Tinggal Sembahyang


HUKUM MENINGGALKAN SEMBAHYANG FARDHU

Ustaz Dr Udah Mohsin
Masjid al-Istiqamah Sg Merab


بسم الله الرحمن الرحيم
الحمد لله رب العالمين و الصلاة و السلام على أشرف المرسلين سيدنا محمد و على اله و أصحابه أجمعين. 

Allah menyebutkan di dalam al-Quran bahawa meninggalkan sembahyang itu adalah dari ciri-ciri orang kafir. Firman Allah:

وَإِذَا قِيلَ لَهُمُ ارْكَعُوا لَا يَرْكَعُونَ (48) وَيْلٌ يَوْمَئِذٍ لِلْمُكَذِّبِينَ (49} [المرسلات : 48 ، 49]

(Surah al-Mursalat, 77: 48-49) Bermaksud: Apabila dikatakan kepada mereka: Hendaklah kamu rukuk mereka tidak mahu rukuk. Merekalah pada hari itu iaitu Hari Kiamat bagi orang yang mendustakan iaitu tidak beriman

Orang kafir jika mereka disuruh sembahyang mereka enggan. 


Firman-Nya lagi mengenai pertanyaan ashab al-yamin kepada orang-orang kafir:

{) مَا سَلَكَكُمْ فِي سَقَرَ (42) قَالُوا لَمْ نَكُ مِنَ الْمُصَلِّينَ (43) وَلَمْ نَكُ نُطْعِمُ الْمِسْكِينَ (44) وَكُنَّا نَخُوضُ مَعَ الْخَائِضِينَ (45) وَكُنَّا نُكَذِّبُ بِيَوْمِ الدِّينِ (46)} [المدثر : 42 - 46]

(Surah al-Muddaththir, 74: 42-46) Bermaksud: Apa yang memasukkan kamu ke dalam neraka saqar? Mereka menjawab, kami bukan dari kalangan orang yang mengerjakan sembahyang, kami juga tidak memberi makan kepada orang miskin, dan kami berserta memperkatakan pekara-perkara yang salah bersama-sama dengan orang yang memperkatakannya Dan kami mendustakan Hari Pembalasan.

Dalam ayat di atas antara sebab yang memasukkan orang kafir ke dalam neraka ialah mereka tidak mengerjakan sembahyang. Tidak mengerjakan sembahyang adalah salah satu ciri orang kafir.


Rasulullah s.a.w. bersabda mengenai orang yang meninggalkan sembahyang:

« الْعَهْدُ الَّذِى بَيْنَنَا وَبَيْنَهُمُ الصَّلاَةُ فَمَنْ تَرَكَهَا فَقَدْ كَفَرَ ». وَفِى الْبَابِ عَنْ أَنَسٍ وَابْنِ عَبَّاسٍ. قَالَ أَبُو عِيسَى هَذَا حَدِيثٌ حَسَنٌ صَحِيحٌ غَرِيبٌ.  (سنن الترمذى، الإيمان)

Bermaksud: Perjanjian yang antara kita dengan mereka ialah sembahyang maka sesiapa yang meninggalkannya sesunguhnya dia telah kafir

Dalam hadis ini Rasulullah s.a.w. menyatakan bahawa orang yang meninggalkan sembahyang adalah kafir. Sabda Baginda lagi:

« إِنَّ بَيْنَ الرَّجُلِ وَبَيْنَ الشِّرْكِ وَالْكُفْرِ تَرْكَ الصَّلاَةِ ».(صحيح مسلم، الإيمان)

Bermaksud: Bahawasanya di antara seseorang itu dengan syirik dan kufur ialah meningalkan sembahyang

Ini bererti sesiapa yang meninggalkan sembahyang dia adalah kafir. Sabda Baginda lagi:

« مَنْ حَافَظَ عَلَيْهَا كَانَتْ لَهُ نُوراً وَبُرْهَاناً وَنَجَاةً يَوْمَ الْقِيَامَةِ وَمَنْ لَمْ يُحَافِظْ عَلَيْهَا لَمْ يَكُنْ لَهُ نُورٌ وَلاَ بُرْهَانٌ وَلاَ نَجَاةٌ وَكَانَ يَوْمَ الْقِيَامَةِ مَعَ قَارُونَ وَفِرْعَوْنَ وَهَامَانَ وَأُبَىِّ بْنِ خَلَفٍ ». (مستد الإمام أحمد، مسند عبد الله بن عمرو)

Bermaksud: Sesiapa yang memeliharanya (sembahyang) maka sembahyang itu adalah sebagai cahaya, bukti dan penyelamat kepadanya pada Hari Kiamat. Sebaliknya orang yang tidak menjaga sembahyang itu maka dia tidak memiliki cahaya, bukti dan penyelamat. Orang itu pada Hari Kiamat adalah bersama-sama Qarun, Fir`aun, Haman dan Aubay bin Khalaf

Dalam hadis ini Rasulullah s.a.w. memberitahu bahawasanya orang yang tidak sembahyang adalah bersama-sama dengan orang-orang kafir terkemuka iaitu Qarun, Fir`aun, Haman dan Aubay bin Khalaf. Adakah kita hendak bersama-sama dengan orang ini? Tidak sekali-kali.

Sabda Baginda lagi:
 « مَنْ تَرَكَ صَلاَةَ الْعَصْرِ فَقَدْ حَبِطَ عَمَلُهُ » ( صحيح البخارى، مواقيت الصلاة)

Bermaksud: Sesiapa yang meninggalkan sembahyang asar maka sesunguhnya hapuslah amalannya

Apa yang sentiasa kita berdoa kepada Allah ialah amalan soleh kita diterima oleh Allah dan sebagai bekalan kita di akhirat, bukan amal-amal soleh kita hapus, lenyap. 

Daripada:

عَبْدِ اللَّهِ بْنِ شَقِيقٍ الْعُقَيْلِىِّ قَالَ كَانَ أَصْحَابُ مُحَمَّدٍ -صلى الله عليه وسلم- لاَ يَرَوْنَ شَيْئًا مِنَ الأَعْمَالِ تَرْكُهُ كُفْرٌ غَيْرَ الصَّلاَةُِ. (سنن الترمذى، الإيمان)

Bermaksud: Sahabat-sahabat Muhammad s.a.w. tidak berpendapat mengenai sesuatu amalan yang meninggalkan menjadi kafir selain dari sembahyang

Apa yang dinyatakan oleh `Abd Allah bin Saqiq al-Uqayli ialah ramai dari kalangan sahabat-sahabat Rasulullah yang berpendapat meninggalakan sembahyang itu hukumnya kafir. Dari zahir nas-nas di atas menunjukkan bahawa orang yang meninggalkan sembahyang adalah kafir. Di sini akan dijelaskan pandangan ulama' mengenai hukum orang yang meninggalkan sembahyang. Orang yang meninggalkan sembahyang kerana ingkar dengan kewajipan sembahyang, atau mempermain-mainkannya atau meringan-ringankannya hukumnya adalah kafir menurut ijmak ulama'. Apapun orang yang meningalkan sembahyang kerana malas maka menurut jamhur ulama' iaitu kebanyakkan ulama' hukumnya tidak kafir, tetapi adalah fasik. Kata al-Imam Malik dan al-Shafie: Orang yang meninggalkan sembahyang adalah fasik, tidak kafir, tidak memadai dengan disebat dan dipenjara, tetapi jika dia berterusan hendaklah  dibunuh. Manakala menurut al-Imam Ahmad dan mereka yang sama dengannya, hukum orang yang meninggalkan sembahyang adalah kafir. (al-Qardawi, mawqi` al-Qaradawi, fatawa wa al-ahkam: al-salah. 20 September 2004.)  Kata al-Munziri:Sekumpulan sahabat rasululah s.a.w. dan mereka yang selepasnya menghukumkan kafir orang yang meninggakan sembahyang dengan sengaja sehingga keluar waku. Di antara mereka ialah Umar bin al-Khattab, Abd Allah bin Mas’ud, Abd Allah bin Abbas, Muaz bin Jabal, Jabir bin Abd Allah dan Abu al-Darda'. Yang bukan sahabat pula Ahmd bin Hambal, Ishaq bin Rahawih, Abd Allah bin Mubark, al-Nakhai, al-Hakam bin Utbah, Ayyub al-Sakhtiyani, Abu Dawud al-Tayalisi, Abu Bakr bin Abu Shaybah Zuhayr bin Harb dan lain r.a
(.الترغيب والترهيب، كتاب الصلاة، فصل الترهيب من ترك الصلاة متعمدا(

Mereka berdalilkan kepada zahir nas-nas yang disebutkan di atas. Manakala jamhur ulama'pula mentafsirkan perkataan kufur dalam hadis-hadis di atas dengan kufur nikmat, kerana terdapat nas-nas lain yang menunjukkan bahawa orang yang masih beriman tetap akan masuk syurga sekalipun telah amat lama dalam neraka. Rasulullah s.a.w. ada bersabda:

« يَدْخُلُ أَهْلُ الْجَنَّةِ الْجَنَّةَ ، وَأَهْلُ النَّارِ النَّارَ ، ثُمَّ يَقُولُ اللَّهُ تَعَالَى أَخْرِجُوا مَنْ كَانَ فِى قَلْبِهِ مِثْقَالُ حَبَّةٍ مِنْ خَرْدَلٍ مِنْ إِيمَانٍ . فَيُخْرَجُونَ مِنْهَا قَدِ اسْوَدُّوا فَيُلْقَوْنَ فِى نَهَرِ الْحَيَا - أَوِ الْحَيَاةِ ، شَكَّ مَالِكٌ - فَيَنْبُتُونَ كَمَا تَنْبُتُ الْحِبَّةُ فِى جَانِبِ السَّيْلِ ، أَلَمْ تَرَ أَنَّهَا تَخْرُجُ صَفْرَاءَ مُلْتَوِيَةً (صحيح البخاري،الإيمان)

Bermaksud:  Masuk ahli syurga ke dalam syurga, dan ahli neraka ke dalam neraka, kemudian Allah berkata: Keluarkanlah (dari neraka) orang yang terdapat iman di dalam hatinya seperti biji khardal (biji yang halus) maka mereka pun dikeluarkan dari neraka sedangkan meraka telah hitam legam (dibaham api neraka) maka mereka pun dicampakkan ke dalam sungai al-haya atau al-hayat, perawi hadis ini yang bernama Maliksak (sama ada sungai itu bernama al-haya atau al-hayat, maka mereka pun tumbuh seprti bijian yang tumbuh di tepi perairan. Tidakkah engkau melihatnya tumbuh berwana kuningmelempai

Sabdanya lagi:

« يَخْرُجُ مِنَ النَّارِ مَنْ قَالَ لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ ، وَفِى قَلْبِهِ وَزْنُ شَعِيرَةٍ مِنْ خَيْرٍ ، وَيَخْرُجُ مِنَ النَّارِ مَنْ قَالَ لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ ، وَفِى قَلْبِهِ وَزْنُ بُرَّةٍ مِنْ خَيْرٍ ، وَيَخْرُجُ مِنَ النَّارِ مَنْ قَالَ لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ ، وَفِى قَلْبِهِ وَزْنُ ذَرَّةٍ مِنْ خَيْرٍ » . قَالَ أَبُو عَبْدِ اللَّهِ قَالَ أَبَانُ حَدَّثَنَا قَتَادَةُ حَدَّثَنَا أَنَسٌ عَنِ النَّبِىِّ - صلى الله عليه وسلم - « مِنْ إِيمَانٍ » . مَكَانَ « مِنْ خَيْرٍ » (صحيح البخارى، الإيمان)

Bermaksud: Keluar dari neraka orang yang mengucap   لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ dan di dalam hatinya terdapat kebaikan seberat gandum, dan keluar dari neraka orang yang mengucap  لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ sedangkan di dalam hatinya terdapat  kebaikan seberat biji jagung. Kata al-Bukhari, Aban berkata, Qatadah menyampaikan kepada kami, katanya, Anas menyampaikan kepada kami daripada Rasulullah s.a.w. dengan lafaz “ dari iman “ ganti  dari “lafaz kebaikan”  Dari hadis ini menunjukkan orang yang mengucap kalimah لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُsedangkan dia seorang mukmin dia akan masuk syurga.


Dari perbincangan yang telah dipaparkan menunjukkan betapa berat hukum orang yang meninggalkan sembahyang. Hukum yang paling ringan sekali ialah fasik iaitu melakukan dosa besar dan ada ulama yang mengatakan kafir iaitu keluar dari Islam.  Oleh itu jangan sekali-sekali meninggalkan sembahyang. Seseorang itu sentiasa berada dalam dosa selagi dia tidak menunaikan sembahyangnya.

Dipetik dari kitab:  Mari Kita Sembahyang Sebelum Kita Disembahyangkan,  oleh Dr. Udah Mohsin, Jabatan Usuluddin dan Falsafah, Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsan Malaysia 2008.