MEMPERKASA INSTITUSI MASJID


Hj Rosli bin Talib
Masjid al-Istiqamah Sg Merab

Mari kita bermula dengan bertanya, apakah institusi masjid dipersekitaran kita telah memainkan peranan sewajarnya didalam membangun masyarakat sekitaran? Ataupun masjid hanyalah menjadi tempat solat berjamaah semata-mata dan sekali sekala mengadakan program sambutan atau ceramah sempena hari-hari kebesaran Islam. Atau yang lebih baik sedikit ada kuliah maghrib dan kuliah suboh pada hari-hari tertentu. 

Walaupun kita harus bersyukur kerana kebelakangan ini semangat umat Islam untuk membangun masjid semakin terserlah, namun bagi saya sebenarnya potensi institusi masjid ini telah tidak kita gunakan secara optimumnya. Keadaan ini mungkin disebabkan oleh kefahaman masyarakat bahawa masjid adalah rumah ibadah semata-mata, maka untuk mengimarahkan masjid cukuplah dengan solat berjamaah dan kuliah-kuliah oleh tuan-tuan guru sahaja…tak lebih dari itu.

Maka inilah cabaran yang harus digalas oleh para pendakwah dan juga pentadbir masjid pada hari ini. Kita harus mentransformasikan pemikiran masyarakat dan yang lebih penting para pentadbir masjid, bahawa peranan masjid itu jauh lebih besar dan jauh lebih hebat sebenarnya. Melalui sirah, kita dapat melihat bahawa Nabi Muhammad s.a.w. bukan sahaja menjadikan Masjid an-Nabawi sebagai pusat ibadah, malah juga sebagai pusat pemerintahan dan pentadbiran negara Islam Madinah. Masjid an-Nabawi menjadi nadi penggerak aktiviti masyarakat. Masjid an-Nabawi juga turut berperanan sebagai pusat kebajikan dan  gedung ilmu. Masjid bukan sahaja menjadi tempat hubungan antara manusia dan Allah, tetapi juga menjadi tempat hubungan sesama manusia. Melalui pendekatan inilah Rasulullah s.a.w. telah berjaya menggambarkan kesempurnaan dan keindahan Islam sebagai “cara hidup” melalui peranan yang dimainkan oleh institusi masjid ini.

Oleh kerana itu, apakah yang harus kita lakukan demi untuk mencontohi kejayaan Rasulullah s.a.w ini. Tak mampukah kita untuk menjadikan masjid sebagai tempat pendidikan dan pentarbiyahan, tak laratkah kita untuk menjadikan masjid sebagai tempat untuk kita sama-sama menjaga kebajikan ahli qariah atau kita takut nanti orang kata kita berpolitik didalam masjid.

Penulis bukanlah seorang ahli agama atau seorang ahli akademik. Sekadar melontarkan pandangan untuk diperhalusi dan diperbincangkan dan jika boleh dilaksanakan dengan tujuan untuk melihat institusi masjid diperkasa dan diperhebat peranannya.

1.            Struktur Jawatankuasa
               
                Ciri yang sangat utama didalam menentukan kejayaan (atau kegagalan) mana-mana organisasi adalah pusat pentadbiran, didalam konteks ini ahli jawatakuasa masjid itu sendiri. Jawatankuasa yang berkaliber dan dinamik akan dapat merancang, mengurus  dan mentadbir dengan baik. Walaupun kelulusan penting, tetapi yang lebih penting lagi ialah rasa kebertanggungjawaban terhadap “amanah” yang dipikul. Belakang parang diasah lagikan tajam, maka kekurangan ilmu mentadbir dan mengurus ini sentiasa boleh dipelajari, samada melalui pengalaman atau tunjuk ajar daripada yang ahli. Sikap bahawa ini hanya tugasan sukarela seharusnya dinyahkan jauh-jauh dari benak fikiran setiap AJK. Rasa kebertanggungjawaban bahawa ini amanah yang akan ditanya pada hari kemudian seharusnya memperkuatkan jiwa setiap AJK. Ya Allah bersaksilah inilah antara usaha ku untuk memakmurkan masjidku ,kampongku dan masyarakat ku ini dan inilah jalan dakwahku.



2.            Menghidupkan semangat bermesyuarat

                Menjadikan masjid tempat bermesyuarat, bukan sahaja antara ahli jawatankuasa, tetapi juga antara AJK dan jemaah. Lebih baik lagi jika dapat dihidupkan semangat bermesyuarat ini dikalangan sesama jemaah didalam segala aspek kehidupan. Pegawai serta AJK hendaklah sentiasa bermesyuarat untuk membincangkan segala kegiatan masjid dan menyelesaikan sebarang permasaalahan jika wujud. Sebarang perancangan demi untuk meninggikan syiar Islam perlu diperbincangkan agar sebarang keputusan yang diambil adalah yang terbaik dari yang terbaik. Lantaran, kehadiran setiap Pegawai dan AJK didalam setiap mesyuarat itu adalah sangat penting.

                Untuk menggilap lagi semangat bermesyuarat ini, maka lontarkanlah pula  segala keputusan itu kepada para jemaah. Undang mereka untuk memberikan respon atau pun mempelawa mereka untuk bersama-sama menjayakan segala keputusan yang telah dibuat. Bina rasa kebersamaan antara para AJK dan para jemaah. Hargai pandangan dan pendapat mereka, nescaya mereka akan lebih menghargai dan menyayangi masjid dimana mereka berjemaah ini. Dan yang lebih penting jangan sekali membuat para jemaah berasa jengkel dengan kita.

3.            Menjadikan masjid pusat pendidikan, kemasyarakatan dan kebajikan

                Masjid perlu menjadi sebuah  institusi ilmu untuk kecemerlangan masyarakat Islam. Budaya ilmu ini perlu diluaskan bukan sahaja dengan mengadakan kelas-kelas keagamaan tetapi  juga kelas-kelas ilmiah yang lain seperti pelajaran komputer, sains, matematik dan lain-lain pelajaran dari peringkat kanak-kanak hingga ke peringkat dewasa. Selain itu usaha seperti ceramah, forum dan muzakarah merupakan antara alternatif yang akan mengharmoni dan menyatupadukan masyarakat Islam.

                Masjid juga seharusnya mampu menjadi pusat rujukan kepada masyarakat serta mampu memberikan jawaban-jawaban yang munasabah serta Islamik terhadap sebarang permasaalahan yang ditimbulkan. Jika berkeupayaan masjid juga boleh menjadi pusat kaunseling bagi membantu menyelesaikan masaalah yang melanda masyarakat pada hari ini.

                Peranan masjid juga adalah untuk menjadi pusat kebajikan kepada mereka yang memerlukan.  Kegetiran kewangan atau ekonomi yang dihadapi oleh ahli qariah seharusnya diambil berat oleh pentadbir masjid. Masaalah kewangan untuk menghantar anak-anak menyambung pelajaran, keperluan perubatan dan anak-anak yatim yang didalam kesusahan seharusnya menjadi agenda didalam setiap mesyuarat masjid.

                Untuk melaksanakan matlamat ini, masjid mestilah mempunyai “data base” setiap ahli qariahnya. AJK mesti mengenalpasti golongan asnaf, wargatua dan orang kurang upaya didalam qariahnya.

4.            Mengikuti perkembangan teknologi maklumat

                Sesuai dengan perkembangan masa kini, masjid juga harus mampu untuk menyediakan diri didalam mengikuti perkembangan zaman, khususnya berkaitan teknologi maklumat, IT. Seharusnya masjid mempunyai website sendiri ataupun sekurang-kurangnya weblog ataupun facebook. IT mestilah dimanfaatkan sebaik-baiknya sebagai medan dakwah. Gunakan ia untuk menjemput ahli qariah hadir ke masjid.

                Jika mampu, masjid perlu berusaha menyediakan wifi percuma kerana pendekatan ini akan  menggalakkan generasi muda hari ini mendekati masjid. Generasi yang dipanggil generasi Y ini seolah-olahnya tidak boleh hidup tanpa ada akses kepada internet, maka gunakan keobsesan mereka ini untuk menarik mereka hadir kemasjid.


5.            Mempunyai sumber kewangan

                Harus diakui bahawa semua perkara yang tersebut diatas tidak akan dapat dilakukan jika masjid  tidak mempunyai sumber kewangan yang baik. Pegawai dan AJK masjid mesti mampu untuk menjana kewangan masjid. Bagi penulis tidak ada salahnya jika masjid ada cabang perniagaannya demi untuk memenuhi keperluan kewangan ini.

                Infaq dan derma biasanya menjadi sumber utama kewangan masjid, oleh kerana itu pentadbir harus memahami bahawa setiap manusia yang mendermakan wang ringgitnya itu sangat berharap agar ia digunakan sebaik-baiknya. Mereka mahu melihat infaq mereka digunakan untuk memelihara kebersihan masjid, membina dan membangunkan keperluan masjid.  Saya cukup yakin bahawa  apa yang mereka tidak mahu adalah melihat duit yang diberi itu disimpan didalam bank masjid. Mereka tidak mahu melihat wang masjid berpuluh ribu didalam bank, tetapi tandas dibiar tidak berjaga, tempat wuduk berlumut tanpa ada sesiapa yang  membersihkannya, lampu yang berkelip-kelip tidak diganti dan kipas penuh dengan sawang.
               
                Pentadbir masjid juga mestilah amanah dengan segala yang dijanjikan kepada jemaah. Yakinlah bahawa makin banyak wang yang dibelanjakan untuk mengimarahkan masjid, tanpa rasa riak dan sombong atau untuk menunjuk-nunjuk dan tidak juga boros, akan makin banyak juga infaq dan derma yang diterima. Yang paling asas, jangan sekali-kali kehilangan kepercayaan dari ahli qariah dan para jemaah.

Sebagai penutupnya, marilah kita sama-sama membangun dan menyemarakkan semula institusi masjid seperti dizaman kegemilangan Islam dahulu. Dr. Mustafa as-Syibaie dalam buku “Sirah Nabi Muhammad s.a.w. – Pengajaran & Pedoman” telah berkongsikan pandangannya berkenaan fungsi masjid, “Sejarah masjid dalam Islam membuktikan ketumbukan-ketumbukan tentera Islam dilancarkan dari masjid untuk meliputi muka bumi dengan hidayah Allah. Dari masjid juga terpancar sinaran cahaya kebenaran dan hidayah kepada orang Islam dan orang bukan Islam. Di dalamnya juga benih-benih tamadun Islam tumbuh subur dan berkembang. Bukankah Abu Bakar, Umar, Uthman, Ali, Khalid, Saad, Abu Ubaidah dan tokoh-tokoh besar dalam sejarah Islam yang lain merupakan anak-anak murid sekolah Muhammad yang berpusat di Masjid an-Nabawi?”

Marilah kita menjadikan usaha kita ini sebagai salah satu cara kita untuk bertaqarrub kepada Allah S.W.T. dan semoga kita menerima balasan yang baik dihari kemudian, InsyaAllah.