KEKELIRUAN MEMAHAMI


Disediakan Oleh
Ustaz Dr. Udah Mohsin

KEKELIRUAN DALAM MEMAHAMI, ALLAH TIDAK MELIHAT KEPADA PARAS RUPA KAMU TETAPI MELIHAT KEPADA HATI KAMU

Mukadimah
Terdapat di kalangan orang Islam yang keliru dalam memahami sebahagian daripada maksud ayat-ayat al-Quran dan Hadith Rasulullah SAW. Di antara Hadith yang orang keliru memahaminya atau salah dalam memahaminya ialah Hadith yang bermaksud: Allah tidak melihat kepada paras rupa kamu, tetapi melihat kepada hati kamu. Hadith ini difahamkan dengan maksud Tiada penting seseorang itu menutup aurat asalkan hatinya sentiasa bertakwa kepada Allah SWT. Dengan ini seseorang wanita itu tidak perlu menutup kepalanya, dan bebas baginya sama ada hendak memakai tudung atau tidak, lehernya terdedah atau tidak, seterusnya anggota-anggota lain tidak perlu ditutup asalkan dia sentiasa bertakwa kepada Allah SWT. Fahaman ini adalah salah, keliru dan menyeleweng dari kebenaran. Dalam menerangkan kesalahan, kekeliruan dan penyelewengan maksud Hadith tesebut, penulis membawakan hujah-hujah dari al-Quran, dari Hadith dan pendapat ulama. Maksud sebenar Hadith di atas ialah rupa yang menawan, warna kulit yang cantik, pakaian yang indah, mempunyai harta yang banyak dan mempunyai kedudukkan yang tinggi di sisi masyarakat, tetapi hatinya rosak, bongkak, tidak menerima kebenaran yang datang dari Allah SWT maka orang ini di sisi Allah adalah hina. Sebaliknya orang yang tidak mempunyai rupa yang menawan, warna kulit yang cantik, pakaian yang indah, mungkin dipandang hina oleh masyarakatnya, tetapi hatinya baik, bertakwa kepada Allah SWT dan tawaduk, maka orang ini adalah mulia di sisi Allah SWT.

Allah tidak melihat kepada paras rupa kamu tetapi melihat kepada hati kamu
Konsep ini adalah dari Hadith Rasulullah SAW:
إِنَّ اللهَ لَا يَنْظُرُ إِلَى أَجْسَادِكُمْ، وَلَا إِلَى صُوَرِكُمْ، وَلَكِنْ يَنْظُرُ إِلَى قُلُوبِكُمْ» وَأَشَارَ بِأَصَابِعِهِ إِلَى صَدْرِهِ
(صحيح مسلم، كتاب البر والصلةوالآداب)
Bemaksud: Bahawasanya Allah tidak melihat kepada jasad kamu dan bentuk rupa kamu, akan tetapi Allah melihat kepada hati kamu. Lalu Baginda mengisyaratkan kepada dadanya.

Tiada penting seseorang itu menutup aurat asalkan hatinnya sentiasa bertakwa kepada Allah SWT adalah tafsiran yang salah
Terdapat orang yang memahmi Hadith di atas dengan maksud, Tiada penting seseorang itu menutup aurat asalkan hatinnya sentiasa bertakwa kepada Allah SWT. Dengan ini seseorang wanita yang beriman itu tidak perlu menutup kepalanya, dan bebas baginya sama ada hendak memakai tudung atau tidak, lehernya terdedah atau tidak, seterusnya anggota-anggota lain tidak perlua ditutup, dengan lain perkataan tidak penting baginya untuk menutup auratnya asalkan dia sentiasa bertakwa kepada Allah SWT. Ini adalah tafsiran yang salah dan menyeleweng.

Sebab tafsir di atas salah dan menyeleweng
Tafsiran di atas adalah salah dan menyeleweng dari kebenaran sebabnya ialah menutup aurat adalah satu kewajipan. Firman Allah:
{وَقُلْ لِلْمُؤْمِنَاتِ يَغْضُضْنَ مِنْ أَبْصَارِهِنَّ وَيَحْفَظْنَ فُرُوجَهُنَّ وَلَا يُبْدِينَ زِينَتَهُنَّ إِلَّا مَا ظَهَرَ مِنْهَا وَلْيَضْرِبْنَ بِخُمُرِهِنَّ عَلَى جُيُوبِهِنَّ وَلَا يُبْدِينَ زِينَتَهُنَّ إِلَّا لِبُعُولَتِهِنَّ أَوْ آبَائِهِنَّ أَوْ آبَاءِ بُعُولَتِهِنَّ أَوْ أَبْنَائِهِنَّ أَوْ أَبْنَاءِ بُعُولَتِهِنَّ أَوْ إِخْوَانِهِنَّ أَوْ بَنِي إِخْوَانِهِنَّ أَوْ بَنِي أَخَوَاتِهِنَّ أَوْ نِسَائِهِنَّ أَوْ مَا مَلَكَتْ أَيْمَانُهُنَّ أَوِ التَّابِعِينَ غَيْرِ أُولِي الْإِرْبَةِ مِنَ الرِّجَالِ أَوِ الطِّفْلِ الَّذِينَ لَمْ يَظْهَرُوا عَلَى عَوْرَاتِ النِّسَاءِ وَلَا يَضْرِبْنَ بِأَرْجُلِهِنَّ لِيُعْلَمَ مَا يُخْفِينَ مِنْ زِينَتِهِنَّ وَتُوبُوا إِلَى اللَّهِ جَمِيعًا أَيُّهَ الْمُؤْمِنُونَ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ (31) } [النور: 31]
Bermaksud: Hendaklah mereka merendahkan pandangan mereka dan memelihara faraj mereka, dan janganlah mereka menzahirkan perhiasan mereka kecuali apa yang  nampak darinya. Dan hendaklah mereka menutup dengan kain tudung mereka ke atas tempat yang terdedah dari bahagian atas dada mereka. Dan janganlah mereka menampakkan perhiasan mereka kecuali kepada suami mereka
Dalam ayat al-Quran di atas Allah SWT melarang wanita yang beriman dari menzahirkan perhiasan mereka kecuali apa yang zahir darinya. Wanita yang beriman juga hendaklah menutup dengan kain tudung mereka ke atas tempat yang terdedah dari bahagian atas dada mereka. Ini bererti bahawa: kepala, muka, leher dan bahagian atas dada hendaklah ditutup. Adapun badan mereka sememangnya telah ditutup dengan pakaian mereka.
Ada pun maksud: وَلَا يُبْدِينَ زِينَتَهُنَّ إِلَّا مَا ظَهَرَ مِنْهَا  ,  dan janganlah mereka menzahirkan perhiasan mereka kecuali apa yang  nampak darinya.  Apa yang dinukil daripada Ibn `Abbas dan sekumpulan daripada ulama, dan inilah yang masyhur menurut jamhur ulama ialah muka dan dua pergelagan tangan. Ini adalah pendapat Hanafiyyah, malikkiyyah dan salah satu daripada pendapat Imam al-Shafi`yi. Manakala menurut Imam Ahmad dan yang lebih sahih menurut Imam al-Shafi`i bahawa seluruh badan wanita mereka adalah aurat. Diriwatkan daripada Abu Hanifah bahawa dua tapak kaki (al-qadamayn) adalah bukan aurat. (Al-Zuhayli, Wahbah. 1991/1411. 18: 217)
Di antara dalil yang menunjukkan muka dan dua pergelangan tangan bukan aurat. Sabda Rasulullah SAW:
يَا أَسْمَاءُ، إِنَّ الْمَرْأَةَ إِذَا بَلَغَتِ الْمَحِيضَ لَمْ تَصْلُحْ أَنْ يُرَى مِنْهَا إِلَّا هَذَا وَهَذَا» وَأَشَارَ إِلَى وَجْهِهِ وَكَفَّيْهِ
(سنن أبى داود، كتاب اللباس، باب فيما تبدي المرأة من زينتها)
Bermaksud: Daripada ‘Aishah r.a. bahawasanya Asma’ binti Abu Bakr masuk menemui Rasulullah SAW, dia memakai pakaian yang nipis lalu Baginda berpaling daripadanya, lalu Baginda bersabda: Wahai Asma’! Bahawasanya seseorang perempuan itu apabila telah baligh tidak boleh dilihat daripadanya kecuali ini dan ini, Baginda menunjukkan kepada muka dan tapak tangan Baginda.
Dalil yang lain:
عَنْ جَابِرِ بْنِ عَبْدِ اللهِ، قَالَ: شَهِدْتُ مَعَ رَسُولِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ الصَّلَاةَ يَوْمَ الْعِيدِ، فَبَدَأَ بِالصَّلَاةِ قَبْلَ الْخُطْبَةِ، بِغَيْرِ أَذَانٍ وَلَا إِقَامَةٍ، ثُمَّ قَامَ مُتَوَكِّئًا عَلَى بِلَالٍ، فَأَمَرَ بِتَقْوَى اللهِ، وَحَثَّ عَلَى طَاعَتِهِ، وَوَعَظَ النَّاسَ وَذَكَّرَهُمْ، ثُمَّ مَضَى حَتَّى أَتَى النِّسَاءَ، فَوَعَظَهُنَّ وَذَكَّرَهُنَّ، فَقَالَ: «تَصَدَّقْنَ، فَإِنَّ أَكْثَرَكُنَّ حَطَبُ جَهَنَّمَ» ، فَقَامَتِ امْرَأَةٌ مِنْ سِطَةِ النِّسَاءِ سَفْعَاءُ الْخَدَّيْنِ، فَقَالَتْ: لِمَ؟ يَا رَسُولَ اللهِ قَالَ: «لِأَنَّكُنَّ تُكْثِرْنَ الشَّكَاةَ، وَتَكْفُرْنَ الْعَشِيرَ» ، قَالَ: فَجَعَلْنَ يَتَصَدَّقْنَ مِنْ حُلِيِّهِنَّ، يُلْقِينَ فِي ثَوْبِ بِلَالٍ مِنْ أَقْرِطَتِهِنَّ وَخَوَاتِمِهِنَّ
 (صحيح مسلم، كتاب صلاة العيدين)
Bermaksud: Daripada Jabir bin Abdullah katanya: Aku menyaksikan solat hari raya …  maka bangun seorang wanita dari pertengahan majlis mereka, yang pipinya hitam kemerah-merahan lalu berkata: Kenapa wahai Rasulullah …
سفعاء الخدين    Bermaksud:  Kedua-dua pipinya hitam kemerah-merahan
Pipi ini tidak akan diketahui warnanya jika perempuan itu menutup mukanya. Oleh itu dari Hadith ini menunjukkan bahawa perempuan itu mendedahkan mukanya. Dengan ini menunjukkan muka itu bukan aurat.
Di antara dalil yang menunjukkan semu badan wanita yang beriman merupakan aurat.
Mengenai Hadith al-ifk ‘Aisah ada menyebut:
فَبَيْنَا أَنَا جَالِسَةٌ فِي مَنْزِلِي، غَلَبَتْنِي عَيْنِي فَنِمْتُ، وَكَانَ صَفْوَانُ بْنُ المُعَطَّلِ السُّلَمِيُّ ثُمَّ الذَّكْوَانِيُّ مِنْ وَرَاءِ الجَيْشِ، فَأَصْبَحَ عِنْدَ مَنْزِلِي، فَرَأَى سَوَادَ إِنْسَانٍ نَائِمٍ فَعَرَفَنِي حِينَ رَآنِي، وَكَانَ رَآنِي قَبْلَ الحِجَابِ، فَاسْتَيْقَظْتُ بِاسْتِرْجَاعِهِ حِينَ عَرَفَنِي، فَخَمَّرْتُ وَجْهِي بِجِلْبَابِي،
(صحيح البخارى، كتاب المغازى، باب حديث الإفك)
Bermaksud:  Sedang aku duduk di tempat persinggahanku akupun mengantuk dan tidur, seorang yang bernama Safwn bin  al-Mu’attal al-Sulami berada di belakang tentera, maka dia pun menghampiri dengan tepat dimana aku berada, dia melihat manusia sedang tertidur, dia mengenali aku kerana dia telah melihat aku sebelum turun ayat hijab, aku pun terjaga mendengar suara ucapannya, maka aku pun menutup mukaku dengan jilbabku.
Muka merupakan ‘aurat bagi wanita adalah merupakan pendapat sebahagian ulama sebagaimana telah dinyatakan sebelum ini.
Firman Allah lagi mengenai kewajipan menutup aurat:
{يَا أَيُّهَا النَّبِيُّ قُلْ لِأَزْوَاجِكَ وَبَنَاتِكَ وَنِسَاءِ الْمُؤْمِنِينَ يُدْنِينَ عَلَيْهِنَّ مِنْ جَلَابِيبِهِنَّ ذَلِكَ أَدْنَى أَنْ يُعْرَفْنَ فَلَا يُؤْذَيْنَ وَكَانَ اللَّهُ غَفُورًا رَحِيمًا (59) } [الأحزاب: 59،]
Bermaksud: Wahai Nabi katakanlah kepada isterimu, anak-anak perempuanmu dan wanita-wanita yang beriman, mereka menyelubungkan melalui pakaian luar mereka ke atas diri mereka. Yang demikian itu adalah lebih hampir mereka dikenali lalu mereka tidak diganggu.
 Jalabib adalah jama’Jilbab. Jilbab sebagaiman yang di sebut di dalam Lisan al-‘Arab dan lainnya:               
ما تغطى به ثيابها من فوق كالملحفة
Bermaksud: sesuatu yang digunakan oleh wanita untuk menutup pakaiannya dari bahagian atasnya seperti kain selimut atau selendang besar ( al-Fayruzabadi 1952, 1: 49, Ibn al-Manzur t.t. 1: 265, ) Lihat juga (Tantawi 1985, 21: 115, Abu al-Su’ud t.t, 4: 219).
Maksud ayat tersebut ialah supaya kaum wanita benar-benar dapat menutup badan mereka dari hujung kepala  hingga ke kaki. (Tantawi 1985: 21: 115)
Apabila dilihat kepada ayat yang pertama,  suruhan menutup dengan kain tudung kepala, ke bahagian atas baju yang terdedah, seperti atas dada dan tengkuk, maka dikuatkan lagi dengan ayat yang kedua yang menyuruh supaya menutup badan wanita dengan satu lagi pakaian luar, ini menunjukkan,  kaum wanita itu hendaklah benar-benar menutup aurat, bermula dari atas kepala mereka sehingga keseluruhan badan mereka, kecuali tempat-tempat yang diharuskan untuk di dedahkan sebagiman yang telah dijelaskan dalam Hadith yang telah disebutka di atas dan yang telah dijelaskan oleh ulamak.

Tujuan berpakaian
Tujuan berpakaian sebenarnya antara lain ialah untuk menutup aurat. Ini sebagaimana yang boleh difahami dari firman Allah:
{ يَا بَنِي آدَمَ قَدْ أَنْزَلْنَا عَلَيْكُمْ لِبَاسًا يُوَارِي سَوْآتِكُمْ وَرِيشًا} [الأعراف: 26]
Bermaksud: Wahai anak Adam! Kami telah menurunkan kepada kamu pakaian yang menutup aurat kamu, juga  pakaian indah
Maksud سوءاتكم ialah   عوراتكم   iaitu aurat kamu (Al-Zuhayli, Wahbah. 1991/1411. 8: 168)
Nas di atas di antara lain menyebut bahawa tujuan berpakaian adalah untuk menutup aurat.

Maksud bertakwa kepada Allah SWT
Bertakwa kepada Allah SWT adalah dengan melaksanakan suruhan-Nya dan meninggalkan larangan-Nya. Di antara suruhan Allah SWT ialah menutup aurat dan di antara larangan-Nya ialah mendedahkan aurat sebagaimana yang telah dijelaskan sebelum ini. Dengan ini seseorang wanita yang beriman apabila dia mendedahkan auratnya dengan sengaja maka dia telah derhaka kepada Allah SWT. Apabila dia derhaka kepada Allah SWT dan berterusan, tanpa bertaubat maka dia telah tidak bertakwa kepada-Nya. Dengan ini perkataan seseorang yang mengatakan tidak mengapa tidak memakai tudung kepala kepada seorang wanita yang beriman, tidak mengapa menampakkan leher bagi seseorang wanita yang beriman asalkan bertakwa kepada Allah, tidak mengapa menampakkan  dada bagi seorang wanita yang beriman asalkan dia bertakwa kepada Allah adalah salah kerana perbuatan itu bertentangan dengan suruhan Allah supaya anggota-anggota tersebut hendaklah ditutup. Sengaja mendedahkannya dengan berterusan tanpa taubat adalah menentang hukum Allah SWT yang menjadikan dia tidak bertakwa kepada-Nya.

Maksud Hadith: Allah tidak melihat kepada paras rupa kamu tetapi melihat kepada hati kamu
Al-Hafiz  Ibn Rajab dalam kitabnya Jami` al-Ulum Wa al-Hikam ada menyebut mengenai Hadith ini:  Ramai orang yang mempunyai rupa yang cantik, berharta, berkedudukan tinggi di dunia tetapi hatinya rosak dari bertakwa, sebaliknya orang yang tidak memiliki sesuatu dari yang demikian itu tetapi hatinya penuh dengan ketawaan kepada Allah SWT maka orang itu lebih mulia di sisi Allah SWT. Dalam Sahih al-Bukhari dan Muslim ada menyebut daripada Harithah bin Whab daripada Nabi SAW sabdanya:
أَلاَ أُخْبِرُكُمْ بِأَهْلِ الجَنَّةِ؟ كُلُّ ضَعِيفٍ مُتَضَعِّفٍ، لَوْ أَقْسَمَ عَلَى اللَّهِ لَأَبَرَّهُ، أَلاَ أُخْبِرُكُمْ بِأَهْلِ النَّارِ كُلُّ عُتُلٍّ، جَوَّاظٍ مُسْتَكْبِرٍ
 (صحيح البخارى، كتاب التفسير، سورة ن والقلم)
Bermaksud: Tidakkah aku mengkhabarkan kepada kamu mengenai ahli syurga? Setiap orang yang lemah dan dipandang hina, jika dia berjanji kepada Allah SWT dia melaksanakannya, Tidakkah aku mengkhabarkan kepada kamu mengenai ahli neraka setiap orang yang kasar, banyak bertengkar dalam perkara yang batil, menipu dan takbur serta menentang kebenaran.

Ringkasnya maksud Hadith di atas ialah: Ahli syurga ialah orang yang merendah diri dan tawaduk, sebaliknya ahli neraka ialah orang yang takbur, bongkak dan menentang kebenaran yang datang daripada Allah SWT.

Al-Hafiz  Ibn Rajab dalam kitabnya Jami` al-Ulum Wa al-Hikam juga ada menyebut mengenai Hadith : Allah tidak melihat kepada paras rupa kamu tetapi melihat kepada hati kamu: Nabi SAW ditanya: Siapakah manusia yang paling mulia? Jawab Baginda: Orang yang paling bertakwa kepada Allah SWT dalam Hadith yang lain Baginda menyebut, kemulian itu ialah ketakwaan, dan ketakwaan itu aslanya dalam hati. (Ibn Rajab, 2001/1422. 2: 276)

Kata Imam al-Munawi dalam Fath al-Qadir mengenai Hadith : Allah tidak melihat kepada paras rupa kamu tetapi melihat kepada hati kamu, Hati itu adalah tempat yang dilihat oleh Allah SWT, maka tidak dikira hanya dengan kecantikan yang zahir ( seperti rupa seseorang yang cantik, parasnya yang menarik dan pakaiannya yang cantik) dan petah bercakap serta menarik sedangkan hatinya kotor. (Al-Munawi 1356 H, 5: 50).

Dari apa yang telah dijelaskan oleh para ulamak di atas maka maksud Hadith, Allah tidak melihat kepada paras rupa kamu tetapi melihat kepada hati kamu, ialah rupa yang menawan, warna kulit yang cantik, mempunyai harta yang banyak dan mempunyai kedudukkan yang tinggi di sisi masyarakat, tetapi hatinya rosak, bongkak, tidak menerima kebenaran yang datang dari Allah SWT maka orang ini di sisi Allah adalah hina. Sebaliknya orang yang tidak mempunyai rupa yang menawan, mungkin dipandang hina oleh masyarakatnya, tetapi hatinya baik, bertakwa kepada Allah SWT, tawaduk, maka orang ini adalah mulia di sisi Allah SWT.

Kesimpulan
Bagi memahami sesuatu Hadith Rasulullah SAW hendaklah dilihat kepada ayat-ayat al-Quran yang berkaitan dengan Hadith tersebut, juga Hadith-Hadith lain yang berkaitan dengannya, kerana di antara Hadith dengan ayat al-Quran tidak akan bertentangan bahkan jelas menjelaskan, juga di antara satu Hadith dengan Hadith yang lain. Dengan ini Maksud Hadith: Allah tidak melihat kepada paras rupa kamu tetapi melihat kepada hati kamu, ialah rupa yang menawan, warna kulit yang cantik, mempunyai harta yang banyak dan mempunyai kedudukan yang tinggi di sisi masyarakat, tetapi hatinya rosak, bongkak, tidak menerima kebenaran yang datang dari Allah SWT maka orang ini di sisi Allah adalah hina. Sebaliknya orang yang tidak mempunyai rupa yang menawan, kulit yang cantik, mungkin dipandang hina oleh masyarakatnya, tetapi hatinya baik, bertakwa kepada Allah SWT, tawaduk, maka orang ini adalah mulia di sisi Allah SWT.


Rujukan
Al-Quran al-Karim.
Abu Daud, Suliman bin al-Ash’ath. T.T. Sunan Abi Daud, tahqiq Muhammad Muhyiddin Abd al-Hamid. Bayrut: al-Maktabah al-`Asriyyah.
Al-Bukhari, Muhammad bin Ismail. 1442H. al-Jami` al-Sahih al-Musnad Min Umur Rasul Allah S.A.W.  Wa Sunanih Wa Ayyamihn (Sahih al-Bukahri) tahqiq, Muhammad Zuhayr bin Nasir. Dar Tuq al-Najat.
Al-Fayruzabadi, Muhammad bin Ya’qub. 1952/1371. al-Qamus al-Muhit. Al-Qahirah: Mustafa al-Babi al-halabi.
Ibn Manzur, Muhammad bin Mukarram. Lisan al-‘Arab. T.T. al-Qahirah: al-Muassasahh al-Misriyyah al-‘Ammah.
Al-Munawi, Abd al-Ra`uf. 1356 H. Fayd al-Qadir Sharh al-Jami` al-Sahgir. Misr: al-Maktabah al-Tijarah al-Kubra.             
Muslim bin al-Hajjaj. 1955/1374. Sahih Muslim, tahqiq Muhammad Fuad Abd al-Baqi. Bayryt: Dar Ihya’ al-Turath al-`Arabi.
Al-Zuhayli, Wahbah. 1991/1411. al-Tafsir al-Munir. Bayrut: Dar al-Fikr.