MUNAFIK


Disediakan oleh,
Ustaz Dr. Udah Mohsin

MAKSUD MUNAFIQ DALAM HADITH: TANDA-TANDA MUNAFIQ TIGA, DAN HADITH: EMPAT PERKARA SESIAPA YANG ADA PADANYA DIA ADALAH MUNAFIQ YANG JELAS

Mukadimah
Mungkin ada orang yang memahami maksud munafik dalam Hadith: Tanda orang munafik ada tiga, dan Hadith: Empat perkara sesiapa yang ada baginya, dia adalah munafik yang jelas, bahawa maksud Hadith di atas, sesiapa yang memilki semua ciri-ciri ini dia adalah benar-benar munafik, keluar dari Islam. Fahaman ini adalah salah, bertentangan dengan beberapa Hadith yang lain dan bertentangan dengan apa yang difahami oleh ulamak-ulamak yang muhaqqiqun.
Untuk mengetahui Hadith-Hadith tersebut dan pendapat pendapat para ulama mengenai Hadith yang dibincangkan ini sila ikuti  penjelasannya selepas ini.

Nas Hadith.
Nas hadith yang dibincangkan adalah seperti berikut

آيَةُ المُنَافِقِ ثَلاَثٌ: إِذَا حَدَّثَ كَذَبَ، وَإِذَا وَعَدَ أَخْلَفَ، وَإِذَا اؤْتُمِنَ خَانَ
(صحيح البخارى، كتاب الإيمان، باب علامة المنافق)
Bermaksud: Tanda orang munafik tiga, apabila bercakap dia berdusta, apabila berjanji dia menyalahi, dan apabila dia diberikan amanah dia khianat.
Sabda Baginda lagi:

أَرْبَعٌ مَنْ كُنَّ فِيهِ كَانَ مُنَافِقًا خَالِصًا، وَمَنْ كَانَتْ فِيهِ خَصْلَةٌ مِنْهُنَّ كَانَتْ فِيهِ خَصْلَةٌ مِنَ النِّفَاقِ حَتَّى يَدَعَهَا: إِذَا اؤْتُمِنَ خَانَ، وَإِذَا حَدَّثَ كَذَبَ، وَإِذَا عَاهَدَ غَدَرَ، وَإِذَا خَاصَمَ فَجَرَ
صحيح البخارى، كتاب الإيمان، باب علامة المنافق)
Bermaksud: Empat perkara sesiapa yang ada baginya dia adalah munafik yang jelas, dan sesiapa yang baginya satu ciri darinya maka baginya satu ciri dari munafik sehingga dia meninggalkannya. Apabila diberi amanah dia khianat, apabila bercakap dia berbohong, apabila mengadakan perjanjian dia memungkiri, dan apabila bertengkar dia berbohong dan menjauhi kebenaran.

Pendapat ulamak mengenai maksud Hadith
Al-Hafiz Ibn Hajar Dalam kitabnya, Fath al-Bari menukil dari Imam al-Nawawi yang mengatakan sebilangan ulamak mengatakan bahawa Hadith ini termasuk dalam Hadith yang musykil, kerana ciri-ciri dalam Hadith tersebut  apabila terdapat kepada seseorang Muslim, ijmak ulamak bahawa orang itu tidak kafir. Seterusnya Imam al-Nawawi berkata: Hadith ini tidak ada sebarang kemusykilan, bahkan maknanya adalah sahih, kerana sebagaimana yang dikatakan oleh ulamak-ulmak yang muhaqqiqun: Bahawa perkara-perkara ini adalah ciri-ciri orang munafik, orang yang memiliki ciri-ciri ini dia menyerupai dengan orang munafik dari sudut ini dan berakhlak dengan akhlak-akhlak orang munafik.

(فتح الباري لابن حجر 1: 90)
Perkataan Imam al-Nawawi di atas menunjukkan bahawa orang yang memiliki semua ciri-ciri dalam Hadith tersebut dia tidak dihukumkan munafik, tetapi dia menyerupai orang munafik, kerana memeliki ciri-ciri yang buruk ini. Dia adalah Mukmin yang derhaka, bukan munafik kafir.

Al-Hafiz Ibn Hajar seterusnya berkata: Ini jika dimaksudkan dengan munafik itu adalah munafik kafir. Ada juga ulamak ulamak yang mengatakan, maksud munafik di sini bukan munafik dari segi i`tiqad, tetapi munafik dari segi amalan. berdalilkan dengan perkataan Saidina Umar kepada Saidina Hudhayfah r.a. :

هل تعلم في شيئا من النفاق
Adakah engkau mengetahui padaku sesuatu dari munafik?
Maksud munafik di sini adalah munafik dari segi amalan.
(فتح الباري لابن حجر 1: 90)

Maksud Saidina Umar ialah adakah aku ini memiliki perbuatan-perbuatan orang munafik? Bukan bermaksud adakah aku ini memiliki i`tiqad orang munafik yang mengeluarkannya dari sebagai seorang Mukmin.

Al-Hafiz Ibn Hajar seterusnya berkata: Ada juga ulamak yang berpendapat: Disebut kalimah munafik dalam Hadith ini adalah untuk memberi amaran dan menakutkan dari melakukan perkara-perkara tersebut.
(فتح الباري لابن حجر 1: 90)
Perkataan di atas bermaksud: Larangan keras dari melakukan perkara-perkara tersebut. Contoh dalam Hadith yang lain:
لاَ يَدْخُلُ الجَنَّةَ قَاطِعٌ
(صحيح البخارى، كتاب الأدب، اب إثم القاطع)
Bermaksud: Tidak masuk syurga orang yang memutuskan silaturrahim.

Hadith di atas bukan bermaksud bahawa orang yang memutuskan silaturrahim menjadi kafir dan tidak masuk syurga, tetap menunjukkan kepada larangan keras dari memutuskan silaturrahim.

Al-Hafiz Ibn Hajar seterusnya menyebut ada juga ulamak yang mengatakan Hadith di atas adalah kepada orang yang telah menjadi kebiasaannya dengan perkara-perkara tersebut dan dia menganggapnya kecil, orang yang seperti itu pada kebiasaannya i`tiqadnya telah rosak.

فتح الباري لابن حجر (1 / 90):
Di atas, adalah pendapat ulamak mengenai orang yang memiliki semua ciri-ciri buruk yang telah disebut dalam Hadith yang dibincangkan ini. Mereka tidak menghukum bahawa orang memeliki semua ciri-ciri dalam Hadith ini dia di-hukumkan munafik, keluar dari Islam.

Ulasan penulis
Mengapa Hadith di atas tidak boleh difahamkan  secara yang zahirnya iaitu orang yang mempunyai ciri-ciri di atas itu, maka dia adalah munafik, keluar dari sebagai seorang Mukmin, dia menjadi kafir. Sebabnya ialah terdapat nas-nas yang banyak yang menunjukkan bahawa orang yang masih terdapat dalam hatinya iman, walau amat kecil sekalipun, dia akan dikeluarkan dari neraka, sekalipun dia telah lama dibaham api neraka, sedangkan orang munafik kafir kekal dalam neraka.
Di antara Hadith-Hadith tersebut ialah:

«يَدْخُلُ أَهْلُ الجَنَّةِ الجَنَّةَ، وَأَهْلُ النَّارِ النَّارَ» ، ثُمَّ يَقُولُ اللَّهُ تَعَالَى: «أَخْرِجُوا مِنَ النَّارِ مَنْ كَانَ فِي قَلْبِهِ مِثْقَالُ حَبَّةٍ مِنْ خَرْدَلٍ مِنْ إِيمَانٍ. فَيُخْرَجُونَ مِنْهَا قَدِ اسْوَدُّوا، فَيُلْقَوْنَ فِي نَهَرِ الحَيَا، أَوِ الحَيَاةِ ...
(صحيح البخارى، كتاب الإيمان، باب تفاضل أهل الإيمان في الأعمال)
Bermaksud: Penghuni syurga masuk syurga, dan penghuni neraka masuk neraka, kemudian Allah berkata: Hendaklah kamu keluarkan dari neraka orang yang terdapat dalam hatinya seberat biji khardal dari iman, maka mereka pun dikeluarkan dari neraka sesungguhnya mereka telah hitam legam, lalu mereka dicampakkan ke dalam sungai al-haya atau al-hayat.

Maksud حَبَّةٍ مِنْ خَرْدَلٍ adalah menunjukkan kepada terlampau kecil.
Hadith di atas menunjukkan orang yang masih mempunyai iman walau amat kecil sekalipun dia akan dikeluarkan dari neraka, sekalipun dia telah amat lama dalam neraka dan badannya telah hitam legam dibaham api. Adapun orang munafik kafir dia kekal dalam neraka. Oleh itu maksud munafik yang jelas مُنَافِقًا خَالِصًا dalam Hadith yang dibincangkan ini bukan bermaksud bahawa orang itu telah menjadi orang munafik dan keluar dari Islam.
Hadith yang lain

مَنْ مَاتَ وَهُوَ يَعْلَمُ أَنَّهُ لَا إِلَهَ إِلَّا اللهُ، دَخَلَ الْجَنَّةَ
(صحيح مسلم، كتاب الإيمان، باب الدليل على أن من مات على التوحيد دخل الجنة قطعا)
Bermaksud: Sesiapa yang mati sedangkan dia mengetahui bahawa tiada Tuhan melainkan Allah dia masuk syurga.
Hadith di atas menunjukkan bahawa orang Mukmin dia akan masuk syurga. Masuk syurga, sama ada di peringkat awal atau setelah dibaham api neraka.

Doa
Sama-samalah kita berdoa kepada Allah agar kita benar-benar menjadi seorang Mukmin yang bertakwa kepada Allah, melaksanakan semua perintah-Nya, menjauhi segala larangan-Nya, termasuklah menjauhi sifat-sifat yang buruk sebagaimana yang dijelaskan dalam Hadith yang dibincangkan ini, yang ia merupakan ciri-ciri orang munafik. Sama-samalah kita berdoa agar Allah SWT memasukkan kita dalam syurga-Nya tanpa hisab.