HUKUM HAKAM BERKAITAN TANAH PERKUBURAN


DR UDAH MOHSIN
Masjid al-Istiqamah Sg Merab

7.  Hukum memasang lampu di atas kubur
 
عَنِ ابْنِ عَبَّاسٍ قَالَ لَعَنَ رَسُولُ اللَّهِ –صلى الله عليه وسلم- زَائِرَاتِ الْقُبُورِ وَالْمَتَّخِذِينَ عَلَيْهَا الْمَسَاجِدَ وَالسُّرُجَ. قَالَ وَفِى الْبَابِ عَنْ أَبِى هُرَيْرَةَ وَعَائِشَةَ. قَالَ أَبُو عِيسَى حَدِيثُ ابْنِ عَبَّاسٍ حَدِيثٌ حَسَنٌ. وَأَبُو صَالِحٍ هَذَا هُوَ مَوْلَى أُمِّ هَانِئٍ بِنْتِ أَبِى طَالِبٍ وَاسْمُهُ بَاذَانُ وَيُقَالُ بَاذَامُ أَيْضًا. (سنن الترمذى، الصلاة  ،،  سنن النسائى، الجنائز ، )
 
Bermaksud: Daripada Ibn `Abbas katanya Rasulullah s.a.w. melaknat wanita-wanita yang menziarahi kubur dan mereka yang menjadikan di atas kubur itu sebagai tempat sembahyang dan memasang lampu di atas kubur.
 
Dari hadith di atas menunjukkan larangan memasang lampu di atas kubur. Sebagaimana dilarang menjadikan kubur sebagai tempat sembahyang maka dilarang juga memasang lampu di atas kubur kerana perbuatan ini menunjukkan kepada mengagungkan kubur sedangkan mengagungkan kubur adalah dilarang sebagaimana yang dijelaskan oleh al-Imam al-Nawawi di dalam Sharah al-Muhadhadhab.(al-Mubarkfuri t.t. 2: 226, al-Nawawi t.t. 5: 11)     
                                      
8.  Hukum membungkar kubur
 
Di antara nas-nas yang ada kaitan dengan tajuk ialah:
 
عَنْ عَائِشَةَ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ -صلى الله عليه وسلم- قَالَ « كَسْرُ عَظْمِ الْمَيِّتِ كَكَسْرِهِ حَيًّا ».(سنن أبى داود، الجنائز، سنن ابن ماجة، الجنائز، مسند أحمد، حديث السيدة عائشة)
 
Bermaksud: Daripada `Aishah bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: Memecah tulang mayat sama dengan memecah tulangnya ketika hidup.
 
Nas di atas jelas menunjukkan larangan memecahkan tulang orang yang telah meninggal dunia. Asal larangan adalah haram. Oleh kerana itu jika membungkar kubur itu membawa kepada memecahkan tulang simati ia adalah haram.

 
Kata al-Imam al-Nawawi: Membongkar kubur adalah haram dengan disepakati oleh semua sahabat-sahabt dalam mazhab al-Shafi`I kecuali dengan sebab-sebab syar`i. (al-Nawawi t.t. 5: 303) seperti jika mayat itu dikuburkan tanpa dikapankan, dimandikan dan tidak mengadap kiblat.
 
Apabila larangan membongkar kubur itu ialah kerana menjaga tulang mayat maka apabila mayat itu telah reput, tulangnya sudah menjadi tanah maka ketika itu boleh digali semula dan dikuburkan untuk orang lain. (al-Nawawi t.t. 5: 303)

 
9.  Hukum sembahyang di atas kubur
 
Sembahyang jenazah di atas kubur adalah harus
 
عَنْ أَبِى رَافِعٍ عَنْ أَبِى هُرَيْرَةَ أَنَّ رَجُلاً أَسْوَدَ – أَوِ امْرَأَةً سَوْدَاءَ – كَانَ يَقُمُّ الْمَسْجِدَ ، فَمَاتَ ، فَسَأَلَ النَّبِىُّ – صلى الله عليه وسلم – عَنْهُ فَقَالُوا مَاتَ . قَالَ « أَفَلاَ كُنْتُمْ آذَنْتُمُونِى بِهِ دُلُّونِى عَلَى قَبْرِهِ » . – أَوْ قَالَ قَبْرِهَا – فَأَتَى قَبْرَهُ فَصَلَّى عَلَيْهِ (صحيح البخارى، الصلاة)
 
Bermaksud: Daripada Abu Rafi`, daripada Abu Hurayrah, bahawa seorang lelaki atau seorang wanita hitam yang selalu membersihkan masjid telah meninggal dunia maka Nabi s.a.w. bertanya mengenainya, orang ramai menjawab, bahawasanya dia telah meninggal dunia. Nabi menjawab, kenapa kamu tidak memberi tahu kepada aku. Tunjukkan aku mana kuburnya? Maka Nabi pun pergi. Dan sembahyang ke atasnya
         
Dari zahir hadith ini menunjukkan harus sembahyang jenazah di atas kubur
 
Hadith lain 
 
عَنْ أَبِى هُرَيْرَةَ أَنَّ امْرَأَةً سَوْدَاءَ كَانَتْ تَقُمُّ الْمَسْجِدَ – أَوْ شَابًّا – فَفَقَدَهَا رَسُولُ اللَّهِ –صلى الله عليه وسلم- فَسَأَلَ عَنْهَا – أَوْ عَنْهُ – فَقَالُوا مَاتَ. قَالَ « أَفَلاَ كُنْتُمْ آذَنْتُمُونِى ». قَالَ فَكَأَنَّهُمْ صَغَّرُوا أَمْرَهَا – أَوْ أَمْرَهُ – فَقَالَ « دُلُّونِى عَلَى قَبْرِهِ ». فَدَلُّوهُ فَصَلَّى عَلَيْهَا ثُمَّ قَالَ « إِنَّ هَذِهِ الْقُبُورَ مَمْلُوءَةٌ ظُلْمَةً عَلَى أَهْلِهَا وَإِنَّ اللَّهَ عَزَّ وَجَلَّ يُنَوِّرُهَا لَهُمْ بِصَلاَتِى عَلَيْهِمْ ». (صحيح مسلم جنائز)
Bermaksud: Daripada Abu Hurayrah, bahawa seorang wanita bekulit hitam atau seorang pemuda yang membersihkan masjid, Rasulullah tidak melihatnya lalu Baginda bertanya mengenainya maka orang ramai menjawab dia telah meninggal dunia. Rasulullah berkata: Kenapa kamu tidak memberi tahu kepadaku.. Kata perawi: Seolah-olahnya mereka memandangnya rendah. Rasulullah bersabda: Tunjukkan aku akan kuburnya maka mereka menunjukkan akan kuburnya. Rasulullah pun sembahyang ke atasnya. Selepas itu Rasulullah bersabda: Bahawasanya kubur ini penuh dengan kegelapan kepada penghuninya, bahawasanya Allah `a.w.j. menerangi kubur itu untuk mereka dengan sebab sembahyangku ke atas mereka                                                                                    
 
Dari hadith di atas juga menunjukkan harus sembahyang jenazah di atas kubur

   
عن الشَّعْبِيُّ أَخْبَرَنِي مَنْ رَأَى النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَرَأَى قَبْرًا مُنْتَبِذًا فَصَفَّ أَصْحَابَهُ خَلْفَهُ فَصَلَّى عَلَيْهِ فَقِيلَ لَهُ مَنْ أَخْبَرَكَهُ فَقَالَ ابْنُ عَبَّاسٍ
قَالَ وَفِي الْبَاب عَنْ أَنَسٍ وَبُرَيْدَةَ وَيَزِيدَ بْنِ ثَابِتٍ وَأَبِي هُرَيْرَةَ وَعَامِرِ بْنِ رَبِيعَةَ وَأَبِي قَتَادَةَ وَسَهْلِ بْنِ حُنَيْفٍ قَالَ أَبُو عِيسَى حَدِيثُ ابْنِ عَبَّاسٍ حَدِيثٌ حَسَنٌ صَحِيحٌ . (سنن الترمذى، الجنائز)
 
Bermaksud: Daripada al-Sha`bi katanya orang yang melihat Nabi s.a.w. dan melihat kubur yang terasing dari yang lainnya, mengkhabarkan kepada aku, Nabi meluruskan saf sahabat-sahabatnya, lalu Baginda sembahyang keatasnya, maka orang bertanya siapa yang mengkhabarkan kepada kamu mengenainya? Jawabnya Ibn `Abbas.
 
Hadith di atas juga menunjukkan harus sembahyang jenazah di atas kubur. Dan harus sembahyang jenazah dengan berjama`ah.
 
Harus sembahyang jenazah di atas kubur adalah merupakan pendapat kebanyakan ahli ilmu dari kalangan sahabat Rasulullah s.a.w.. Ia juga merupakan pendapat al-Shafi`i, Ahmad, Ishaq dan lain-lain. Ada juga ahli ilmu yang tidak mengharuskan sembahyang jenazah di atas kubur. Ia merupakan pendapat al-Imam Malik, Abu Hanifah dan lain-lain. Ada juga yang berpendapat jika mayat itu belum disembahyangkan hendaklah disembahyangkan. Ini pendapat Ibn al-Mubarak. Ada juga yang mengatakan boleh sembahyang jenazah di atas kubur sehingga sebulan. Ada yang berpendapat boleh sembahyang jenazah di atas kubur lebih dari sebulan. (al-Mubarhfuri t.t. 4/113)
 
Pendapat penulis: Berpandukan kepada nas-nas yang dipaparkan menunjukan harus sembahyang jenazah di atas kubur sama ada mayat itu telah disembahyangkan atau belum, dan sama ada berjama`ah atau tidak, dan sama ada kurang dari sebulan atau lebih.                                             
 
Larangan sembahyang di atas kubur
 
Di antara nas-nas yang  melarang sembahyang di atas kubur untuk yang lain dari sembahyang jenazah ialah:
 
عَنْ أَبِى هُرَيْرَةَ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ – صلى الله عليه وسلم – قَالَ « قَاتَلَ اللَّهُ الْيَهُودَ اتَّخَذُوا قُبُورَ أَنْبِيَائِهِمْ مَسَاجِدَ » . (صحيح البخارى، الصلاة)
 
Bermaksud: Daripada Abu Hurayah r.a.`. bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: Allah membunuh (laknat) orang Yahudi yang telah menjadikan kubur para anbiya’ mereka sebagai masjid/tempat sembahyang               
 
Hadith di atas menunjukkan tegahan menjadikan kubur  para anbiya’ sebagai masjid atau tempat sembahyang. Jika ditegah kubur para anbiya’dijadikan sebagai tempat sembahyang/masjid maka kubur umatnya pun ditegah juga dijadian tempat sembahyang/masjid.
 
عَنْ أَبِى مَرْثَدٍ الْغَنَوِىِّ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ –صلى الله عليه وسلم- « لاَ تَجْلِسُوا عَلَى الْقُبُورِ وَلاَ تُصَلُّوا إِلَيْهَا ». (صحيح مسلم، الجنائز)
 
Bermaksud: Daripada Abu Marthad al-Ghanawi katanya, Rasulullah s.a.w. bersabda: Jangan kamu duduk di atas kubur, dan jangan kamu sembahyang ke arahnya
 
Hadith di atas melarang sembahyang menghadap ke kubur. Ini memberi faham dilarang sembahyang di kawasan tengah perkuburan, di atas kubur dan di kawasan kubur kerana akan membawa kepada mengadap ke kubur
 
عَنْ ابْنِ عُمَرَ قَاال نَهَى رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنْ يُصَلَّى فِي سَبْعِ مَوَاطِنَ فِي الْمَزْبَلَةِ وَالْمَجْزَرَةِ وَالْمَقْبَرَةِ وَقَارِعَةِ الطَّرِيقِ وَالْحَمَّامِ وَمَعَاطِنِ الْإِبِلِ وَفَوْقَ الْكَعْبَةِ (سنن ابن ماجة، المساجد والجماعات)
 
Bermaksud: Daripada Ibn Umar katanya: Rasulullah s.a.w. menegah sembahyang pada tujuh tempat, tempat buang sampah, tempat penyembelihan, kubur, tengah jalan, bilik mandi, reban unta dan di atas ka`bah.     
 
Hadith di atas juga melarang dari mengerjakan sembahyang di atas kubur
 
عَنْ أَبِى سَعِيدٍ الْخُدْرِىِّ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ –صلى الله عليه وسلم- « الأَرْضُ كُلُّهَا مَسْجِدٌ إِلاَّ الْمَقْبَرَةَ وَالْحَمَّامَ ». (سنن ابن ماجة، المساجد والجماعات ، سنن الدارمى، كتاب الصلاة)
 صححه الألبانى فى صحبح ابن ماجة
 
Bermaksud: Daripada  Abu Sa`id al-Khudri katanya, Rasulullah s.a.w. bersabda: Bumi itu semuanya masjid/tempat sujud kecuali tanah perkuburan dan bilik mandi.           
 
Apabila terdapat keizinan sembahyang jenazah di atas kubur yang merupakan pendapat kebanyakan ulama’ sebagaimana yang telah dijelaskan maka larangan ini adalah bagi sembahyang yang lain dari sembahyang jenazah.

Dipetik dari buku Hukum Hakam Berkaitan Tanah Perkuburan
Oleh : Dr Udah Mohsin 
Penerbit : Masjid al-Istiqamah Sg Merab