Sujud Tilawah dan Sujud Syukur

Dr. Udah bin Mohsin


بسم الله الرحمن الرحيم ، الحمد لله رب العالمين، والصلاة والسلام على أشرف المرسلين، سيدنا محمد وعلى آله وأصحابه أجمعين.
                       Sujud Tilawah

Kita selalu membaca al-Quran, samaada dalam sembahyang atau di luar sembahyang. Sebaik-baiknya apabila kita membaca ayat-ayat  sjdah iaitu ayat-ayat  yang kita dituntut untuk bersujud, kita  sujud. Sujud ini adalah sujud tilawah. Di sini saya perkatakan mengenai Sujud Tilawah ini menurut ulama-ulama mazhab al-Shafi`i. Rujukan dalam tulisan ini selain dari kitab-kitab hadith ialah kitab fekeh yang ditulis oleh al-Imam al-Nawawi, bernama al-Majmu`. Selain dari Sujud Tilawah saya juga memperkatakan mengenai Sujud Syukur, juga menurut ulama-ulama mazhab al-Shafi`i. Rujukannya sama dengan rujukan yang disebutkan di atas.

Pensyariatan
Dalil bagi persyariatan sujud tilawah di antaranya ialah hadith yang diriwayatkan daripada Ibn Umar katanya:

كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقْرَأُ عَلَيْنَا السُّورَةَ فِيهَا السَّجْدَةُ فَيَسْجُدُ وَنَسْجُدُ حَتَّى مَا يَجِدُ أَحَدُنَا مَوْضِعَ جَبْهَتِهِ
صحيح البخاري، سجود الفرآن))
Bermaksud: Adalah Nabi s.a.w. membaca surah al-Quran kepada kita, di dalamnya terdapat ayat sajdah (sujud) maka Baginda sujud,  kita pun sujud, sehingga sebahagian daripada kami  tidak dapat tempat letak dahinya.
Yang lain pula ialah:
عَنْ رَبِيعَةَ بْنِ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ الْهُدَيْرِ التَّيْمِيِّ مِنْ عُمَرَ بْنِ الْخَطَّابِ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ
قَرَأَ يَوْمَ الْجُمُعَةِ عَلَى الْمِنْبَرِ بِسُورَةِ النَّحْلِ حَتَّى إِذَا جَاءَ السَّجْدَةَ نَزَلَ فَسَجَدَ وَسَجَدَ النَّاسُ حَتَّى إِذَا كَانَتْ الْجُمُعَةُ الْقَابِلَةُ قَرَأَ بِهَا حَتَّى إِذَا جَاءَ السَّجْدَةَ قَالَ يَا أَيُّهَا النَّاسُ إِنَّا نَمُرُّ بِالسُّجُودِ فَمَنْ سَجَدَ فَقَدْ أَصَابَ وَمَنْ لَمْ يَسْجُدْ فَلَا إِثْمَ عَلَيْهِ وَلَمْ يَسْجُدْ عُمَرُ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ
وَزَادَ نَافِعٌ عَنْ ابْنِ عُمَرَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا إِنَّ اللَّهَ لَمْ يَفْرِضْ السُّجُودَ إِلَّا أَنْ نَشَاءَ
صحيح البخاري، سجود لقرآن))

Bermaksud: Daripada Rabi`ah bin Abdullah bin al-Hudayr al-Taymi daripada Umar bin al-Khattab r. a. ` Umar bin al-Khattab membaca Surah al-Nahl pada hari Jumaat sehingga apabila sampai ayat sajdah beliau turun dan sujud, maka orang ramai sujud, sehingga apabila sampai Jumaat yang akan datang Umar membaca surah tersebut sehingga apabila sampai ayat sajdah maka Umar berkata: Wahai orang ramai! Bahawasanya kita melalui (membaca) ayat sujud maka sesiapa yang sujud maka dia benar, dan sesiapa yang tidak sujud maka dia tidak berdosa, dan Umar r.a.` tidak sujud.  Nafi` menambah daripada Ibn Umar r.a.`. bahawasanya Allah tidak memfardukan sujud kecuali jika kita mahu.
Dari nas-nas di atas menunjukkan kepada pensyariatan sujud tilawah, tetapi ianya tidak wajib, bahkan sunat.

Hukum sujud tilawah
Sujud tilawah adalah sunat, sama ada kepada orang yang membaca ayat yang mengandungi sujud tilawah, atau orang yang mendengar perkara tersebut, dan samaada di dalam sembahyang atau di luar sembahyang. ( al-Nawawi t.t. 3: 509)
Sujud tilawah hukumnya sunat, tidaK wajib adalah menurut ulamak-ulamak mazhab  al-shafi`i dan kebanyakan ulamak yang lain. Di antara yang berpendapat demikian ialah Saydina Umar bin al-Khattab, Salman al-Farisi, Ibn Abbas, `Imran bin al-Husayn, al-Imam Malik, al-Ayza`i, Ahmad, Ishaq, Abu Thawr dan lain-lain. ( al-Nawawi t.t. 3: 513)
Ada juga ulamak yang mengatakan wajib, tetapi pendapat ini ditolak, kerana Rasulullah s. a. w. ada dibacakan kepadanya ayat yang ada sujud al-tilawah/ al-sajdah, tetapi Baginda tidak sujud.
عَنْ زَيْدِ بْنِ ثَابِتٍ قَالَ
قَرَأْتُ عَلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَالنَّجْمِ فَلَمْ يَسْجُدْ فِيهَا
صحيح البخاري، سجود القرآن))

Bermaksud:  Daripada Zayd bib Thabit katanya: Aku membaca kepada Nabi s. a. w. Surah  Wa al-Najm tetapi Baginda tidak sujud padanya.
Apabila terdapat nas- nas yang menunjukkan Rasulullah s. a. w. sujud,     tetapi ada nas yang menunjukkan Rasululullah tidak sujud, maka itu menunjukkan perbuatan itu tidak wajib, bahkan sunat sahaja.



Sujud tilawah dalam sembahyang berjemaah
Menurut ulamak-ulamak dalam mazhab al-shafi`i adalah tidak makruh membaca ayat al-sajdah di dalam sembahyang,  samada sembahyang yang dinyaringkan suara atau tidak. Apabila imam sujud makmum hendaklah sujud bersamanya, jika makmum tidak sujud batal sembahyangnya. Jika imam tidak sujud makmum juga di larang sujud, jika makmum menyalahi imam dengan melakukan sujud batal sembahyangnya. ( al-Nawawi t.t. 3: 509-510)

Syarat  sujud tilawah
Menurut ulamak-ulamak mazhab al-shafi`i syarat untuk sujud tilawah sama dengan sembahyang  sunat. Ia memerlukan  kepada suci dari hadas, suci dari najis pada badan, pakaian dan tempat, menghadap kiblat dan masuk waktu sujud, iaitu telah membaca ayat yang berkaitan dengan sujud tilawah. . ( al-Nawawi t.t. 3: 515-516)


Cara hendak melakukan sujud tilawah
a.     Dalam sembahyang
Menurut ulamak-ulamak mazhab al-Shafi`i: Sujud tilawah dalam sembahyang tidak memerlukan kepada takbir pembukaan kerana pelakunya sedang melakukan sembahyang, tetapi sunat baginya takbir ketika turun untuk sujud dengan tidak mengangkat tangan.  Dia juga sunat bertakbir ketika mengangkat kepalanya bangun dari sujud, dan tidak ada duduk istrahah selepas sujud. Setelah berdiri tegak baharulah rukuk jika dia telah membaca al-fatihah, dan yang mustahabb dia hendaklah membaca beberapa ayat sebelum rukuk.  ( al-Nawawi t.t. 3: 516)
b.     Di luar sembahyang
Jika sujud tilawah itu dilakukan di luar sembahyang hendaklah pelakunya itu berniat, dan mengangkat tangan untuk takbir al-ihram, sama caranya dengan takbirah al-ihram untuk sembahyang, selepas itu sunat takbir sekali lagi tanpa mengangkat tangan dan terus turun sujud, iaiatu sujud al-tilawah, kemudian duduk iaitu duduk selepas sujud dengan sempurna, kemudian memberi salam. Adalah tidak dituntut berdiri ketika takbirah al-ihram bagi sujud al-tilawah menurut pendapat yang asahh ( al-Nawawi t.t. 3: 518-519)

Kaifiat sujud al-tilawah
Kaifiyat atau cara sujud al-tilawah adalah sama dengan sujud dalam sembahyang dari segi membuka dan meletakkan dahi ke tempat sujud, meletakkan dua tangan, dua lutut, dua tapak kaki, hidung, mengangkat dua siku dari dua lambungan, menjarakkan perut dari dua peha, meninggikan bahagian sebelah bawah perut dari bahagian atas, menghadapkan jari-jari kaki ke kiblat dan lain-lain. ( al-Nawawi t.t. 3: 518) Perkara-perkara  di atas merangkumi syarat-syarat sujud dan sunat-sunat  sujud.  Rasulullah s.a.w. menjelaskan mengenai anggota sujud sebagaimana yang diriwayatkan oleh Ibn Abbas:
 عَنْ ابْنِ عَبَّاسٍ
أُمِرَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنْ يَسْجُدَ عَلَى سَبْعَةِ أَعْضَاءٍ وَلَا يَكُفَّ شَعَرًا وَلَا ثَوْبًا الْجَبْهَةِ وَالْيَدَيْنِ وَالرُّكْبَتَيْنِ وَالرِّجْلَيْنِ
(صحيح البخاري، الأذان)
Bermaksud: Daripada Ibn `Abbas r.a.`. Nabi s.a.w. diperintahkan untuk sujud di atas tujuh anggota dan tidak menghimpunkan rambut dan pakaian, (tujuh anggota itu ialah) dahi, dua tangan, dua lutut dan dua kaki. Dahi merangkumi hidung.

عَنْ الْعَبَّاسِ بْنِ عَبْدِ الْمُطَّلِبِ
أَنَّهُ سَمِعَ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ إِذَا سَجَدَ الْعَبْدُ سَجَدَ مَعَهُ سَبْعَةُ آرَابٍ وَجْهُهُ وَكَفَّاهُ وَرُكْبَتَاهُ وَقَدْمَاهُ
قَالَ وَفِي الْبَاب عَنْ ابْنِ عَبَّاسٍ وَأَبِي هُرَيْرَةَ وَجَابِرٍ وَأَبِي سَعِيدٍ قَالَ أَبُو عِيسَى حَدِيثُ الْعَبَّاسِ حَدِيثٌ حَسَنٌ صَحِيحٌ وَعَلَيْهِ الْعَمَلُ عِنْدَ أَهْلِ الْعِلْمِ
سنن الترمذى، الصلاة))
Bermaksud: Daripada al-`Abbas bin `Abd al-Muttalib, bahawasanya dia
mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda: Apabila seseorang hamba itu sujud, sujud bersamanya tujuh anggota, mukanya, dua tapak tangannya, dua lututnya dan dua tapak kakinya.

Bacaan dalam sujud tilawah
Menurut ulamak-ulamak mazhab al-Shafi`i adalaha mustahabb bagi orang yang melakukan sujud al-tilawah membaca di dalam sujudnya:
سَجَدَ وَجْهِي لِلَّذِي خَلَقَهُ وَشَقَّ سَمْعَهُ وَبَصَرَهُ بِحَوْلِهِ وَقُوَّتِهِ

قَالَ أَبُو عِيسَى هَذَا حَدِيثٌ حَسَنٌ صَحِيحٌ
 (سنن الترمذى، الصلاة)                                                                                              
Dan juga:
اللَّهُمَّ اكْتُبْ لِي بِهَا عِنْدَكَ أَجْرًا وَضَعْ عَنِّي بِهَا وِزْرًا وَاجْعَلْهَا لِي عِنْدَكَ ذُخْرًا وَتَقَبَّلْهَا مِنِّي كَمَا تَقَبَّلْتَهَا مِنْ عَبْدِكَ دَاوُدَ
سنن الترمذى، الدعوات))
Bacaan ini adalah warid daripada Rasulullah s.a.w. Dan jika dia membaca bacaan sujud dalam sembahyang adalah harus (boleh). Manakala al-Imam al-shafi`I memilih di dalam bacaan sujud al-tilawah:
{سُبْحَانَ رَبِّنَا إِنْ كَانَ وَعْدُ رَبِّنَا لَمَفْعُولًا } [الإسراء : 108]
Menurut al-Imam al-Nawawi, zahir al-Quran memuji bacaan ini, oleh itu bacaan ini adalah baik. ( al-Nawawi t.t. 3: 518)
Pada pandangan penulis, bacalah apa yang mudah bagi kita, dan yang sebaik-baiknya apa yang warid dari Rasulullah s.a.w.


                                              Sujud Syukur


Pensyari`atan
Di antara nas-nas yang menunjukkan kepada pensyaratan sujud syukur ialah apa yang diriwayatkan daripda Abu Bakrah:
عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنَّهُ كَانَ إِذَا جَاءَهُ أَمْرُ سُرُورٍ أَوْ بُشِّرَ بِهِ خَرَّ سَاجِدًا شَاكِرًا لِلَّهِ
سنن أبى داود، الجهاد))
Bermaksud: Daripada Nabi s.a.w. , bahawasanya Baginda apabila datang kepadanya perkara gembira atau Baginda digembirakan Baginda tunduk bersujud, bersyukur  kepada Allah.
Hadith yang lain ialah:
عَنْ عَامِرِ بْنِ سَعْدٍ عَنْ أَبِيهِ قَالَ
خَرَجْنَا مَعَ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مِنْ مَكَّةَ نُرِيدُ الْمَدِينَةَ فَلَمَّا كُنَّا قَرِيبًا مِنْ عَزْوَرَا نَزَلَ ثُمَّ رَفَعَ يَدَيْهِ فَدَعَا اللَّهَ سَاعَةً ثُمَّ خَرَّ سَاجِدًا فَمَكَثَ طَوِيلًا ثُمَّ قَامَ فَرَفَعَ يَدَيْهِ فَدَعَا اللَّهَ سَاعَةً ثُمَّ خَرَّ سَاجِدًا فَمَكَثَ طَوِيلًا ثُمَّ قَامَ فَرَفَعَ يَدَيْهِ سَاعَةً ثُمَّ خَرَّ سَاجِدًا ذَكَرَهُ أَحْمَدُ ثَلَاثًا قَالَ إِنِّي سَأَلْتُ رَبِّي وَشَفَعْتُ لِأُمَّتِي فَأَعْطَانِي ثُلُثَ أُمَّتِي فَخَرَرْتُ سَاجِدًا شُكْرًا لِرَبِّي ثُمَّ رَفَعْتُ رَأْسِي فَسَأَلْتُ رَبِّي لِأُمَّتِي فَأَعْطَانِي ثُلُثَ أُمَّتِي فَخَرَرْتُ سَاجِدًا لِرَبِّي شُكْرًا ثُمَّ رَفَعْتُ رَأْسِي فَسَأَلْتُ رَبِّي لِأُمَّتِي فَأَعْطَانِي الثُّلُثَ الْآخِرَ فَخَرَرْتُ سَاجِدًا لِرَبِّي
سنن أبى داود، الجهاد))

Bermaksud: Daripada `Amir bin sa`d daripada bapanya, katanya: Kami keluar bersama-sama Rasulullah s.a.w. dari Makkah,  kami hendak menuju ke al-Madinah, apabila kami hampir dengan `Azwara (nama tempat) Baginda turun mengangkat kedua-dua tangannya, dan berdoa kepada Allah seketika, kemudian tunduk bersujud dengan lama, kemudian Baginda bangkit dan mengangkat kedua-dua tangannya dan berdoa kepada Allah seketika, kemudian tunduk, bersujud dengan lama, kemudian bangkit dan mengangkat kedua-dua tangannya seketika, kemudian tunduk bersujud. Ahmad (perawi) menyebutnya tiga kali. Nabi bersabda: Aku bermohon kepada Tuhanku untuk  aku memberi syafaat kepada umatku lalu Allah memberikan kepada aku 1/3,  maka aku sujud bersyukur kepada Tuhanku, kemudian aku mengangkat kepalaku  lalu aku bermohon kepada Tuhanku untuk umatku dan Allah memberikan kepada aku 1/3 umatku, maka aku tunduk bersujud kepada Tuhanku kerana bersyukur, kemudian aku angkat kepalaku lalu aku bermohon kepada Tuhanku untuk umatku dan Allah memberikan kepada aku 1/3 lagi, maka aku tunduk bersujud kepada Tuhanku.
Kata al-Imam al-Nawawi hadith ini diriwayatkan oleh Abu Daud dan kami tidak mengetahui kedaifan seseorang dari perawi-perawinya, dan Abu Daud tidak mendaifkannya. Yang tidak didaifkan oleh Abu daud ia adalah hasan menurutnya.
( al-Nawawi t.t. 3: 523)
Kata al-Imam al-Nawawi lagi: Bahawa sujud syukur ini ada dilakukan oleh Saydina Abu Bakr, umar, Ali, Ka`b bin malik dan lain-lain. . ( al-Nawawi t.t. 3: 523)
Jika dikatakan: Di dalam setengah keadaan Rasulullah s.a.w. tidak melakukan sujud syukur maka ini menunjukkan bahawa sujud syukur itu tidak dituntut. Jawabnya ialah, ini menunjukkan bahawa sujud syukur itu tidak wajib, ia boleh ditinggalkan, atau Baginda berada di atas minbar maka sujud ketika itu menyusahkan.

Hukum sujud syukur
Menurut al-Imam al-Shafi`I dan ulamak-ulamak dalam mazhab al-shafi`I, bahawa sujud syukur itu adalah  sunat ketika seseorang itu mendapat nikmat yang agong, atau hilang darinya bencana yang menimpanya. . ( al-Nawawi t.t. 3: 522-523)


Syarat sujud syukur
Menurut ulamak-ulamak mazhab al-Shafi`i, sujud syukur memerlukan kepada syarat-syarat sembahyang.  ( al-Nawawi t.t. 3: 524).  Ia memerlukan  kepada suci dari hadas, suci dari najis pada badan, pakaian dan tempat dan mengadap  menghadap kiblat. 



Cara melakukan sujud syukur
Cara melaksanakan sujud syukur sama seperti melakukan sujud tilawah di luar sembahyang. ( al-Nawawi t.t. 3: 524). Iaitu pelakunya itu berniat, dan mengangkat tangan untuk takbir al-ihram, sama caranya dengan takbirah al-ihram untuk sembahyang, selepas itu sunat takbir sekali lagi tanpa mengangkat tangan dan terus turun sujud, iaitu sujud syukur, kemudian duduk iaitu duduk selepas sujud dengan sempurna, kemudian memberi salam. Adalah tidak dituntut berdiri ketika takbirah al-ihram bagi sujud syukur menurut pendapat yang asahh  Lihat cara sujud tilawah di luar sembahyang yang telah dijelaskan sebelum ini.

Bacaan sujud syukur
Apa yang difahamkan dari kata al-Imam al-Nawawi di dalam al-Majmu` menunjukkan bahawa bacaan sujud syukur adalah sama dengan bacaan sujud tilawah di luar sembahyang. . ( al-Nawawi t.t. 3: 524). Bacaan sujud tilawah di dalam sembahyang atau di luar sambahyang adalah sama. Bacaannya telah diperkatakan sebelum ini semasa memperkatakan mengenai sujud tilawah.

وصلى الله على سيدنا محمد وعلى آله وأصحابه أجمعين ، و الحمد لله رب العالمين.  
.