Hukum air kencing


Ustaz Dr. Udah Mohsin
  
Hukum  Air Kencing.
  
Dalil najis air kencing.
Antara dalil yang menunjukkan air kencing itu najis ialah:
Sabda Rasulullah s.a.w.:
تنزهوا من البول فإن عامة عذاب القبر منه
Bermaksud: Hendaklah kamu bersih dari air kencing kerana kebanyakkan azab kubur adalah darinya.
Hadith ini diriwayatkan oleh `Abd bin Humayd daripada Ibn Abbas. Hadith ini juga diriwayatkan oleh al-Darqutni daripada Anas. (al-suyuti t.t. 11:373). Menurut al-Imam al-Nawawi dalam al-Majmu`: Hadith ini berserta dengan mutabi` dan shawahidnya ia adalah hasan, (al-Nawawi t.t. 2: 555).
Suruhan Rasulullah supaya bersih daripada kencing dan penjelasan Baginda bahawa kebanyakkan azab kubur adalah disebabkan olehnya menunjukkan bahawa air kencing itu najis hendaklah mensucikan diri daripadanya.
Sabda Rasulullah lagi:
عَنْ ابْنِ عَبَّاسٍ قَالَ
مَرَّ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِقَبْرَيْنِ فَقَالَ إِنَّهُمَا لَيُعَذَّبَانِ وَمَا يُعَذَّبَانِ فِي كَبِيرٍ أَمَّا أَحَدُهُمَا فَكَانَ لَا يَسْتَتِرُ مِنْ الْبَوْلِ وَأَمَّا الْآخَرُ فَكَانَ يَمْشِي بِالنَّمِيمَةِ
صحيح البخاري – (1 / 365)
Bermaksud: Daripada Ibn `Abbas katanya, Nabi s.a.w. lalu di dua kubur, lalu Baginda bersabda: Kedua-duanya diazab, dan kedua-duanya diazab bukan kerana sesuatu yang besar. Adapun salah satunya maka dia tidak memelihara air kencingnya, manakala yang seorang lagi dia berjalan dengan membatu api (melaga-lagakan orang).
Antara kandungan hadith di atas mnjelaskan bahawa sebab seseorang itu diseksa di dalam kuburnya ialah tidak menjaga dirinya dari air kencing. Seperti seseorang yang terkena pada badannya  air kencing, sebelum dia mensucikannya, dia terus sembahyang , atau seorang yang kencing sebelum habis semua air kencingnya dia sudah membasuhnya kemudian dia berwuduk, setelah itu  air kencing itu keluar lagi, dan dia tidak membasuhnya, jadi badannya masih ada najis dan dia terus sembahyang   maka sembahyangnya tidak sah kerana ada najis pada badannya Begitu juga hukumnya jika air kencing itu kena pada pakaiannya dan tidak disucikan dan dipakai untuk sembahyang, maka sembahyangnya tidak sah.
Hadith yang lain:

عن أَنَسَ بْنَ مَالِكٍ قَالَ
جَاءَ أَعْرَابِيٌّ فَبَالَ فِي طَائِفَةِ الْمَسْجِدِ فَزَجَرَهُ النَّاسُ فَنَهَاهُمْ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَلَمَّا قَضَى بَوْلَهُ أَمَرَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِذَنُوبٍ مِنْ مَاءٍ فَأُهْرِيقَ عَلَيْهِ
صحيح البخاري - (1 / 370)
Bermaksud: Daripada Anas bin Malik katanya, seorang badwi datang lalu dia kencing di satu kawasan dalam masjid maka orang ramai pun memarahinya maka Nabi s.a.w. menegah mereka, maka setelah dia selasai kencing Nabi s.a.w. menyuruh dibawa satu timba air lalu dijirus ke atasnya. 
Suruhan Nabi s.a.w. supaya dijirus air kencing orang badawi itu menunjukkan kepada air kencing itu najis.
Hadith yang sama maksud dengan di atas ialah Sabda Rasulullah s.a.w. lagi:
أَنَّ أَبَا هُرَيْرَةَ قَالَ
قَامَ أَعْرَابِيٌّ فَبَالَ فِي الْمَسْجِدِ فَتَنَاوَلَهُ النَّاسُ فَقَالَ لَهُمْ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ دَعُوهُ وَهَرِيقُوا عَلَى بَوْلِهِ سَجْلًا مِنْ مَاءٍ أَوْ ذَنُوبًا مِنْ مَاءٍ فَإِنَّمَا بُعِثْتُمْ مُيَسِّرِينَ وَلَمْ تُبْعَثُوا مُعَسِّرِينَ
صحيح البخاري - (1 / 369)
Bermaksud: Daripada Abu Hurayrah r. a. bahawa seorang badwi kencing di masjid, maka orang ramai pun hebuh mengenainya untuk menghukumnya, maka Rasulullah s.a.w. berkata kepada mereka: Biarkan dia, dan siramlah air satu timba  atau satu baldi ke atas kencingnya, maka sesungguhnya kamu di utuskan dengan keadaan memudahkan  dan kamu tidak diutuskan dengan keadaan menyusahkan.
Hadith-hadith di atas menunjukkan bahawa air kencing itu najis.
Kata al-Imam al-Nawawi  dalam kitabnya al-majmu`,: Air Kencing itu ada empat jenis.
·        Pertama, Air kencing anak Adam yang sudah dewasa.
·        Kedua, air kencing kanak-kanak lelaki yang belum makan.
·        Ketiga, air kencing binatang yang halal dimakan.
·        Keempat, air kencing binatang yang tidak halal dimakan.
Ini semua adalah najis di sisi kami (ulama-ulama dalam mazhab al-Safi`i) dan di sisi jamhur al-ulama’ (kebanyakkan ulama, yang termasuk dalam mazhab al-Safi`i dan mazhab yang lain). (al-Nawawi t.t. 2: 555).
Selepas itu al-Imam al-Nawawi menjelaskan secara terperinci:

Air kencing anak Adam yang sudah dewasa.
Air kencing anak Adam yang sudah dewasa adalah najis dengan iMac ulama. Dalilnya ialah hadith-hadith yang telah disebutkan sebelum ini dan ijmak.

Air kencing kanak-kanak lelaki yang belum makan
Adapun air kencing kanak-kanak lelaki yang belum makan maka ia adalah najis di sisi kami (ulama-ulama dalam mazhab al-Safi`i) dan di sisi seluruh (kaffah) ulama. Dalilnya adalah apa yang difahami dari umum hadith-hadith yang telah disebutkan di atas dan dikiaskan kepada orang dewasa. Selain daripada itu telah sabit Nabi s,a,w, telah merenjis dengan air akan pakaiannya yang telah kena air kencing kanak-kanak lelaki. Jika tidak najis nescaya Baginda tidak merenjisnya. (al-Nawawi 2: 556).
Hadith Rasulullah s.a.w. yang menyuruh merenjis air kencing kanak-kanak lelaki ialah:
عَنْ أُمِّ قَيْسٍ بِنْتِ مِحْصَنٍ
أَنَّهَا أَتَتْ بِابْنٍ لَهَا صَغِيرٍ لَمْ يَأْكُلْ الطَّعَامَ إِلَى رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَأَجْلَسَهُ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي حَجْرِهِ فَبَالَ عَلَى ثَوْبِهِ فَدَعَا بِمَاءٍ فَنَضَحَهُ وَلَمْ يَغْسِلْهُ
صحيح البخاري - (1 / 373)

Hadith yang lain:

يُغْسَلُ مِنْ بَوْلِ الْجَارِيَةِ وَيُنْضَحُ مِنْ بَوْلِ الْغُلَامِ
سنن أبى داود - (1 / 459)

Maksud kanak-kanak lelaki ialah kanak-kanak lelaki yang berumur belum sampai dua tahun dan belum makan makanan. (Muhammad al-Sharbini al-Khatib 1955, 1: 31).

Air kencing  binatang yang tidak halal dimakan
Menurut al-Imam al-Nawawi: Adapun air kencing  binatang yang tidak halal dimakan maka ia adalah najis di sisi kami (ulama-ulama dalam mazhab al-Safi`i), di sisi Malik, Abu Hanifah, Ahmad dan seluruh (kaffah) ulama. . (al-Nawawi t.t., 2: 556).

Air kencing binatang yang halal dimakan
Menurut al-Imam al-Nawawi: Adapun air kencing binatang yang halal dimakan dan juga tahinya Kedua-duanya adalah najis di sisi kami (ulama-ulama dalam mazhab al-Safi`i/al-shafi`iyyah), di sisi Abu Hanifah, Abu Yusuf dan lain daripada kedua-duanya.
Manakala menurut  `Ata’, al-Nakha`i, al-Zuhri, Malik, Sufyan al-Thawri, Zufar dan Ahmad: Air kencing dan tahi binatang yang halal dimakan adalah suci. Al-Imam al-Nawawi juga ada menyebut, pendapat yang seperti pendapat mereka, daripada kalangan ulama mazhab al-Safi`i, iaitu  seperti al-Ruyani dan al-Imam Abu Bakr Muhammad bin Ishaq bin Khuzaymah. Selepas itu  al-Imam al-Nawawi menjelaskan: Pendapat yang masyhur dalam mazhab kami (mazhab al-Safi`i) adalah yakin (al-jazm) najis. (al-Nawawi t.t., 2: 556).

Dari Keterangan al-Imam al-Nawawi di atas menurut al-Imam Malik, al-Imam  Ahmad dan lainnya bahawa Air kencing dan tahi binatang yang halal dimakan adalah suci.
Kata al-Qarafi beliau adalah dari kalangan ulama besar mazbab al-Imam Malik (al-Malikiyyah( dalam al-Dhakhirah:
... إن الله تعالى لم يجعل شفاء أمتي فيما حرم عليها
فلا ينجس أرواث المأكول وهو المطلوب
Bermaksud: …Tidak najis  tahi binatang yang halal dimakan. (al-Qarafi 1994, 1: 186).
  
Kata Ibn Rushd, beliau seorang ulama besar dari kalangan mazhab al-Imam Malik(al-Malikiyyah ) dalam al-Bayan Wa al-Tahsil   ada menyebut:
قال محمد بن رشد: أما أبوال الإنعام فلم يختلف قول مالك أنها طاهرة، ووقع في سماع أشهب من كتاب الجامع أنه فرق بين أبوال الأنعام
والمشهور من قول مالك في المدونة وغيرها المساواة بين أبوال الأنعام وبين أبوال ما يؤكل لحمه من غيرها،
(Ibn Rushd 1988, 1: 265-266).
Bermaksud: … Yang masyhur daripada perkataan Malik dalam kitab al-Mudawwanah dan lainnya, adalah sama di antara air kencing binatang ternakan dengan binatang yang dimakan dagingnya, berbanding yang lainnya.

Kata Ibn al-Qudamah, beliau seorang ulama besar dari kalangan mazhab al-Imam Ahmad (al-Hanabilah) ada menyebut dalam al-Mughni:

  وَبَوْلُ مَا يُؤْكَلُ لَحْمُهُ وَرَوْثُهُ طَاهِرٌ
وَهُوَ قَوْلُ عَطَاءٍ وَالنَّخَعِيِّ وَالثَّوْرِيِّ وَمَالِكٍ : قَالَ مَالِكٌ : لَا يَرَى أَهْلُ الْعِلْمِ أَبْوَالَ مَا أُكِلَ لَحْمُهُ وَشُرِبَ لَبَنُهُ نَجِسًا .
(Ibn Qudamah t.t. 3: 249)
Bermaksud: Air kencing dan tahi binatang yang halal dagingnya adalah suci
Kata al-Hafiz Ibn Hajar seorang ulama besar dalam hadith menyebut dalam kitabnya Fath al-Bari iaitu sarah bagi Sahih al-Bukhari:
Mereka (kaum `Ukl) meminum air kencing unta,   telah dijadikan dalil oleh orang  yang mengatakan air kencing unta itu adalah  suci. Mereka mengatakan air kencing unta itu suci berdalilkan dengan hadith ini. Adapun bagi air kencing binatang yang halal dimakan, maka hukumnya  dikiaskan kepada air kencing unta. Ini adalah pendapat Malik, Ahmad dan sekumpulan daripada ulama al-salaf. Pendapat mereka ini juga disetujui oleh  Ibn Khuzaymah, Ibn al-Mundhir, Ibn Hibban, al-Istakhri Dan al-Ruyani, mereka ini adalah dari kalangan al-Shafi`iyyah. Manakala menurut al-Shafi`I dan al-jamhur hukum air kencing dan tahi binatang yang halal dimakan dan yang tidak halal dimakan  adalah najis.
Ibn al-Mundhir berhujjah di atas pendapatnya dengan mengatakan: Sesuatu itu adalah suci sehingga sabit najisnya. Mereka yang mengatakan hukum ini hanya khas kepada kaum itu sahaja adalah tidak benar kerana hukum yang khas itu memerlukan kepada dalil… Bagi mereka yang mengatakan semua air kencing itu najis  berdalilkan kepada hadith yang diriwayatkan oleh Abu Hurayrah yang telah disebutkan. (Ibn Hajar t.t. 1: 338).

Menurut al-Imam al-Nawawi lagi: Daripada al-Layth bin Sa`d dan Muhammad bin al-Hasan, bahawa air kencing binatang yang halal dimakan adalah suci dan tidak suci tahinya. Kata Abu Hanifah: Tahi burung merpati adalah suci. (al-Nawawi t.t. (a). 2: 556)

Dari kalangan ulama masa kini yang mengatakan kencing dan tahi binatang yang halal dimakan adalah suci ialah:
 Abd al-Aziz bin Abd Allah bin Baz,  mufti Sa`udi Arabiya.
(حكم طهارة بول وروث ما يؤكل لحمه الموقع الرسمى لسماحة الشيخ عبد العزيز بن باز. مجموع فتاوى ومقالات متنوعة المجلد التاسع والعشرون)


Dr. Yusuf al-Qaradawi, beliau berkata:

وبهذه الأدلة الناصعة: يتبين لنا رجحان القول بطهارة بول ما يؤكل لحمه وروثه، دون أن يكون في نفس المسلم أدنى ريب من ذلك.انتهى
بول وروث ما يؤكل لحمه- العبادات – والإستشارات – أون اسلام نت)
On Islam
بول وروث ما يؤكل لحمه
19_  02_  2007
Bermaksud: Dengan dalil yang terang, ternyatalah rajih pendapat yang mengatakan:  Suci air kencing dan tahi binatang yang halal dimakan

Dalil mereka yang mengatakan bahawa air kencing dan tahi binatang yang halal dimakan adalah suci atau  suci salah satu daripada kedua-duanya:
عَنْ أَنَسٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ
قَدِمَ عَلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ نَفَرٌ مِنْ عُكْلٍ فَأَسْلَمُوا فَاجْتَوَوْا الْمَدِينَةَ فَأَمَرَهُمْ أَنْ يَأْتُوا إِبِلَ الصَّدَقَةِ فَيَشْرَبُوا مِنْ أَبْوَالِهَا وَأَلْبَانِهَا فَفَعَلُوا
صحيح البخاري - (21 / 66)
Bermaksud: Daripada Anas r.a. katanya: Beberapa orang dari kum `Ukl datang kepada Nabi s.a.w. mereka memeluk Islam dan mereka tidak suka tinggal di al-Madinah maka Nabi s.a.w. menyuruh mereka pergi ke tempat unta sedekah dan minum air kencing dan susunya, lalu mereka melakukannya.

Hadith yang sama dengan yang diriwayatkan oleh al-Bukhari di atas juga diriwayatkan oleh Muslim.
عن أَنَسُ بْنُ مَالِكٍ قَالَ قَدِمَ عَلَى رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَوْمٌ مِنْ عُكْلٍ أَوْ عُرَيْنَةَ فَاجْتَوَوْا الْمَدِينَةَ فَأَمَرَ لَهُمْ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِلِقَاحٍ وَأَمَرَهُمْ أَنْ يَشْرَبُوا مِنْ أَبْوَالِهَا وَأَلْبَانِهَا
صحيح مسلم - (9 / 9)
Bermaksud: Daripada Anas bin Malik katanya, Kaum `Ukl atau `Uraynah datang menemui Rasulullah s.a.w. mereka tidak suka tinggal di a-Madinah maka Rasulullah s.a.w. menyuruh mereka pergi ke tempat unta yang ada susu dan menyuruh mereka minum air kencing dan susunya.  
Selain dari itu hadith:
كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُصَلِّي قَبْلَ أَنْ يُبْنَى الْمَسْجِدُ فِي مَرَابِضِ الْغَنَمِ
صحيح البخاري - (1 / 391)
Bermaksud: Adalah Nabi s.a.w. sebelum dibina masjid, Baginda sembahyang  di tempat kumpulan kambing.
Hadith yang lain:
عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ
قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ صَلُّوا فِي مَرَابِضِ الْغَنَمِ وَلَا تُصَلُّوا فِي أَعْطَانِ الْإِبِلِ
سنن الترمذى - (2 / 81)
Bermaksud: Daripada Abu Hurayrah katanya, Rasulullah s.a.w. bersabda: Hendaklah kamu sembahyang pada tempat kumpulan kambing dan jangan kamu sembahyang pada tempat unta berbaring ditepian air.
Hadith-hadith di atas menunjukkan bahawa air kencing unta dan binatang yang halal dimakan itu adalah tidak najis. Sebabnya ialah Rasulullah s.a.w. menyuruh kaum `Ukl minum air kencing unta. Jika ia najis nescaya Rasulullah tidak menyuruh berbuat demikian. Binatang yang lain dari unta adalah dikiaskan dengan unta.

Mereka juga berdalilkan: Asal sesuatu itu adalah suci sehingga sabit najisnya. Mereka berkata kepada orang yang mengatakan bahawa  hukum ini (tahi unta tidak najis) hanya khas kepada kaum `Ukl itu sahaja, bahawa pendapat ini adalah tidak benar kerana hukum yang khas itu memerlukan kepada dalil.

Mereka juga berhujah: Nabi s.a.w. dan para Sahabat sembahyang ditempat kumpulan kambing maka tempat itu tidak sunyi dari terdapat tahi dan air kencing, sedangkan mereka sembahyang di atas bumi,  tanpa lapik ini menunjukkan kepada tempat itu suci. Abu Musa sembahyang pada tempat yang terdapat tahi kambing, apabila dikatakan kepadanya: Kalaulah engkau ke depan sana? Jawabnya, di sini dan sana sama. (Ibn Qudamah t.t. 3: 249).
Mereka juga berkata: Benda yang najis tidak boleh meminumnya, dan jika diharuskan kerana darurat nescaya Baginda menyuruh mereka membasuh kesannya apabila hendak mengerjakan sembahyang. (Ibn Qudamah t.t. 3: 249). Sedangkan Baginda tidak menyuruhnya.

Hadith lain yang ada disebut sebagai hujah dalam masalah ini  ialah hadith yang diriwayat daripada Jabir secara marfu`
عَنْ جَابِرِ بْنِ عَبْدِ اللَّهِ قَالَ قَالَ النَّبِىُّ -صلى الله عليه وسلم- :« مَا أُكِلَ لَحْمُهُ فَلاَ بَأْسَ بِبَوْلِهِ ». {ج} وَعَمْرُو بْنُ الْحُصَيْنِ الْعُقَيْلِىُّ وَيَحْيَى بْنُ الْعَلاَءِ الرَّازِىُّ ضَعِيفَانِ وَسَوَّارُ بْنُ مُصْعَبٍ ضَعِيفٌ. {ت} وَقِيلَ عَنْهُ :« مَا أُكِلَ لَحْمُهُ فَلاَ بَأْسَ بِسُؤْرِهِ ». وَقَدْ مَضَى فِى كِتَابِ الطَّهَارَةِ ، وَلاَ يَصِحُّ فِى هَذَا عَنِ النَّبِىِّ -صلى الله عليه وسلم- شَىْءٌ.
(سنن البيهقى، كتاب الصلاة)

Dan daripada al-Bara secara marfu` yang sepertinya. (al-Nawawi t.t. (a). 2: 556)
Bermaksud: Apa yang dimakan dagingnya tidak mengapa dengan kencingnya.
Hadith di atas  jelas menunjukkan bahawa binatang yang halal dagingnya tidak mengapa dengan air kencingnya.

Dalil mereka yang mengatakan bahawa air kencing dan tahi binatang yang halal dimakan adalah najis

Menurut al-Imam al-Nawawi dalil sahabat-sahabat kami (ulama-ulama mazhab al-Shafi`i) yang mengatakan  kencing dan tahi binatang yang halal dimakan itu najis ialah firman Allah:
{يُحَرِّمُ عَلَيْهِمُ الْخَبَائِثَ} [الأعراف : 157]
Bermaksud: Dia (Rasulullah) mengharamkan ke atas mereka kekotoran-kekotoran.
Khabaith adalah jamak, mufradnya ialah khubth. Maknanya kekotoran.
Orang Arab mengaggap kencing dan tahi binatang tersebut sebagai Khubth,

Dalil yang lain ialah menurut umum (mutlaq) hadith-hadith yang disebutkan sebelum ini, juga dikiaskan dengan binatang yang dimakan dan darah binatang yang dimakan.
Untuk menjawab hadith Anas tersebut iaitu hadith:
عَنْ أَنَسٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ
قَدِمَ عَلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ نَفَرٌ مِنْ عُكْلٍ فَأَسْلَمُوا فَاجْتَوَوْا الْمَدِينَةَ فَأَمَرَهُمْ أَنْ يَأْتُوا إِبِلَ الصَّدَقَةِ فَيَشْرَبُوا مِنْ أَبْوَالِهَا وَأَلْبَانِهَا فَفَعَلُوا
ialah apa yang dilakukan oleh mereka iaitu kaum Ukl adalah untuk berubat. Berubat adalah harus dengan segala benda-benda yang najis kecuali arak. Manakala hadith yang diriwayatkan oleh Jabir dan al-Bara adalah da`if.(al-Nawawi 2: 556). 
Hadith-hadith yang telah disebutkan sebelum ini yang menunjukkan air kencing itu najis ialah  empat hadith yang disebut pada awal membincangkan najis air kencing. Itu hanya sebahagian dari hadith-hadith mengenainya.


Rujukan:

Abd al-Aziz bin Abd Allah bin Baz,  mufti Sa`udi Arabiya.
(حكم طهارة بول وروث ما يؤكل لحمه الموقع الرسمى لسماحة الشيخ عبد العزيز بن باز. مجموع فتاوى ومقالات متنوعة المجلد التاسع والعشرون)


Abu Daud, Suliman bin al-Ash’ath di dalam Abadi. 1969/1389. Sunan Abi Daud.
di dalam ‘Awn al-Ma’bud. Al-Madinh al-Munawwarah: al-Maktabah al-Salafiyyah.

Abu Daud, Suliman bin al-Ash’ath. T.T. Sunan Abi Daud. Al-Maktabah al-Shamilah.

Al-Bukhari, Muhammad bin Ismail di dalam Ibn Hajar, T.T. Sahih al-Bukhari di dalam Fath al-Bari. Al-Qahirah:Al-Maktabah al-salfiyyah.


Al-Bayhaqi, Ahmad bin al-Husayn. 1344H.  al-Sunan al-Kubra. al-Hind: Da’irah al-Ma’arif.

al-Bayhaqi, Ahmad bin al-Husayn bin `Ali. 1346H .Sunan al-Kubra, Wa fi Dhaylih al-Jawhar al- Naqi. India: Haydar Abad.


Ibn Hajar al-`Asqalani, Ahmad bin `Ali. T.T. Fath al-Bari Bi Sharh Sahih al-Bukhari, tarqim
Muhammad fuad Abd al-Baqi. Al-Maktabah al-Salafiyyah.


Ibn Qudamah, Abd Allah bin Ahmad bin Muhammad, (W. 620H).  T.T. al-Mughni. Al-Maktabah al-Shamilah

Ibn Rushd (al-Jad) Abu al-Walid, Muhammad bin Ahmad. 1988/1408. Al-Bayan Wa al-Tahsil Wa al-Sharh Wa al-Tawjih Wa al-Ta`lil Li Masail al-Mustakhrjah, tahqiq Dr. Muhammad Hija Wa Akharun. Bayrut: Dar al-Gahrb al-Islami.
Muhammad bin Ahmad Al-Khatib al-Shrbini,. T.T. Muhghni al-Muhtaj Ila Ma`rifah Alfaz al-Minhij. Al-Maktabah al-Shamilah.         

Muhammad al-Sharbini al-Khatib. 1995/1415. Al-Iqna` Fi Hall Alfaz Ibi shuja`. Bayrut: Dar al-Fikr

Muslim bin al-Hajjaj. 1955/1374. Sahih Muslim, tahqiq Muhammad Fuad Abd al-Baqi. Al-Qahirah: ‘Isa al-Babi al-Halabi.


Al-Nawawi,  Yahya bin Sahraf. T.T.(a).  al-Majmu’ Sharah al-Muhadhdhab. Al-Qahirah: Matba’ah al-‘Alamiyyah.

al-Qaradawi, Yusuf (Dr.).
بول وروث ما يؤكل لحمه- العبادات – والإستشارات – أون اسلام نت
On Islam
بول وروث ما يؤكل لحمه
19_  02_  2007


Al-Qarafi, Shihab al-Din, Ahmad bin Idris. 1994. Al-Dhakhirah. Bayrut: Dar al-Gharb.

Al-Suyuti. Abd al-Rahman bin Abu Bakr. T.T. Jami` al-Ahadith Li al-Jami` al-Saghir Wa Zawaidih Wa al-Jami` al-Kabir.

al-Sharbini al-Khatib. 1995/1415. Al-Iqna` Fi Hall Alfaz Ibi shuja`. Bayrut: Dar al-Fikr.

Al-Tirmidhi, Muhammad bin `Isa bin Surah. T.T. Sunan al-Tirmidhi. Al-Maktabah al-Shamilah.