PUASA BULAN SHA'BAN


Disediakan oleh,
Ust Dr Udah Mohsin

KELEBIHAN PUASA BULAN SHA`BAN DAN HUKUM PUASA SELEPAS PERTENGAHAN SHA'BAN


Puasa yang paling banyak dilakukan oleh Rasulullah SAW dalam sebulan, selepas bulan Ramadhan ialah bulan Sha`ban. Dalam bulan Sha`ban adakalanya Baginda puasa sebulan penuh, dan ada kalanya kurang sedikit.


Pensyari`atan puasa bulan Sha`ban

عَنْ أَبِي سَلَمَةَ أَنَّ عَائِشَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا حَدَّثَتْهُ قَالَتْ
لَمْ يَكُنْ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَصُومُ شَهْرًا أَكْثَرَ مِنْ شَعْبَانَ فَإِنَّهُ كَانَ يَصُومُ شَعْبَانَ كُلَّهُ وَكَانَ يَقُولُ خُذُوا مِنْ الْعَمَلِ مَا تُطِيقُونَ فَإِنَّ اللَّهَ لَا يَمَلُّ حَتَّى تَمَلُّوا وَأَحَبُّ الصَّلَاةِ إِلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَا دُووِمَ عَلَيْهِ وَإِنْ قَلَّتْ وَكَانَ إِذَا صَلَّى صَلَاةً دَاوَمَ عَلَيْهَا
صحيح البخاري - (7 / 79)

Bermaksud: Daripada Abu Salamah bahawa Aishah r.a. menyampaikan Hadith kepadanya, kata Aishah r.a.: Nabi SAW tidak berpuasa pada sebulan lebih banyak dari bulan Sha`ban, maka sesungguhnya adalah Baginda berpuasa keseluruhan bulan Sha`ban, dan Baginda bersabda: Lakukanlah dari amalan itu apa yang kamu mampu, maka bahawasanya Allah tidak jemu sehingga kamu yang jemu, dan sembahyang yang paling disukai Nabi SAW ialah yang dikekalkan, walaupun sedikit, dan apabila Baginda melakukan sesuatu sembahyang Baginda akan mengekalkannya.

Dalam Hadith lain:

عَنْ أَبِي سَلَمَةَ قَالَ سَأَلْتُ عَائِشَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا عَنْ صِيَامِ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَتْ كَانَ يَصُومُ حَتَّى نَقُولَ قَدْ صَامَ وَيُفْطِرُ حَتَّى نَقُولَ قَدْ أَفْطَرَ وَلَمْ أَرَهُ صَائِمًا مِنْ شَهْرٍ قَطُّ أَكْثَرَ مِنْ صِيَامِهِ مِنْ شَعْبَانَ كَانَ يَصُومُ شَعْبَانَ كُلَّهُ كَانَ يَصُومُ شَعْبَانَ إِلَّا قَلِيلًا

صحيح مسلم – (6 / 34)

Bermaksud: Daripada Abu Salamah katanya, aku bertanya Aishah r.a. mengenai puasa Rasulullah SAW maka jawabnya: Adalah Rasulullah SAW berpuasa sehingga kami berkata, sesungguhnya Baginda telah berpuasa, dan Baginda tidak berpuasa sehingga kami berkata, Baginda telah tidak berpuasa. Aku tidak pernah melihat Baginda berpuasa dari satu bulan yang lebih banyak Baginda berpuasa dari bulan Sha`ban, Adalah Baginda berpuasa Sha`ban keseluruhannya, adalah Baginda berpuasa bulan Sha`ban kecuali sedikit.

Maskud: Adalah Rasulullah SAW berpuasa sehingga kami berkata, sesungguhnya Baginda telah berpuasa, ialah banyak berpuasa. Maksud: dan Baginda tidak berpuasa sehingga kami berkata, Baginda telah tidak berpuasa, ialah banyak tidak berpuasa. Selaras dengan riwayat yang lain:

عَنْ عَائِشَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا، قَالَتْ: كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ " يَصُومُ حَتَّى نَقُولَ: لاَ يُفْطِرُ، وَيُفْطِرُ حَتَّى نَقُولَ: لاَ يَصُومُ، فَمَا رَأَيْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ اسْتَكْمَلَ صِيَامَ شَهْرٍ إِلَّا رَمَضَانَ، وَمَا رَأَيْتُهُ أَكْثَرَ صِيَامًا مِنْهُ فِي شَعْبَانَ "
(صحيح البخاري) 

Bermaksud: Daripada Aishah r.a. katanya: Adalah Rasulullah SAW berpuasa sehingga kami berkata: Baginda tidak berhenti, dan Baginda tidak berpuasa sehingga kami berkata: Baginda tidak berpuasa. Aku tidak melihat Baginda berpuasa penuh sebulan kecuali bulan Ramadan, dan aku tidak melihat Baginda lebih banyak berpuasa darinya pada bulan Sha`ban

Hadith-Hadith di atas menunjukkan Rasulullah SAW berpuasa penuh dalam bulan Ramadhan kemudian diikuti dengan bulan Sha`ban. Baginda adakalanya puasa penuh dalam bulan Sha`ban dan adakalanya kurang sedikit.

Hadith yang lain lagi:

عن أُسَامَة بْن زَيْدٍ قَالَ قُلْتُ يَا رَسُولَ اللَّهِ لَمْ أَرَكَ تَصُومُ شَهْرًا مِنْ الشُّهُورِ مَا تَصُومُ مِنْ شَعْبَانَ قَالَ ذَلِكَ شَهْرٌ يَغْفُلُ النَّاسُ عَنْهُ بَيْنَ رَجَبٍ وَرَمَضَانَ وَهُوَ شَهْرٌ تُرْفَعُ فِيهِ الْأَعْمَالُ إِلَى رَبِّ الْعَالَمِينَ فَأُحِبُّ أَنْ يُرْفَعَ عَمَلِي وَأَنَا صَائِمٌ

سنن النسائي - 8 / 59)

Hukum hadith ini menurut al-Hafiz Ibn Hajar: Ia telah dihukumkan sahih oleh Ibn Khuzaymah.
فتح الباري - ابن حجر - 4 / 215)


Bermaksud:  Daripada Usamah bin Zayd katanya, aku berkata: Wahai Rasulullah SAW Aku tidak melihat engkau berpuasa sebulan dari beberapa bulan apa yang engkau berpuasa pada bulan Sha`ban? Baginda menjawab: Ia adalah bulan yang orang ramai lalai darinya iaitu yang di antara bulan Rajab dengan Ramadhan, ia merupakan bulan yang diangkat padanya amalan kepada Rabb al-`alamin, aku suka bahawa amalanku diangkat sedangkan aku berpuasa.                                           

Hadith di atas menunjukkan suruhan supaya membanyakkan puasa pada bulan Sha`ban kerana dalam bulan ini diangkatkan amalan ke langit. Daripada penjelasan Rasulullah” bulan yang orang ramai lalai mengenainya” menunjukkan dituntut di samping membanyakkan berpuasa, membanyakkan juga amalan-amalan ibadah yang lain. Dengan ini marilah kita membanyakkan puasa dalam bulan Sha`ban ini serta membanyakkan juga amalan-amalan ibadah yang lain.



Hukum puasa selepas pertengahan Sha`ban

Pendapat ulama-ulama mazhab al-Shafi`i:
Ditegah berpuasa sunat selepas pertengahan bulan Sha`ban jika tidak dihubungkan dengan yang sebelumnya atau tidak mempunyai sebab.
Berdalilkan kepada hadith:


عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ إِذَا انْتَصَفَ شَعْبَانُ فَلَا تَصُومُوا
سنن أبى داود - (6 / 278)

Bermaksud: Daripada Abu Hurayrahn r.a. bahawa Rasulullah SAW bersabda: Apabila telah masuk separuh bulan Sha`ban maka janganlah kamu berpuasa
Dalam riwayat yang lain:


عن أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا بَقِيَ نِصْفٌ مِنْ شَعْبَانَ فَلَا تَصُومُوا
قَالَ أَبُو عِيسَى حَدِيثُ أَبِي هُرَيْرَةَ حَدِيثٌ حَسَنٌ صَحِيحٌ لَا نَعْرِفُهُ إِلَّا مِنْ هَذَا الْوَجْهِ عَلَى هَذَا اللَّفْظِ
سنن الترمذى - (3 / 191)

Bermaksud: Daripada Abu Hurayrah r.a. katanya, Rasulullah SAW bersabda: Apabila telah berbaki separuh dari bulan Sha`ban maka kamu jangan berpuasa.

Hadith-hadith di atas menunjukkan kepada larangan berpuasa setelah pertengahan Sha`ban.

Imam Ibn Hajar al-Haytami dalam Tuhfah al-Muhtaj berkata: Haram berpuasa setelah pertengahan Sha`ban jika orang itu tidak menghubungkan dengan hari yang sebelumnya, atau tidak mempunyai sebab dari apa yang akan datang. (yang akan disebutnya dalam perbahasan yang seterusnya).
Jika seseorang itu tidak berpuasa setelah dia berpuasa berturut-turut yang berhubung dengan pertengahan sha`ban  maka tidak boleh baginya berpuasa selepas itu tanpa sebab dari apa yang akan datang, ( yang akan disebutnya dalam perbahasan yang seterusnya) kerana sudah ketiadaan berhubung yang mengharuskan baginya berpuasa. (Ibn Hajar al-Haytami t.t., 13: 386)

Imam al-Ramli dalam Nihayah al-Muhtaj berkata: Dari situ haram berpuasa setelah pertengahan Sha`ban dengan tiada sebab dari apa yang akan datang,( yang akan disebutnya dalam perbahasan yang seterusnya) jika seseorang itu tidak menghubungkan dengan hari yang sebelumnya kerana Hadith:
إذَا انْتَصَفَ شَعْبَانُ فَلَا تَصُومُوا
Difahamkan dari Hadith ini, jika seseorang itu berpuasa pada 15 Sha`ban dan yang berikutnya, kemudian dia tidak berpuasa pada hari 17 Sha`ban maka haram baginya puasa pada hari 18 Sha`ban. Ini adalah jelas kerana puasa itu dilakukan setelah pertengahan Sha`ban yang tidak dihubungkan dengan yang sebelumnya. (Al-Ramli.t.t, 9: 397.). 

Mengenai Perbahasan puasa setelah pertengahan Sha`ban ini juga sila lihat al-Majmu` oleh Imam al-Nawawi jilid 6,halaman 400. Ketika membahaskan Hadith
  إذا انتصف شعبان فلا صيام
Bukan al-Shafi`iyyah

Kata Ibn Hajar dalam Fath al-Bari:

وقال جمهور العلماء يجوز الصوم تطوعا بعد النصف من شعبان وضعفوا الحديث الوارد فيه وقال أحمد وبن معين أنه منكر وقد استدل البيهقي بحديث الباب على ضعفه فقال الرخصة في ذلك بما هو أصح من حديث العلاء وكذا صنع قبله الطحاوي واستظهر بحديث ثابت عن أنس مرفوعا أفضل الصيام بعد رمضان شعبان لكن إسناده ضعيف واستظهر أيضا بحديث عمران بن حصين أن رسول الله صلى الله عليه و سلم قال لرجل هل صمت من سرر شعبان شيئا قال لا قال فإذا أفطرت من رمضان فصم يومين ثم جمع بين الحديثين بان حديث العلاء محمول على من يضعفه الصوم وحديث الباب مخصوص بمن يحتاط بزعمه لرمضان وهو جمع حسن والله أعلم
فتح الباري - ابن حجر - (4 / 129)

Kebanyakkan ulama (jamhur ulama) berkata: Harus berpuasa sunat selepas pertengahan Sha`ban. Mereka mengatakan bahawa Hadith mengenainya (yang melarang puasa setelah pertengahan bulan Sa`ban) iaitu hadith:

إِذَا بَقِيَ نِصْفٌ مِنْ شَعْبَانَ فَلَا تَصُومُوا

adalah da`if. Menurut Ahmad dan Ibn Ma`in: Hadith  di atas adalah munkar.
فتح الباري - ابن حجر - (4 / 129)
Imam al-Naawi dalam al-Majmu` berkata:

قال احمد بن حنبل هذا حديث منكر قال وكان عبد الرحمن لا يحدث به يعني عبد الرحمن بن مهدى وذكر النسائي عن أحمد بن حنبل هذا الكلام قال أحمد والعلاء بن عبد الرحمن ثقة لا ينكر من حديثه إلا هذا الحديث قال النسائي ولا نعلم أحدا روى هذا الحديث غير العلاء
المجموع شرح المهذب - (6 / 399)

Ahmad bin Hanbal berkata: Hadith ini adalah mungkar…

Mereka juga mengatakan : Hadith yang melarang berpuasa sunat setelah pertengahan Sha`ban itu juga  bertentangan dengan hadith-hadith lain yang sahih (yang lebih kuat darinya) iaitu:

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَال قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَا تَقَدَّمُوا رَمَضَانَ بِصَوْمِ يَوْمٍ وَلَا يَوْمَيْنِ إِلَّا رَجُلٌ كَانَ يَصُومُ صَوْمًا فَلْيَصُمْهُ
صحيح مسلم - (5 / 358)

Bermaksud: Daripada Abu Hurayrah r.a. katanya, Rasulullah SAW bersabda: Jangan kamu dahulukan bulan Ramadan dengan berpuasa satu hari dan tidak juga dengan dua hari, kecuali seseorang yang berpuasa pada hari itu maka hendaklah dia berpuasa.

Mantuq Hadith ini menegah berpuasa sebelum Ramadhan satu hari atau dua hari kecuali orang yang telah menjadikan adat baginya puasa pada hari itu. Difahamkan dari Hadith ini harus puasa pada yang sebelumnya. Iaitu harus berpuasa sebelum dua hari dari bulan Ramadan. Hadith ini hendaklah didahulukan dari hadith yang diriwayatkan oleh al-`Ala ( yang melarang berpuasa setelah pertengahan bulan Sa`ban) kerana sanadnya lebih kuat.

Selain dari itu, Hadith sahih yang disepakati oleh Imam al-Bukhari dan Muslim iaitu Hadith:

عَنْ أَبِي سَلَمَةَ أَنَّ عَائِشَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا حَدَّثَتْهُ قَالَتْ
لَمْ يَكُنْ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَصُومُ شَهْرًا أَكْثَرَ مِنْ شَعْبَانَ فَإِنَّهُ كَانَ يَصُومُ شَعْبَانَ كُلَّهُ وَكَانَ يَقُولُ خُذُوا مِنْ الْعَمَلِ مَا تُطِيقُونَ فَإِنَّ اللَّهَ لَا يَمَلُّ حَتَّى تَمَلُّوا وَأَحَبُّ الصَّلَاةِ إِلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَا دُووِمَ عَلَيْهِ وَإِنْ قَلَّتْ وَكَانَ إِذَا صَلَّى صَلَاةً دَاوَمَ عَلَيْهَا
صحيح البخاري - (7 / 79)

Bermaksud: Daripada Abu Salamah bahawa Aishah r.a. menyampaikan Hadith kepadanya, Aishah r.a. berkata: Tiadalah Nabi SAW. berpuasa sebulan lebih banyak dari bulan Sha`ban, maka bahasanya Baginda berpuasa bulan Sha`ban keseluruhannya, dan adalah Baginda bersabda: Lakukanlah dari amalan itu apa yang kamu mampu maka bahawasanya Allah tidak jemu sehingga kamu yang jemu, dan sebaik-baik sembahyang (sunat) kepada Nabi SAW ialah yang dikekalkan sekalipun sedikit, dan adalah Baginda apabila melakukan sesuatu sembahyang Baginda mengekalkannya.

Dalam Hadith yang lain:

عَنْ أَبِي سَلَمَةَ قَالَ سَأَلْتُ عَائِشَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا
عنْ صِيَامِ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَتْ كَانَ يَصُومُ حَتَّى نَقُولَ قَدْ صَامَ وَيُفْطِرُ حَتَّى نَقُولَ قَدْ أَفْطَرَ وَلَمْ أَرَهُ صَائِمًا مِنْ شَهْرٍ قَطُّ أَكْثَرَ مِنْ صِيَامِهِ مِنْ شَعْبَانَ كَانَ يَصُومُ شَعْبَانَ كُلَّهُ كَانَ يَصُومُ شَعْبَانَ إِلَّا قَلِيلًا
صحيح مسلم -

Bermaksud: Bermaksud: Daripada Abu Salamah katanya, aku bertanya Aishah r.a. mengenai puasa Rasulullah SAW maka jawabnya: Adalah Rasulullah SAW berpuasa sehingga kami berkata, sesungguhnya Baginda telah berpuasa, dan Baginda tidak berpuasa sehingga kami berkata, Baginda telah tidak berpuasa. Aku tidak pernah melihat Baginda berpuasa dari satu bulan yang lebih banyak Baginda berpuasa dari bulan Sha`ban, Adalah Baginda berpuasa Sha`ban keseluruhannya, adalah Baginda berpuasa bulan Sha`ban kecuali sedikit.

Hadith-Hadith di atas menunjukkan bahawa Rasulullah SAW berpuasa keseluruhan bulan Sha`ban atau kurang sedikit. Hadith di atas tidak menunjukkan yang dikurangkan Baginda itu samada pada awal atau pada selepas dari pertengahan Sha`ban. Hadith-hadith di atas melemahkan Hadith yang diriwayatkan oleh al-`Ala iaitu Hadith:

إِذَا بَقِيَ نِصْفٌ مِنْ شَعْبَانَ فَلَا تَصُومُوا

Iaitu Hadith yang menegah berpuasa setelah pertengahan bulan Sa`ban.

Dalam mazhab Hanbali, Muhammad bin Muflih dalam kitabnya al-Furu`berkta:


وَلَا يُكْرَهُ التَّقْدِيمُ بِأَكْثَرَ مِنْ يَوْمَيْنِ ، نَصَّ عَلَيْهِ ، لِظَاهِرِ حَدِيثِ أَبِي هُرَيْرَةَ { لَا يَتَقَدَّمَنَّ أَحَدُكُمْ رَمَضَانَ بِصَوْمِ يَوْمٍ أَوْ يَوْمَيْنِ إلَّا رَجُلٌ كَانَ يَصُومُ صَوْمًا فَلْيَصُمْهُ } وَقِيلَ : يُكْرَهُ بَعْدَ نِصْفِ شَعْبَانَ

(Ibn Muflih t.t., 5: 96)
Bermaksud: Adalah tidak makruh mendahulukan (puasa) lebih dari dua hari ( sebelum Ramadhan) … kerana zahir dari Hadith yang diriwayatkan oleh Abu Hurayrah: Jangan seorang kamu mendahulukan bulan Ramadhan dengan berpuasa sehari atau dua hari sebelumnya kecuali seseorang yang berpuasa pada hari itu maka dia hendaklah berpuasa. (walau bagimanapan) Ada juga dikatakan:  Makruh berpuasa setelah separuh Sa`ban.

Pandangan Ibn Muflih di atas menunjukkan tidak makruh berpuasa  sebelum  dua hari dari bulan Ramadhan. Ada pun puasa pada kurang dua hari dari bulan Ramadhan adalah makruh kecuali bagi orang yang iltizama dengan puasa pada hari itu.

Pandangan penulis
Yang jelasnya Rasulullah SAW adalah banyak berpuasa pada bulan Sha`ban lebih dari bulan-bulan yang lain kecuali Ramadhan. Dalam bulan Sha`ban Rasulullah SAW kadang puasa sebulan cukup, kadang-kadang  kurang sedikit. Jika kita hendak berbuat demikin sedangkan kita di Malaysia ini selalu ada kenduri, bermacam-macam kenduri dan kadang-kadang menghadiri seminar, yang semuanya itu ada makan di waktu siang, maka jika kita berpendapat tidak boleh berpuasa setelah pertengahan Sa`ban jika tidak dihubungkan dengan yang sebelumnya atau mesti ada sebab, maka sukar bagi kita untuk melebihbanyakkan  berpuasa sunat pada bulan Sa`ban ini berbanding dengan Rajab dan bulan-bulan yang lain selain dari Ramadan.

Kesimpulan
Rasulullah s.a.w. banyak berpuasa pada pada bulan Sha`ban. Ada kalanya Baginda puasa penuh pada bulan itu dan ada kalanya kurang sedikit. Baginda telah menjelaskan sebabnya ialah kerana pada bulan itu diangkatkan amalan seseorang kepada Allah s.w.t. Rab al-`alamin. Baginda suka sewaktu amalan di angkat Baginda berpuasa. Kita sebagai umatnya adalah disunatkan puasa pada bulan Sha`ban ini dan membanyakkannya. Mengenai puasa sunat setelah pertengahan sha`ban dengan tiada sebab maka menurut ulama-ulama mazhab al-Shafi`i adalah ditegah kecuali dihubungkan dengan yang sebelumnya manakala mengikut mazhab yang lain dan menurut al-Hafiz Ibn Hajar itu adalah mazhab al-Jamhur, adalah harus iaitu tidak ditegah.