Hadith Pentafsir Al-Quran

Hadith  Sebagai Pentafsir al-Quran Adalah Perintah Allah S.W.T. Melalui al-Quran
Oleh Dr. Udah bin Mohsin.

Penjelasan mengenai tajuk
Maksud Hadith ialah sesuatu yang disandarkan kepada Rasulullah s.a.w. samaada perkataan, perbuatan atau persetujuan (iqrar). Dengan lain perkataan Hadith ialah perkataan, perbuataan dan persetujuan Rasulullah s.a.w..Hadith juga di sini sama maksud dengan Sunnah.
Maksud tafsir di sini ialah penjelasaan, penerangan atau yang seumpamanya
Maksud Al-Quran ialah kalam Allah yang diturunkan  ke atas Rasulullah, Muhammad s.a.w. yang ditulis dalam mushaf di mulai dari Surah al-Fatihah dan di akhiri dengan Surah al-Nas.
Perbahasan mengenai tajuk
Jika ada orang mengatakan bahawa Hadith Rasulullah s.a.w. tidak boleh mentafsirkan al-Quran, al-Quran hanya ditafsirkan oleh al-Quran itu sendiri maka pendapat ini adalah salah, wajib ditolak, kerana pendapat ini sebenarnya  bertentangan dengan ayat-ayat al-Quran itu sendiri.
Di antara ayat-ayat al-Quran mengenai Hadith adalah sebagai pentafsir kepada al-Quran:

Pertama
Perintah Allah supaya beriman kepada Rasulullah s.a.w.
Di antara ayat-ayat al-Quran mengenainya:
Firman Allah:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا آمِنُوا بِاللَّهِ وَرَسُولِهِ وَالْكِتَابِ الَّذِي نَزَّلَ عَلَى رَسُولِهِ وَالْكِتَابِ الَّذِي أَنْزَلَ مِنْ قَبْلُ وَمَنْ يَكْفُرْ بِاللَّهِ وَمَلَائِكَتِهِ وَكُتُبِهِ وَرُسُلِهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ فَقَدْ ضَلَّ ضَلَالًا بَعِيدًا  [النساء : 136
(Surah al-Nisa, 4: 136.).
Bermaksud: Wahai mereka yang beriman! Hendaklah kamu beriman kepada Allah, Rasul-Nya dan kitab yang diturunkan ke atas Rasul-Nya, dan kitab yang diturunkan sebelumnya. Sesiapa yang kufur kepda Allah s.a.w. malaikat-malaikat-Nya, kitab-kitab-Nya, rasul-rasul-Nya dan Hari Akhirat maka dia telah sesat yang amat jauh.
Ayat al-Quran di atas antara lain memerintahkan orang yang beriman supaya beriman kepada Rasulullah iaitu Muhammad s.a.w.
Beriman kepada Rasulullah s.a.w.bererti percaya dengan penuh keyakinan kepada Rasulullah s.a.w.. Ini bererti apa yang dibawa oleh Baginda diterima dengan penuh keyakinan dan berpegang teguh dengannya, samaada yang dibawa itu al-Quran atau penjelasan dan penerangnya kepada al-Quran. Penjelasan dan penerangan Baginda tentang al-Quran itu adalah termasuk dalam takrif Hadith atau Sunnah. Oleh itu adakah dikira seseorang itu beriman kepada Baginda jika penjelasan dan penerangan Baginda mengenai  al-Quran ditolak dan diingkari? Orang yang begitu sifatnya jelas dia tidak percaya kepada Baginda s.a.w. Orang yang tidak percaya kepada Rasulullah s.a.w. bererti dia tidak beriman kepada Baginda s.a.w. Dengan ini orang yang menolak Hadith sebagai pentafsir kepada al-Quran dia adalah tidak beriman kepada Rasulullah s.a.w..Orang yang tidak beriman kepada Rasulullah s.a.w. dia adalah tidak beriman kepada al-Quran kerana al-Quran itu adalah disampaikan oleh Baginda s.a.w. Oleh itu dengan perintah Allah melalui al-Quran bahawa Hadith adalah pentafsir kepada al-Quran.

Kedua
Ayat-ayat al-Quran mengenai tugas Rasulullah s.a.w.
Di antara tugas Rasulullah s.a.w.:
Firman Allah:
وَأَنْزَلْنَا إِلَيْكَ الذِّكْرَ لِتُبَيِّنَ لِلنَّاسِ مَا نُزِّلَ إِلَيْهِمْ وَلَعَلَّهُمْ يَتَفَكَّرُونَ  [النحل : 44]

 (Surah al-Nahl, 16: 44.).
Bermaksud “Dan Kami turunkan kepada engkau al-zikr (al-Quran) supaya engkau terangkan  kepada manusia apa yang diturunkan kepada mereka dan supaya mereka memikirkannya.
Perkataan:لِتُبَيِّنَ  yang bermaksud: Supaya engkau Menerangkan. Menerangkan itu merangkumi menjelaskan atau yang seumpamanya.  Ayat ini menunjukkan bahawa peranan Rasulullah s.a.w. adalah untuk mejelaskan atau menerangkan kepada manusia apa yang diturunkan kepada mereka. Mejelas atau menerangkan itu adalah bermakna mentafsirkan. Yang diturunkan oleh Allah kepada manusia  ialah al-Quran. Dengan ini adalah kewajipan Rasulullah s.a.w. dengan perintah daripada Allah s.a.w. untuk mentafsirkan al-Quran kepada manusia. Pentafsiran daripada Rasulullah s.a.w. ini  adalah termasuk dalam takrif Hadith atau Sunnah, kerana yang datang daripada Rasulullah s.a.w. yang lain daripada al-Quran adalah Hadith atau Sunnah. Dengan ini melalui perintah Allah s.w.t. bahawa Hadith itu adalah sebagai pentafsir kepada al-Quran.
Jika Allah sendiri, melalui ayat  al-Quran yang telah disebutkan di atas memerintahkan Rasul-Nya supaya mentafsirkan al-Quran, maka adakah boleh bagi seseorang Muslim menolak tafsiran tersebut,  kemudian cuba untuk mentafsirkan al-Quran menurut pendapatnya sendiri, dan menolak pentafsiran daripada Rasulullah? Tidakkah ini bererti dia telah menolak ayat al-Quran tersebut? Orang yang menolak ayat al-Quran bererti dia tidak beriman dengan al-Quran. Kerana perintah beriman dengan al-Quran adalah kepada keseluruhan al-Quran, bukan sebahagian-sebahagian sahaja.
Firman-Nya lagi:
وَأَطِيعُوا اللَّهَ وَأَطِيعُوا الرَّسُولَ وَاحْذَرُوا فَإِنْ تَوَلَّيْتُمْ فَاعْلَمُوا أَنَّمَا عَلَى رَسُولِنَا الْبَلَاغُ الْمُبِينُ [المائدة : 92

 (Surah al-Maidah, 5: 92.).
Bermaksud:Dan hendaklah kamu taat kepada Allah dan hendaklah kamu taat kepada Rasulullah, dan awaslah! (jangan sampai menyalahi perintah Allah dan Rasul). Jika kamu berpaling (engan menurut yang diperintahkan) maka ketahuilah bahawasanya tanggungjawab Rasul kami ialah menyampaikan dengan sejelas-jelasnya.
Di antara kandungan ayat di atas ialah tugas Rasulullah s.a.w. adalah menyampaikan dengan sejelas-jelasnya. Menyampaikan dengan sejelas-jelasnya iaitu  الْبَلَاغُ الْمُبِينُ tidak hanya semata-mata menyampaikan sahaja tetapi memerlukan kepada penjelasan, penerangan atau yang seumpamanya daripada Rasulullah s.a.w., yang ini semua termasuk dalam takrif Hadith atau Sunnah.
Tugas Rasulullah s.a.w. disamping menyampaikan al-Quran seperti firman Allah:
مَا عَلَى الرَّسُولِ إِلَّا الْبَلَاغُ } [المائدة : 99]
 (Surah al-Maidah, 5: 99.).
Bermaksud: Tiada kewajipan yang ditugaskan ke atas Rasulullah kecuali menyampaikan,  Rasullah juga diperintahkan untuk mentafsirkannya iaitu menerangkan dan menjelaskan sejelas-jelasnya kepada manusia.
Dari keterangan-keterangan  di atas jelas bahawa Hadith sebagai pentafsir al-Quran adalah dengan perintah daripada Allah melalui al-Quran.

Ketiga
Perintah Allah s.w.t. supaya mengambil apa yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w. dan menjauhi apa yang ditegah.
Di antaranya:
Firman Allah:
وَمَا آتَاكُمُ الرَّسُولُ فَخُذُوهُ وَمَا نَهَاكُمْ عَنْهُ فَانْتَهُوا وَاتَّقُوا اللَّهَ إِنَّ اللَّهَ شَدِيدُ الْعِقَابِ  [الحشر : 7 ،
 (Surah al-Hashr, 59: 7)
Bermaksud: “Dan apa yang didatang kepada kamu oleh Rasulullah hendaklah kamu ambil, dan apa yang Baginda tegah kepada kamu hendaklah kamu jauhi, dan hendaklah kamu bertakwa kepada Allah, Bahawasanya Allah adalah amat dahsat seksa-Nya.”.
Apa yang didatangkan oleh  Rasulullah s.a.w. itu adalah umum merangkumi penerangan, penjelasan atau yang seumpamanya terhadapap al-Quran. Pentafsiran daripada Rasulullah s.a.w. tersebut adalah termasuk dalam ketogeri Hadith atau Sunnah.
Dengan ini menurut perintah Allah s.a.t. dalam al-Quran hendaklah orang yang bertakwa menjadikan Hadith sebagi tafsir kepada al-Quran. Orang yang mengingkarinya bererti dia tidak mengikut perintah Allah. Allah telah memberi amaran kepada orang ini di akhir ayat dengan firman-Nya: وَاتَّقُوااللَّهَ إِنَّ اللَّهَ شَدِيدُ الْعِقَابِ :dan hendaklah kamu bertakwa kepada Allah, Bahawasanya Allah adalah amat dahsat seksa-Nya.
Orang yang tidak mengikut perintah Allah ini akan diseksa dengan sangat dahsat.
Dari keterangan di atas adalah menjadi kewajipan  kepada orang yang bertakwa kepada Allah s.w.t. untuk menjadikan Hadith sebagi pentafrsir al-Quran.

Keempat
Perintah Allah supaya menta`ati Rasulullah s.a.w. dan di larang derhaka kepada Baginda.
Mengenai perkara ini antaranya:
Firman Allah:
{ يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا أَطِيعُوا اللَّهَ وَرَسُولَهُ وَلَا تَوَلَّوْا عَنْهُ وَأَنْتُمْ تَسْمَعُونَ  [الأنفال : 20]
 (Surah al-anfal, 8: 20.).
Bermaksud: Wahai mereka yang beriman! Hendaklah kamu taat kepada Allah dan Rasul-Nya dan jangan berpaling darinya sedangkan kamu mendengar.
Dari ayat di atas, Allah memerintahkan orang yang beriman supaya taat kepada Allah dan Rasul-Nya, dua-dua sekali. Maksud Rasul di sini ialah Nabi Muhammad s.a.w. Ketaatan kepada Rasulullah s.a.w. iatu adalah umum merangkumi berpegang dengan  penjelasan dan penerangannya terhadap al-Quran. Tafsiranan Rasulullah terhadap al-Quran ini adalah termasuk dalam takrif Hadith atau Sunnah. Dengan ini orang yang tidak berpegang dengan Hadith sebagai pentafsir kepada al-Quran  dia adalah tidak mentati Allah. Tidak mentaati Alllah bererti derhaka kepada Allah.
Firman-Nya lagi:
مَنْ يُطِعِ الرَّسُولَ فَقَدْ أَطَاعَ اللَّهَ } [النساء : 80]
(Surah al-Nisa’, 4: 80.).
Bermaksud: Sesiapa yang mentaati Rasulullah maka sesungguhnya dia mentaati Allah.
Ayat di atas menjelaskan sesiapa yang mentaati Rasullulah s.a.w. dia adalah mentaati Allah s.w.t. Ini bererti sesiapa yang derhaka kepada Rasulullah s.a.w.maka dia adalah derhaka kepada Allah s.w.t. Tidak berpegang dengan tafsiran Rasulullh s.a.w. terhadap al-Quran dia adalah derhaka kepada Rasulullah, dan sesiapa yang derhaka kepada Rasulullah dia adalah derhaka kepada Allah. Dengan ini orang yang tidak berpegang dengan tafsiran Rasulullh s.a.w. terhadap al-Quran dia   adalah derhaka kepada Allah s.w.t. Tafsiran Rasulullah itu adalah termasuk dalam takrif hadith.

Kelima
Perintah Allah supaya mengikut Rasulullah s.a.w.
Di antanya:
Firman Allah:

فَآمِنُوا بِاللَّهِ وَرَسُولِهِ النَّبِيِّ الْأُمِّيِّ الَّذِي يُؤْمِنُ بِاللَّهِ وَكَلِمَاتِهِ وَاتَّبِعُوهُ لَعَلَّكُمْ تَهْتَدُونَ [الأعراف : 158 ،
 (Surah al-A`raf, 7: 158.).
Bermaksud: Maka hendaklah kamu beriman kepada Allah dan Rasul-Nya, Nabi yang ummi, yang beriman kepada Allah dan kalimah-kalimah-Nya,dan hendaklah kamu mengikutnya mudah mudahan kamu mendapat pertunjuk.
Dalam ayat di atas manusia diperintahkan supaya beriman kepada Allah dan Rasul-Nya dan mengikut Rasulullah s.a.w..Mengikut Rasulullah termasuk yang paling penting nya ialah mengikut ajarannya. Ajaran Rasulullah s.a.w. itu termasuklah, yang paling pentingnya ialah penjelasan dan penerangan Baginda mengenai al-Quran atau yang disebut sebagai tafsir. Tidak Berpegang dengan tafsiran Baginda mengenai al-Quran adalah tidak mengikut Baginda. Tidak mengikut Baginda adalah ingkar perintah Allah s.w.t. Dengan ini orang yang tidak  berpegang dengan Hadith sebagai pentafsir kepada al-Quran adalah ingkar perintah Allah s.w.t..

Keenam
Orang yang mengikut Rasulullah dia kasih kepada Allah dan  Allah kasih kepadanya.
Firman Allah:
{ قُلْ إِنْ كُنْتُمْ تُحِبُّونَ اللَّهَ فَاتَّبِعُونِي يُحْبِبْكُمُ اللَّهُ وَيَغْفِرْ لَكُمْ ذُنُوبَكُمْ وَاللَّهُ غَفُورٌ رَحِيمٌ  [آل عمران : 31 ،
 (Surah al-Ali `Imran, 3: 31.).
Bermaksud: Katakanlah (wahai Muhammd): Jika kamu cinta kepada Allah maka kamu hendaklah mengikut aku nescaya Allah cinta kepada kamu dan mengampunkan dosa kamu. Dan Allah adalah Maha pengampun lagi Maha mengasihani.
Di antara kandungan ayat di atas menunjukkan bahawa orang yang kasih kepada Allah dia akan mengikut Rasulullah s.a.w. dan dia dicintai oleh Allah s.w.t. Ini menunjukkan orang yang tidak mengikut Rasulullah s.a.w. dia tidak kasih  kepada Allah s.w.t. dan Allah tidak kasih kepadanya. Allah tidak kasih kepadanya bererti Allah benci kepadanya.
Mengikut Rasullah termasuk yang paling pentingnya ialah mengikut ajarannya. Ajaran Rasulullah s.a.w. itu termasuklah yang paling pentingnya ialah penjelasan dan penerangan Baginda mengenai al-Quran atau yang disebut sebagai tafsir sebagaimana yang telah disebutkan sebelum ini.
Dengan ini orang yang menolak Hadith sebagai pentafsir kepada al-Quran dia adalah benci kepada Allah dan Allah benci kepadanya.

Kesimpulan
Dari apa yang telah dibincangkan di atas, terang dan nyata bahawa Hadith  sebagai pentafsir kepada al-Quran adalah perkara yang telah jelas daripada al-Quran, yang tidak boleh diragui. Ia termasuk dalam:
ما علم من الدين بالضرورة    iaitu ajaran  agama yang tidak dapat tidak wajib diketahui. Orang yang menolaknya dia adalah kafir.

Apabila telah sabit bahawa Hadith atau Sunnah itu sebagi pentafsir kepada al-Quran maka dengan sendirinya Hadith atau Sunnah itu adalah merupakan sumber syariah yang tidak boleh diragui lagi. Menolak Hadith sebagai sumber syariah adalah kafir. نعوذ بالله من ذلك