga golongan, dari orang gila yang tertutup akalnya sehingga dia sembuh, dari orang tidur sehingga dia berjaga dan dari kanak-kanak sehingga dia bermimpi (baligh)
Dari segi ajaran agama pula ada yang ma’qul al-ma`na dan ada yang ta`abbudi. Ma`qul al-ma`na seperti mandi setelah bersetubuh, suruhan sembahyang berjama`ah dan lain-lain yang dapat diketahui hikmatnya. Adapun yang ta`abbudi ialah seperti dua raka`at bagi sembahyang Subuh, menyapu di atas huf dan lain-lain. Mengenai perkara yang ta`abbudi ini Saydina Ali (k.a.w.) ada berkata:
لو كان الدين بالرأي لكان أسفل الخف أولى بالمسح من أعلاه و قد رأيت رسول الله يمسح على ظاهر خفيه
( Abu Daud 1973, 4: 559)
Bermaksud: Kalaulah agama itu dengan pemikiran nescaya bawah huf lebih utama disapu dari yang di atas, tetapi sesungguhnya aku telah melihat Rasulullah menyapu zahir huf Baginda. Zahir huf ialah bahagian atasnya.

Kesimpulan
Di dalam Islam peranan akal adalah amat penting. Tanpa akal seseorang itu tidak ada taklif baginya. Akal sepatutnya digunakan bagi memikirkan mengenai kejadian alam yang mana pada akhirnya akal akan berpendapat bahawa alam ini mesti ada yang menjadikan dan yang menjadikannya adalah Maha Kuasa, Maha Bijaksana dan Maha Kuat. Akal juga akan berpendapat bahawa yang memjadikan itu adalah bersifat tunggal, tidak berbilang-bilang. Akal yang waras akan terus tunduk kepada Allah dan beriman kepadaNya  setelah dia mendengar isi kandungan al-Quran dan dia juga akan terus beriman kepada pembawa al-Quran itu iaitu Muhammad (s.a.w.).


Rujukan
al-Quran al-Karim
Abu Daud, Suliman bin al-Ashath. 1973. Al-Sunan, ta`liq Muhammad `Ali al-Sayyid. Suriya: Dar al-Hadith.
Al-Bukhari, Muhammad bin Ismail. t.th. Sahih al-Bukhari, tahqiq Muhammad Fuad Abd. Baqi. Kahirah: al-Salafiyyah.
Muslim bin al-Hajjaj. 1955. Sahih Muslim, tahqiq Muhammad Fuada Abd. Baqi. Kahirah: Isa al-Halabi.
al-Tirmidhi, Muhammad bin Surah. 1965. Al-Sunan, tahqiq Ibrahim bin `Uatwah. Kahirah: Mustafa al-Halabi.