HANYA ISLAM AGAMA YANG DITERIMA ALLAH s.w.t

Disediakan oleh:
Ust Dr.Udah Mohsin

Berpegang teguh dengan ajaran Allah.

AGAMA YANG DITERIMA ALLAH HANYA ISLAM SAHAJA
Firman Allah:
{ إِنَّ الدِّينَ عِنْدَ اللَّهِ الْإِسْلَامُ [آل عمران: 19
Bermaksud: Bahawasanya agama itu di sisi Allah s.w.t. adalah Islam.
Firman-Nya lagi
وَمَنْ يَبْتَغِ غَيْرَ الْإِسْلَامِ دِينًا فَلَنْ يُقْبَلَ مِنْهُ وَهُوَ فِي الْآخِرَةِ مِنَ الْخَاسِرِينَ (ال عمران 85
Bermaksud: Dan sesiapa yang mencari agama selain dari Islam maka tiada akan diterima daripadanya, dan dia di akhirat adalah dari kalangan orang yang rugi.
Dari dua ayat al-Quran di atas menunjukkan bahawa agama yang benar dan yang diredhai oleh Allah adalah hanya Islam sahaja. Sesiapa yang mencari agama yang lain dari Islam dia di akhirat adalah dari kalangan orang yang rugi. Ini ialah kerana dia dari golongan orang kafir yang berada dalam neraka selama-lamanya.
Oleh itu kita hendaklah mempertahankan Islam, menjaganya dan melaksanakan yang terkandung di dalamnya sama yang berbentuk suruhan atau larangan, maka Allah s.w.t. akan memberikan kepada kita kebahagian di dunia dan akhirat.

IKUTLAH ORANG SOLEH DAN JANGAN SEKALI-KALI MENGIKUT ORANG YANG MENYEMBAH SELAIN DARI ALLAH, SUPAYA TIDAK MENYESAL DI AKHIRAT KELAK.
Renungilah ayat al-Quran di bawah ini:
إِذْ تَبَرَّأَ الَّذِينَ اتُّبِعُوا مِنَ الَّذِينَ اتَّبَعُوا وَرَأَوُا الْعَذَابَ وَتَقَطَّعَتْ بِهِمُ الْأَسْبَابُ (166) وَقَالَ الَّذِينَ اتَّبَعُوا لَوْ أَنَّ لَنَا كَرَّةً فَنَتَبَرَّأَ مِنْهُمْ كَمَا تَبَرَّءُوا مِنَّا كَذَلِكَ يُرِيهِمُ اللَّهُ أَعْمَالَهُمْ حَسَرَاتٍ عَلَيْهِمْ وَمَا هُمْ بِخَارِجِين
َ مِنَ النَّارِ (167). [البقرة: 166-167)
Bermaksud: Ketika ketua-ketua yang menjadi ikutan itu berlepas diri dari mereka yang megikutnya, sedangkan kedua-dua pihak telah melihat azab sangsara yang dahsyat (yang disediakan untuk mereka semua) dan telah terputuslah hubungan di antara mereka.
Dan berkatalah mereka yang mengikut: Kalaulah bagi kami peluang balik ke dunia kami akan melepas diri dari mereka sebagaimana (pada saat ini) mereka melepaskan diri dari kami. Demikianlah Allah perlihatkan amalan-amalan mereka semua (ketika di dunia) adalah mendatangkan penyesalan kepada mereka, dan mereka tidak akan dikeluarkan dari neraka.
Ayat di atas jika dihubungkan dengan ayat yang sebelumnya menunjukkan, bahawa ketua-ketua orang kafir yang mengajak pengikut-pengikt mereka menyembah selain daripada Allah mereka di akhirat nanti akan berlepas diri dari pengikut-pengikut mereka. Para pengikut pula dengan penuh penyesalan yang tidak terhingga, berkata: Kalaulah bagi kami peluang balik ke dunia kami akan melepaskan diri kami dari mengikut mereka, sebagimana (pada saat ini) mereka melepaskan diri mereka dari kami. Malagnya, ini semua tidak akan berlaku. Apabila telah berada di akhirat maka sudah tidak ada jalan lagi untuk balik ke dunia. Menyesal di akhirat tidak ada gunanya. Semua mereka, yang diikut dan yang mengikut sama-sama dalam neraka, kekal di dalamnya tidak akan keluar dari nereka Jahannam yang dahsyat itu.
Pengajaran dari ayat ini antaranya ialah: Orang kafir yang berusaha bersungguh-sungguh untuk mengajak orang Mukmin supaya jauh dari agama Islam sama ada dari segi akidah, syariah dan akhlak, maka wajib ke atas orang Mukmin tidak mengikut mereka dan jangan jadikan mereka sebagi teman rapat, supaya di akhirat nanti tidak menyesal. Bahkan setiap orang Mukmin hendaklah berkawan rapat dengan orang Mukmin yang soleh yang boleh menunjuk dan memandu mereka ke jalan yang diredhai Allah s.w.t. supaya syurgalah tempat mereka di akhirat nanti, dan bukanlah dia dari kalangan orang yang menyesal.

ORANG YANG ENGGAN MENGINGATI ALLAH DIA MENJADI KAWAN BAIK KEPADA SYAITAN
Renungi ayat al-Quran di bawah ini:
{
وَمَنْ يَعْشُ عَنْ ذِكْرِ الرَّحْمَنِ نُقَيِّضْ لَهُ شَيْطَانًا فَهُوَ لَهُ قَرِينٌ (36) وَإِنَّهُمْ لَيَصُدُّونَهُمْ عَنِ السَّبِيلِ وَيَحْسَبُونَ أَنَّهُمْ مُهْتَدُونَ (37) حَتَّى إِذَا جَاءَنَا قَالَ يَا لَيْتَ بَيْنِي وَبَيْنَكَ بُعْدَ الْمَشْرِقَيْنِ فَبِئْسَ الْقَرِينُ (38) وَلَنْ يَنْفَعَكُمُ الْيَوْمَ إِذْ ظَلَمْتُمْ أَنَّكُمْ فِي الْعَذَابِ مُشْتَرِكُونَ (39)} [الزخرف: 36 - 39]
Bermaksud: Sesiapa yang membutakan matanya, lalai dan berpaling dari menyebut/mengingati (Allah) Yang Maha pengasih maka Kami jadikan syaitan itu menyesatkannya, dan jadilah syaitan itu sahabat karibnya yang tidak rengang daripadanya.
Dan bahawasanya syaitan-syaitan itu menghalang mereka dari jalan yang benar dan mereka menyangka bahawasanya mereka itu mendapat pertunjuk.
Sehingga apabila orang itu datang kepada kami (pada Hari Kiamat ) dia berkata (kepada syaitan): Alangkah baiknya di antara aku dan engkau (semasa di dunia dahulu) sejauh timur dan barat. Maka sesungguhnya seburuk-buruk teman rapat adalah engkau.
Pada hari ini (Hari Kiamat ) tidak akan memberi manfaat kepada kamu semua (kamu dan teman rapat kamu), kerana kezaliman kamu. Bahawasanya kamu sama-sama dalam azab sengsara.

Penjelasan potongan ayat
ذِكْرِ الرَّحْمَنِ menyebut/mengingati (Allah) Yang Maha pengasih.
Terdapat ulama yang menafsirkannya dengan al-Quran. Bermaksud: Sesiapa yang yang membutakan matanya, lalai dan berpaling dari al-Quran maka Kami (Allah) jadikan syaitan itu menyesatkannya, dan jadilah syaitan itu sahabat karibnya yang tidak rengang daripadanya.
Maksudnya: Orang yang menolak al-Quran, tidak beriman kepadanya maka syaitan itu menyesatkannya, dan jadilah syaitan itu sahabat karibnya yang tidak rengang daripadanya.

Terdapat ulama yang menafsirkannya dengan menyebut /mengingati Allah. Bermaksud: Sesiapa yang yang membutakan matanya, lalai dan berpaling dari menyebut/mengingati Allah tidak takut kepada kedahsyatan balasan azab-Nya maka Allah jadikan syaitan itu menyesatkannya, dan jadilah syaitan itu sahabat karibnya yang tidak rengang daripadanya.
Maksudnya: Orang yang enggan dari dari menyebut/mengingati Allah tidak takut kepada kedahsyatan balasan azab-Nya maka Allah jadikan syaitan itu menyesatkannya, dan jadilah syaitan itu sahabat karibnya yang tidak rengang daripadnya.
Penjelasan ayat secara keseluruhan
Orang yang menolak al-Quran, tidak beriman kepadanya atau Orang yang enggan dari menyebut/mengingati Allah tidak takut kepada kedahsyatan balasan azab-Nya maka Allah akan jadikan syaitan itu menyesatkannya, dan jadilah syaitan itu sahabat karibnya yang tidak renggang daripadanya.

Apabila orang itu telah disesatkan oleh syaitan dan syaitan itu telah menjadi sahabat karibnya yang tidak renggang daripadanya maka syaitan akan sentiasa menegah orang itu dari jalan yang benar dan dia sentiasa mengikut kehandak syaitan itu namun demikian orang itu meyangka dia adalah mendapat pertunjuk dan berada dalam kebenaran. Alangkah sesatanya orang ini.

Pada Hari Kiamat nanti barulah orang itu menyesal dan berkata alangkah baiknya jika aku tidak berkawan dengan syaitan dan dia amat jauh dariku, kerana syaitan itu adalah merupakan teman yang amat buruk
Tiada guna menyesal pada Hari Kiamat, kerana kamu telah berkawan dengan syaitan ketika di dunia dan syaitan telah mejerumuskan kamu melakukan segala perkara yang bertentangan dengan apa yang telah disyariatkan oleh Allah. Oleh itu kamu dan syaitan sama-sama dalam azab yang amat dahsyat.

Seruan
Dengan ini jangan sekali-kali menolak al-Quran dan hendaklah sentiasa ingat kepada Allah takut akan azabnya-Nya yang amat dahsyat itu iaitu dengan melaksanakan perintah-Nya menjauhi larangan-Nya.
Seseorang Mukmin yang ingat kepada Allah yang lahir dari hatinya lantas disebut oleh lidahnya yang membawa kepada orang itu sentiasa menjaga segala gerak gerinya, kerana Allah sentiasa melihatnya dan membalas segala perbuatannya akan menjadikan syaitan sudah tidak menjadi teman rapatnya dan terlepaslah dia dari dihalang untuk mengikut jalan yang benar yang diredhai Allah s.w.t.
Dengan ini orang yang sentiasa ingat kepada Allah dia akan sentiasa melaksanakan perintah Allah dan meninggalkan larangan-Nya. Dia tidak akan menerima dan memberi rasuah, tidak akan melakukan kezaliman, tidak mencuri, tidak merampas harta orang, tidak berzina, tidak minum arak dan seterusnya meninggalkan segala larangan Allah dan melaksanakan segala suruhan-Nya.
Renungan
Ramai yang beriman kepada al-Quran, ramai orang yang berzikir, tetapi mengapa syaitan masih kerap menjadi teman mereka?
Apabila seseorang itu benar-benar beriman dengan al-Quran, memahami al-Quran dengan sebaik-baiknya dengan ikhlas maka dia akan terus menyerahkan dirinya kepada penciptanya maka ketika itu dia terus melaksanakan perintah-Nya dan meninggalkan larangan-Nya. Dengan sendirinya syaitan sudah bukan menjadi temannya.

Ramai orang yang banyak berzikir tetapi mungkin tidak faham maksud zikir, mungkin tidak ikhlas pada zikirnya, mungkin zikir itu tidak lahir dari hatinya, mungkin tidak faham hubungan zikir dengan melaksanakan perintah Allah s.w.t. dan meninggalkan larangan-Nya maka supaya orang yang berzikir itu tidak menjadi teman rapat syaitan dia hendaklah membetulkan segala kelemahannya mengenai zikirnya.
Top of Form