PEMUDA HARAPAN oleh Ustaz Udah Mohsin


Pemuda adalah merupakan tonggak kejayaan bagi sesebuah negara. Jika pemuda sesebuah negara itu baik maka akan baiklah negara itu, sebaliknya jika buruk pemudanya maka akan buruklah negara itu. Kita bercita-cita untuk menjadi sebuah negara yang disegani, dihormati dan disanjung. Kita tidak akan mencapi kejayaan ini jika kita tidak kembali kepada ajaran Allah dan Rasul-Nya. Oleh itu marilah kita melihat sikap pemuda di dalam al-Quran dan di zaman Rasulullah s.a.w. kemudian kita hendaklah mengambil contoh tauladan darinya.

Pemuda di zaman Rasulullah
Di zaman Rasulullah s.a.w. terdapat ramai pemuda. Mereka itu adalah merupakan sahabat Rasulullah s.a.w. yang muda. Mereka mendapat pendidikan dari Rasulullah s.a.w. , cuma mereka muda berbanding dengan sahabat yang tua. Mereka ini merupakan sahabat pelapis yang akan mengantikan Saydina Abu Bakr dan Umar. Mereka adalah seperti `Ali bin Abu Talib, `Abdullah bin Mas`ud,  Mu`adh bin Jabal, Zayd bin Thabit, kemudian diikuti oleh kanak-kanak seperti  Abdullah bin `Abbas,  Anas bin Malik dan lain-lain r.a

Sikap Pemuda di zaman Rasulullah s.a.w.
Untuk melihat sikap mereka tidak dapat tidak kita mestilah merujuk kepada kitab-kitab hadith, syarah hadith dan kitab-kitab lain yang ada memperkatakan mengenai cara hidup mereka di zaman Rasulullah s.a.w. Di antara sikap mereka  ialah

* Berkhidmat untuk agama Allah.
 Mereka memberi khidmat kepada Rasulullah s.a.w. yang merupakan pembawa agama Allah untuk memandu  manusia di dalam hidup mereka ke jalan yang memberi mereka bahagia di dunia dan akhirat. Ini sebagaimana yang dilakukan oleh, Ali bin   Abu Talib, Mu`adh bin Jabal, Abdullah bin Mas`ud, Abdullah bin Umar dan lain-lain.              

* Hidup berdamping dengan Rasulullah
Pemuda di zaman Rasulullah s.a.w. mereka sentiasa berdamping dengan Baginda, dan Baginda sentiasa memberi bimbingan  dan tunjuk ajar kepada mereka. Di antara tunjuk ajar Baginda kepada mereka sebagaimana yang diriwayatkan oleh Abdullah bin Mas`ud katanya: Kita orang-orang muda keluar bersama-sama Rasulullah s.a.w. kemudian Nabi s.a.w. memberitahu kepada kita: Wahai para belia! Sesiapa yang mampu memiliki perbelanjaan nikah hendaklah dia nikah kerana ia boleh menjaga pemandangan dan memelihara faraj, dan sesiapa yang tidak mampu, maka hendaklah dia berpuasa, ia merupakan ubat yang boleh memecahkan syahwatnya.(Sahih al-Bukhari, al-Nikah)

Mereka juga dengan tidak segan silu bertanya kepada Rasulullah s.a.w. Tidakkah kita boleh melakukan kasi? Jawab Baginda: Tidak. (Sahaih al-Bukhari, al-Nikah)

Apa yang menjadi perhatian  di sini ialah apabila pemuda-pemuda muslim di zaman Rasulullah mereka sentiasa berdamping dengan Baginda mereka mendapat ilmu, tunjuk ajar dan bimbingan dari Baginda yang menjadikan mereka benar-benar menjadi pemuda yang alim tentang agama, menguruskan dunia mengikut sebagaimana yang dikehandaki oleh syara`, berakhlak mulia dan sentiasa bertakwa kepada Allah                              

* Menjadikan masjid sebagai tempat perhimpunan
Pemuda di zaman Rasulullah s.a.w. menjadikan masjid sebagai tempat perhimpunan mereka. Mereka juga tidur di masjid. Kata Ibn Umar: Kita semasa muda tidur di masjid.(Sunan al-Tirmidhi, al-Salah).Tidur di masjid adalah menunjukkan bahawa masjid itu di jadikan tempat asas perhimpunan mereka. Mereka membaca al-Quran  dan sembahyang malam di masjid. (Sunan al-Bayhaqi, al-salah) Adalah tidak salah bermain dengan permainan yang memberi feadah pada pandangan syara` dilakukan dalam masjid sebagaimana yang dilakukan oleh orang-orang Habshah. (Sahaih al-Bukhari, al-Salah) Apabila masjid itu dijadikan tempat perhimpunan mereka maka mereka tidak sekali-kali meninggalkan sembahyang. Mereka akan melakukan sembahyang fardu berjama`ah. Mereka tidak akan melakukan perkara-perkara yang berlawanan dengan syara` kerana gerak geri mereka sentiasa diperhati oleh Rasulullah s.a.w. dan sahabat-sahabat lain yang sentiasa berulang alik ke masjid.                                                              
                                 
* Mempelajari, mengamal dan menyebarkan ilmu.
Di dalam hadith terdapat nas-nas yang menyebut mengenai betapa minat dan rasa tanggungjawab para belia  di zaman Rasulullah s.a.w. terhadap menuntut ilmu. Antaranya ialah mereka yang tinggal jauh dari Rasulullah s.a.w. sangup datang beramai-ramai menemui Bagainda s.a.w. dan tinggal bersama-sama Baginda, mendapatkan ilmu dari Baginda, dan apabila Baginda telah mengetahui mereka telah rindukan keluarga, mereka pun di suruh pulang ke kampung halaman mereka dengan membawa ilmu pengetahuan yang banyak dan Rasulullah s.a.w. menyuruh mereka mengajarkan ilmu yang telah mereka pelajari itu kepada keluarga mereka. Mereka juga disuruh mengerjakan sembahyang sebagaimana mereka melihat Nabi sembahyang dan apabila masuk waktu sembahyang hendaklah dilaungkan azan dan didirikan sembahyang dengan berjamaah dengan diimamkan oleh orang yang paling tua dari kalangan mereka.. (Sahih al-Bukhari, al-Adhan).

Rasulullah s.a.w. menyuruh para sahabat-sahabat supaya mereka meminta membaca al-Quran untuk mereka dari empat orang. Tiga daripadanya adalah orang muda, iaitu Abdullah bin Mas`ud, Salim dan Mu`adh bin Jabal. (Sahih al-Bukahri, Fada’il al-Sahabah) Ini menunjukkan orang muda di zaman Rasulullah adalah amat rajin belajar dan mereka menjadi contoh di dalam bacaan al-Quran. Rasulullah s.a.w. juga ada menyatakan orang yang paling alim mengenai halal dan haram adalah Mu`adh bin Jabal dan yang paling alim tentang ilmu faraid ialah Zayd bin Thabit (Sunan al-Tirmidhi, al-Manaqib) Kedua-dua orang ini adalah orang muda.

Mu`adh bin Jabal juga telah diberi kepercayaaan oleh  Rasulullah untuk menyebarkan ilmu ke negeri Yaman, dan melaksanakan hukum-hukum Islam di sana,. Apabila Baginda bertanya kepadanya, dengan apa engkau akan melaksanakan hukuman? Jawabnya, dengan kitab Allah. Baginda bertanya lagi, jika engkau tidak mendapatinya di dalam kitab Allah? Jawabnya, dengan hadith Rasulullah. Baginda bertanya lagi, jika engkau tidak mendapatinya dalam hadith Rasulullah? Jawabnya, aku berijtihad. Rasulullah s.a.w. pun mengucap al-hamd li Allah yang telah memberi taufiq kepada Muadh yang merupakan utusan dari Rasulullah (Sunan Abi Dawud, al-aqdiyah)

Mua`dh,  Zayd bin Thabit, Abdullah bin Ms`ud  adalah merupakan pemuda yang sentiasa berdamping dengan Rasullah dan banyak mendapat ilmu dari Baginda. Rasulullah s.a.w. telah memberi kepercayaan kepada Muadh untuk mengajarkan ilmu dan menjadikannya sebagai hakim/qadi. Ini menunjukkan untuk menjadi guru, pendakwah, pegawai tadbir dan hakim tidak semestinya orang tua tetapi orang muda juga adalah boleh, yang penting ialah kebolehan mereka. Jika mempunyai kebolehan seseorang itu boleh dilantik dalam apajua jawatan walaupun dia masih muda
                                               
* Berjihad pada jalan Allah
Sebagaimana yang telah diperkatakan, pemuda di zaman Rasulullah s.a.w. mereka sebagai seorang mukmin yang sentiasa berdamping dengan Rasulullah s.a.w., berilmu, dan berakhlak mulia. Mereka bersama-sama Rasulullah s.a.w. menyebarkan agama Allah dan berjihad pada jalan Allah. Abdullah bin Mas`ud menjelaskan kita orang muda pergi berjihad bersama-sama Rasulullah s.a.w. (Sahaih al-Bukhari, al-Nikah) Saydina Ali seorang yang muda dipilih oleh Rasulullah s.a.w. untuk menjadi ketua menyerang penduduk khybar dan akhirnya telah mendapat kejayaan besar. (Sahih al-Bukhari, al-Jihad) Saydina Ali dilantik  menjadi pemuka, sedangkan di sana terdapat orang-orang yang lebih tua darinya seperti Saydina Umar dan lain-lain menunjukkan pentingnya orang muda di dalam mengetuai serangan yang hebat. Rasulullah juga ada melantik pemuda untuk mengetuai peperangan, iaitu Usamah bin Zaid sehingga ada orang yang mengkeritik Baginda di atas perlantikkan itu (Sahih al-Bukhari, al-Maghazi). Ini semua menunjukkan betapa pentingnya orang muda di dalam menegak dan menyebarkan agama Allah. 


Harapan kepada pemuda masa kini

Sebelum Rasulullah wafat Islam telah berkembang luas. Orang Islam dipandang mulia, tinggi, dihormati dan disegani. Yang menjadi tulang belakang di dalam kejayaan ini ialah  para pemudanya. Oleh kerana itu, wahai para pemuda! Contohilah pemuda di zaman Rasulullah s.a.w. Dalamilah ilmu pengetahuan kamu seberapa yang boleh. Ilmu agama jangan sekali-kali dibelakangkan. Jadikanlah masjid/surau sebagai tempat yang kamu selalu berada padanya. Imarahkan masjid/surau dengan menghadiri sembahyang berjama`ah, kelas-kelas agama yang diadakan padanya. Dampingilah alim ulama yang ikhlas untuk mendapat tunjuk ajar dari mereka. Penuhkanlah masamu dengan perkara-perkara yang meberi manfa`at di duniamu dan akhiratmu. Kamu adalah harapan agama, bangsa dan negara. Kamulah yang akan menjadi pemimpin masa depan.

Kepada para bapa, ibu dan seterusnya mereka yang bertanggungjawab! Didiklah anak-anak kita dengan sebaik-baiknya. Berilah kepada mereka ilmu pengetahuan dengan seluas-luasnya. Ilmu agama jangan sampai ditinggalkan. Galakkan anak-anak kita pergi ke masjid/surau menunaikan sembahyang berjama`ah dan mendengar ilmu agama yang diajarkan di sana, dan sama-samalah kita untuk menjadikan diri kita sebagai contoh tauladan yang baik bagi mereka .   


Udah bin Mohsin
Masjid al-Istiqamah
Sungai Merab Luar.