Penyelewengan ayat Zina dan Mencuri


Ustaz Dr Udah bin Mohsin
Masjid al-Istiqamah Sg Merab

Terdapat orang yang jahil terhadap bahasa Arab dan tidak alim mengenai syariah Islam cuba mentafsirkan al-Quran mengikut kehendak mereka dengan alasan lojik menurut fahaman mereka. Mereka menganggap diri mereka adalah golongan pembaharuan. Oleh kerana itu mereka mentafsirkan ayat al-Quran mengenai zina dan mencuri mengikut tafsiran yang mereka kehendaki, dengan membelakangkan keadah bahasa Arab, syariah Islam dan menolak hadith Rasulullah s.a.w. yang sahih. Tafsiran yang berbentuk demikian adalah termasuk di dalam tafsiran yang menyeleweng, sesat dan menyesatkan, dan wajib ditolak.

Ayat al-Quran mengenai zina dan mencuri.

Ayat mengenai zina. Firman Allah:

{ الزَّانِيَةُ وَالزَّانِي فَاجْلِدُوا كُلَّ وَاحِدٍ مِنْهُمَا مِائَةَ جَلْدَةٍ وَلَا تَأْخُذْكُمْ بِهِمَا رَأْفَةٌ فِي دِينِ اللَّهِ إِنْ كُنْتُمْ تُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ وَلْيَشْهَدْ عَذَابَهُمَا طَائِفَةٌ مِنَ الْمُؤْمِنِينَ (2)} [النور : 2]

(Surah al-Nur, 24: 2) Bermaksud: Orang yang melakukan zina samada lelaki atau perempuan hendaklah kamu sebat setiap seorang 100 kali sebat, dan janganlah kamu bersifat belas kasihan terhadap kedua-duanya dalam agama Allah, jika kamu beriman terhadap Allah dan Hari Akhirat. Dan hendaklah disaksikan hukuman terhadap kedua-duanya oleh sekumpulan orang-orang mukmin.

Ayat mengenai mencuri:

{ وَالسَّارِقُ وَالسَّارِقَةُ فَاقْطَعُوا أَيْدِيَهُمَا جَزَاءً بِمَا كَسَبَا نَكَالًا مِنَ اللَّهِ وَاللَّهُ عَزِيزٌ حَكِيمٌ (38) [المائدة : 38 ،}

(Surah al-Maidah 5: 38) Bermaksud: Pencuri, lelaki dan perempuan hendaklah kamu potong tangan kedua-duanya sebagai balasan dari apa yang kedua-duanya lakukan dan sebagai seksa dari Allah. Allah adalah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.


Tafsiran golongan yang mendakwa sebagai pembaharuan mengenai ayat zina dan mencuri.

Golongan pembaharuan ini mendakwa bahawa dua ayat di atas adalah sama dengan ayat al-Quran yang lain iaitu:

يَا بَنِي آدَمَ خُذُوا زِينَتَكُمْ عِنْدَ كُلِّ مَسْجِدٍ وَكُلُوا وَاشْرَبُوا وَلَا تُسْرِفُوا إِنَّهُ لَا يُحِبُّ الْمُسْرِفِينَ (31)} [الأعراف : 31]
(Surah al-‘Araf, 7: 31) Bermaksud: Wahai anak Adam berhiaslah ketika kamu hendak masuk ke masjid, dan makanlah dan minumlah tetapi jangan melampau, bahawasanya Allah tidak suka kepada orang yang melampau.

Berhias seperti memakai bau-bauan yang harum, berpakaian cantik hukumnya adalah tidak wajib, oleh itu mereka berhujjah bahawa fi`l amr pada khudhu adalah li al-ibahah atau li al-nadb iaitu menunjukkan kepada harus atau sunat, tidak menunjukkan kepada wajib, oleh itu hukuman sebat pada melakukan zina adalah harus atau sunat, tidak wajib. Begitu juga hukum potong tangan kepada orang yang mencuri adalah tidak wajib tetapi harus sahaja atau sunat. Jika tidak wajib maka terserahlah kepada pemerintah samada untuk melaksanakan atau tidak. Dengan tafsiran ini kita telah dapat melaksanakan hukum Islam tanpa sebarang halangan, selaras dengan keistimewaan-keistimewaan yang terdapat dalam syari'ah Islam dari segi murunah, mudah dan sesuai di setiap zaman dan tempat. (al-Siyasah  al-Usbu`iyyah, 1937, 6).


Kesalahan tafsiran pendakwa pembaharuan.

Di sini akan dijelaskan kesalahan-kesalahan tafsiran yang dilakukan oleh pendakwa pembaharuan.

A.        Menurut kaedah bahasa Arab dan susur galurnya

Jika ditafsirkan zinah itu dengan perhiasan seperti memakai minyak wangi dan memakai baju baru maka fi`l amr pada fajlidu  adalah lain maksudnya dengan fi`l amr pada khudhu. Ini ialah kerana:

  1. Fi`l amr pada asalnya adalah menunjukkan kepada wajib, kecuali jika terdapat bukti yang menunjukkan ia tidak wajib. Tidak terdapat bukti fi`l amr pada fajlidu yang boleh mengubahnya dari maknanya yang asal. Adapun fi`l  amr pada khudhu zinatakum walau pun pada asalnya fi`l  amr itu menunjukkan kepada wajib tetapi terdapat bukti yang menunjukkan ianya tidak wajib iaitu ramai dari kalangan sahabat Rasulullah s.a.w. yang tidak memakai pakaian  cantik ketika mereka pergi sembahyang ke masjid dan didiamkan oleh Rasulullah s.a.w. Diam Rasulullah adalah menunjukkan kepada iqrrar Baginda. Ini adalah merupakan bahawa suruhan di dalam ayat ini tidak menunjukkan kepada wajib, tetapi hanya sunat atau harus sahaja.

  1. Perintah dengan  fi`l amr pada fajlidu adalah datang setelah menjelas kesalahan jenayah yang telah dilakukan iaitu jenayah zina. Oleh itu ia adalah sebagai balasan terhadap perbuatan jenayah tersebut. Ini tidak ada pada khudhu zinatakum yang membawa kepada perbezaan hukum pada fi`l amr tersebut.

Potongan ayat berikutnya iaituولا تأخذكم بهما رافة فى دين الله yang melarang dari bersifat belas kasihan pada melaksanakan agama Allah adalah jelas menunjukkan bahawa hukum sebat itu adalah berbentuk wajib dan ia 
  1. merupakan sebahagian dari perintah agama Allah. Bersifat belas kasihan adalah merupakan satu sifat yang mulia tetapi sifat itu hendaklah digunakan pada tempatnya, sifat itu dilarang menggunakannya jika membawa kepada tidak melaksanakan hukum Allah.

  1. Potongan ayat berikutnya iaitu: إن كنتم تؤمنون بالله واليوم الآخر  yang merupakan syarat kepada orang yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat menunjukkan bahawa hukum sebat itu adalah wajib. Orang yang tidak beriman dengan hukum ini menunjukkan dia tidak beriman kepada Allah dan Hari Akhirat. Orang yang tidak beriman kepada Allah dan Hari Hari Akhirat adalah bukan orang mukmin (kafir).

  1. Potongan ayat berikutnya iaitu: وليشهد عذابهما طائفة من المؤمنين . Ikrab lam pada wal yashhad adalah lam al-amr oleh kerana itu kalimah yashhad itu majzum iaitu berbaris mati. Ini bermaksud hukuman itu hendaklah disaksikan oleh sekumpulan orang mukmin. Potongan ayat ini juga menguatkan bahawa hukum sebat itu adalah wajib.

Dari penjelasan-penjelasan yang diberikan adalah berbeza menurut kaedah bahasa Arab dan susur galurnya di antara fi`l amr pada fajlidu yang terdapat di dalam ayat yang kedua, Surah al-Nur dengan khudhu yang terdapat dalam ayat 31, Surah al-A`raf.

Jika ditafsirkan zinah itu dengan perhiasan seperti memakai minyak wangi dan memakai baju baru maka fi`l amr pada faqta`u adalah lain maksudnya dengan  fi`l amr pada khudhu. Ini ialah kerana:

  1. fi`I amr pada asalnya adalah menunjukkan kepada wajib kecuali jika terdapat tanda yang menunjukkan ia tidak wajib. Tidak terdapat tanda fi`l amr pada faqt`u yang boleh mengubahnya dari maknanya yang asal. Adapun fi`l amr pada khudhu zinatakum walau pun pada asalnya fi`l amr itu menunjukkan kepada wajib tetapi terdapat tanda yang menunjukkan ianya tidak wajib iaitu ramai dari kalangan sahabat Rasulullah s.a.w. yang tidak memakai pakaian cantik ketika mereka pergi sembahyang ke masjid dan didiamkan oleh Rasulullah s.a.w. Diam Rasulullah adalah menunjukkan kepada iqrrar Baginda. Ini adalah menunjukkan bahawa suruhan di dalam ayat ini tidak berbentuk wajib, tetapi hanya sunat atau harus sahaja.

  1. Perintah dengan  fi`l amr pada faqta`u adalah datang setelah menjelaskan kesalahan jenayah yang telah dilakukan, iaitu jenayah mencuri. Oleh itu ia adalah sebagai balasan terhadap perbuatan jenayah tersebut. Ini tidak ada pada khudhu zinatakum yang membawa kepada perbezaan hukum pada fi`l amr tersebut.

  1. Potongan ayat berikutnya iaitu: جزاء بما كسبا yang bermaksud sebagai balasan terhadap perbuataan yang dilakukan oleh kedua-duanya menjelaskan lagi bahawa potong tangan itu merupakan balasan terhadap perbuatan yang dilakukan oleh pencuri tersebut. Ini menunjukkan bahawa suruhan (fi`l amr) di sini berbentuk wajib, bukan sunnat atau harus.

  1. Potongan ayat berikutnya iaitu نكلا من الله  yang bermaksud bahawa potong tangan itu merupakan siksaan/hukuman dari Allah adalah menguatkan bahawa suruhan fi`l amr dalam ayat ini adalah berbentuk wajib.

  1. Diakhiri ayat itu dengan والله عزيز حكيم  Allah adalah Maha Perkasa dan Maha Bijaksana menunjukkan bahawa hukuman itu adalah datangnya dari Allah Yang Maha Perkasa dan Maha Bijaksana yang mengetahui tabiat manusia dan hukuman yang macam mana yang sesuai untuk mereka. Ini juga menunjukkab bahawa suruhan (ficl amr) dalam ayat ini berbentuk wajib.

Dari penjelasan-penjelasan yang diberikan adalah berbeza menurut kaedah bahasa Arab dan susur galurnya di antara  fi`l amr pada faqta`u yang terdapat di dalam ayat yang 38 Surah al-Maidah dengan  khudhu yang terdapat dalam ayat 31, Surah al-A`raf.


B.        Menurut ayat yang lain yang terdapat dalam al-Quran.

Bahawasanya ayat al-Quran di antara satu dengan lain ada mempunyai kaitan dan jelas menjelaskan. Dari ayat yang lain iaitu firman Allah dalam Surah al-Isra'..

{ وَلَا تَقْرَبُوا الزِّنَا إِنَّهُ كَانَ فَاحِشَةً وَسَاءَ سَبِيلًا (32) وَ} [الإسراء : 32 ،]

(Surah al-Isra', 17: 32) Bermaksud: Dan jangan kamu hampiri zina kerana bahawasanya ia merupakan perkara keji dan jalan yang paling buruk.

Dalam ayat ini Allah melarang menghampiri zina. Jika menghampiri zini adalah haram maka apatah lagi zina. Dilarang berdua-duaan di antara lelaki dengan perempuan yang bukan muhrimnya, dilarang bercium dan sebagainya kerana ini semua merupakan cara-cara yang menghampirkan kepada zina. Dalam ayat ini juga menjelaskan bahawa zina itu adalah merupakan perkara keji. Perkara keji adalah merupakan sesuatu yang buruk yang mesti dijauhi. Selepas itu di jelaskan lagi bahawa zina itu adalah merupakan seburuk-buruk cara/perbuatan. Jika telah dijelaskan larangan menghampiri zina kerana ia membawa kepada zina, dan zina itu adalah merupakan perkara yang amat buruk, dalam ayat yang sebelum ini  dijelaskan hukumannya iaitu sebat 100 kali. Ini jelas menunjukkan bahawa fi`l amr pada fajlidu pada ayat yang sebelum ini adalah menunjukkan kepada wajib, bukan sunat dan bukan harus.

C.        Menurut Sunnah Rasulullah s.a.w.

Sebagaimana telah dimaklumi bahawa al-Sunnah adalah merupakan pentafsir/penjelas terhadap al-Quran selaras dengan firman Allah:

{وَأَنْزَلْنَا إِلَيْكَ الذِّكْرَ لِتُبَيِّنَ لِلنَّاسِ مَا نُزِّلَ إِلَيْهِمْ وَلَعَلَّهُمْ يَتَفَكَّرُونَ (44) } [النحل : 44 ، 45]

(Surah al-Nahl, 16: 44) Bermaksud: Dan Kami turunkan kepadamu peringatan (al-wahyu) supaya engkau terangkan kepada mereka apa yang diturunkan kepada mereka.

Apa yang diturunkan kepada mereka ialah wahyu, termasuk al-Quran. Rasulullah telah melarang melakukan zina dan mencuri di dalam beberapa banyak hadithnya. Antaranya ialah sabdanya:

عن أَبُى إِدْرِيسَ عَائِذُ اللَّهِ بْنُ عَبْدِ اللَّهِ أَنَّ عُبَادَةَ بْنَ الصَّامِتِ - رضى الله عنه - وَكَانَ شَهِدَ بَدْرًا ، وَهُوَ أَحَدُ النُّقَبَاءِ لَيْلَةَ الْعَقَبَةِ - أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ - صلى الله عليه وسلم - قَالَ وَحَوْلَهُ عِصَابَةٌ مِنْ أَصْحَابِهِ « بَايِعُونِى عَلَى أَنْ لاَ تُشْرِكُوا بِاللَّهِ شَيْئًا ، وَلاَ تَسْرِقُوا ، وَلاَ تَزْنُوا ، وَلاَ تَقْتُلُوا أَوْلاَدَكُمْ ، وَلاَ تَأْتُوا بِبُهْتَانٍ تَفْتَرُونَهُ بَيْنَ أَيْدِيكُمْ وَأَرْجُلِكُمْ ، وَلاَ تَعْصُوا فِى مَعْرُوفٍ ، فَمَنْ وَفَى مِنْكُمْ فَأَجْرُهُ عَلَى اللَّهِ ، وَمَنْ أَصَابَ مِنْ ذَلِكَ شَيْئًا فَعُوقِبَ فِى الدُّنْيَا فَهُوَ كَفَّارَةٌ لَهُ ، وَمَنْ أَصَابَ مِنْ ذَلِكَ شَيْئًا ثُمَّ سَتَرَهُ اللَّهُ ، فَهُوَ إِلَى اللَّهِ إِنْ شَاءَ عَفَا عَنْهُ ، وَإِنْ شَاءَ عَاقَبَهُ »  

(Sahih al-Bukhari, kitab al-Iman; Sahih Muslim, al-hudud, al-hudud kaffarh li ahliha.) Bermaksud: Daripada Abu Idris `Aidh Allah bin Abd Allah bahawa `Ubadah bin al-Samit  r.a. yang merupakan salah seorang yang berserta di dalam peperangan badar, juga merupakan salah seorang ketua kaum, pada malam, al-`aqabah bahawa Rasulullah s.a.w. yang dikelilingi oleh para sahabatnya telah berkata: Hendaklah kamu bai'ah kepadaku, bahawa kamu tidak menyekutukan Allah dengan yang lain-Nya, tidak mencuri, tidak melakukan zina, tidak membunuh anak, tidak melakukan pendustaan yang direka-reka di antara tangan dan kaki, tidak derhaka kepadaku dalam perkara makruf, maka sesiapa yang menunaikan (yang demikian itu) maka pahalanya adalah di atas Allah. Sesiapa yang terkena yang demikian itu (melakukan dosa) lalu dihukum di dunia maka hukuman itu adalah penghapusan dosa kepadanya. Dan sesiapa yang terkena yang demikian itu (melakukan dosa) dan ditutup oleh Allah (tidak dikenakan hukuman) maka terpulanglah kepada Allah, jika Dia hendak Dia memberi kema'afan kepadanya dan jika Dia kehendak Dia membalasnya.  

Dalam hadith ini Rasulullah telah menjadikan syarat bai'ah di antara Baginda dengan sahabat-sahabatnya yang terdiri dari ketua-ketua kaum supaya jangan berzina dan jangan mencuri yang disertakan dengan larangan menyekutukan Allah dengan yang lain. Ini menunjukkan bahawa zina dan mencuri adalah merupakan perkara yang amat dilarang.

Rasululah juga telah memerintahkan sahabatnya supaya disebat kepada seorang pemuda yang melakukan zina dengan seorang wanita.


عَنْ أَبِى هُرَيْرَةَ وَزَيْدِ بْنِ خَالِدٍ الْجُهَنِىِّ رضى الله عنهما قَالاَ جَاءَ أَعْرَابِىٌّ فَقَالَ يَا رَسُولَ اللَّهِ اقْضِ بَيْنَنَا بِكِتَابِ اللَّهِ . فَقَامَ خَصْمُهُ فَقَالَ صَدَقَ ، اقْضِ بَيْنَنَا بِكِتَابِ اللَّهِ . فَقَالَ الأَعْرَابِىُّ إِنَّ ابْنِى كَانَ عَسِيفًا عَلَى هَذَا ، فَزَنَى بِامْرَأَتِهِ ، فَقَالُوا لِى عَلَى ابْنِكَ الرَّجْمُ . فَفَدَيْتُ ابْنِى مِنْهُ بِمِائَةٍ مِنَ الْغَنَمِ وَوَلِيدَةٍ ، ثُمَّ سَأَلْتُ أَهْلَ الْعِلْمِ ، فَقَالُوا إِنَّمَا عَلَى ابْنِكَ جَلْدُ مِائَةٍ وَتَغْرِيبُ عَامٍ . فَقَالَ النَّبِىُّ - صلى الله عليه وسلم - « لأَقْضِيَنَّ بَيْنَكُمَا بِكِتَابِ اللَّهِ ، أَمَّا الْوَلِيدَةُ وَالْغَنَمُ فَرَدٌّ عَلَيْكَ ، وَعَلَى ابْنِكَ جَلْدُ مِائَةٍ وَتَغْرِيبُ عَامٍ ، وَأَمَّا أَنْتَ يَا أُنَيْسُ - لِرَجُلٍ - فَاغْدُ عَلَى امْرَأَةِ هَذَا فَارْجُمْهَا » . فَغَدَا عَلَيْهَا أُنَيْسٌ فَرَجَمَهَا .

(Sahih al-Bukhari kitab al-Muharibin ; Sunan al-Tirmidhi, kitab al-hudud; Sunan al-Bayhaqi, kitab al-hudud ; Sunan al-Darimi, kitab al-hudud; Musnad Ahmad, musnad al-shamiyyin, baqiyyh hadith Zaid bin Khalid al-Juhani ) Bermaksud: Daripada Abu Hurayrah dan Zayd bin Khalid al-Juhani (r.a.w.), kedua-dua nya berkata: Seorang badwi datang dan berkata: Wahai Rasulullah! Hukumkan kami dengan kitab Allah. Lawannya bangun dan berkata: Dia benar. Hukumkanlah kami dengan kitab Allah. Orang badwi itu berkata: Bahawasanya anak lelakiku berkerja dengan orang ini lalu anakku itu berzina dengan isterinya. Orang ramai  berkata: Anakmu direjam, maka aku membayar untuk anakku sebanyak 100 ekor kambing dan seorang hamba perempuan, kemudian aku bertanya orang-orang yang  berilmu, mereka menjawab: Anakmu dihukum sebat 100 kali dan dibuang negeri selama setahun. Nabi s.a.w. menjawab, aku akan hukum kamu kedua dengan kitab Allah: Hamba perempuan dan kambing hendaklah dipulangkan semula kepadamu, kepada anakmu hendaklah disebat 100 kali dan dibuang negeri selama setahun. Engkau wahai Unis, seorang sahabat, pergilah menemui isteri orang ini, dan rejamlah dia (baling dengan batu kecil sampai mati) Unis pun pergi menemui perempuan itu lalu merejamnya.

Dalam riwayat lain Rasulullah s.a.w. bersabda:

عَنْ عُبَادَةَ بْنِ الصَّامِتِ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ -صلى الله عليه وسلم- « خُذُوا عَنِّى خُذُوا عَنِّى قَدْ جَعَلَ اللَّهُ لَهُنَّ سَبِيلاً الْبِكْرُ بِالْبِكْرِ جَلْدُ مِائَةٍ وَنَفْىُ سَنَةٍ وَالثَّيِّبُ بِالثَّيِّبِ جَلْدُ مِائَةٍ وَالرَّجْمُ ».

Sahih Muslim, kitab al-hudud, had al-zina; Sunan Ibn Majah, kitab al-hudud : bab had al-zina)
Bermaksud: Daripada Ubadah bin al-Samit katanya, Rasulullah s.a.w. bersabda: Ambillah dariku, ambillah dariku, sesungguhnya Allah telah memberi jalan, teruna dengan dara sebat 100 kali dan buang negeri. Duda dengan duda sebat 100 kali dan rejam.

Rasulullah, sekalipun merupkan seorang yang sangat sayang kepada umatnya sebagaimana yang dijelaskan oleh Allah dalam firman-Nya:
وكان  بكم رؤوفا رحيما

Tetapi demi untuk melaksanakan perintah Allah maka tidak boleh bersifat belas kasihan lagi dalam perkara ini dan tidak ada jalan lain mestilah melaksana perintah itu sebagaimana yang dijelaskan dalam ayat mengenai zina yang dibincangkan sebelum iniولا تأخذكم بهما رأفة فى دين الله  

Maka Rasulullah s.a.w menjalankan hukum sebat kepada pemuda itu. Ada pun kepada pasangannya kerana wanita itu telah berkahwin maka hukuman kepadanya adalah dibaling dengan batu sehingga mati. Apa yang dilakukan oleh Rasulullah dalam perkara ini adalah tidak bertentangan dengan al-Quran yang memerintahkan supaya disebat 100 kali kerana hukuman sebat ianya adalah kepada orang yang belum berkahwin sedangkan wanita itu telah berkahwin maka hukumnya adalah dibaling dengan batu sampai mati. Hukuman ini sekallipun tidak terdapat di dalam al-Quran tetapi umat Islam wajib berpegang dengan hukuman yang telah ditetapkan dan dilaksanakan oleh Rasulullah s.a.w. selaras dengan firman Allah:

فَلَا وَرَبِّكَ لَا يُؤْمِنُونَ حَتَّى يُحَكِّمُوكَ فِيمَا شَجَرَ بَيْنَهُمْ ثُمَّ لَا يَجِدُوا فِي أَنْفُسِهِمْ حَرَجًا مِمَّا قَضَيْتَ وَيُسَلِّمُوا تَسْلِيمًا (65) } [النساء : 65]

(Surah al-Nisa', 4: 65) Bermaksud: Maka, demi Tuhanmu, mereka tidak beriman sehingga mereka menjadikan engkau sebagai hakim pada perkara yang bertelingkah di kalangan mereka kemudian mereka tidak mendapati sebarang tidak puas hati dalam hati mereka dari hukuman yang telah engkau hukumkan dan mereka menerima sepenuhnya.

Apa yang difahami dari nas al-Quran di atas ialah wajib menerima hukuman yang telah ditetapkan oleh Rasulullah s.a.w. Allah s.w.t. juga telah menjelaskan bahawa orang ta'at kepada Rasulullah dia adalah ta'at kepada Allah dengan firman-Nya:
.
(Surah al-Nisa' 4: 80) Bermaksud: Sesiapa yang ta'at kepada Rasulullah s.a.w. maka dia adalah ta'at kepada Allah.

{مَنْ يُطِعِ الرَّسُولَ فَقَدْ أَطَاعَ اللَّهَ وَمَنْ تَوَلَّى فَمَا أَرْسَلْنَاكَ عَلَيْهِمْ حَفِيظًا (80) } [النساء : 80 ، 81]

Ayat ini menunjukkan bahawa orang yang ingkar/derhaka kepada Rasulullah dia adalah derhaka kepada Allah. Rasulullah juga melarang orang yang hanya berpegang dengan al-Quran sahaja dan membelakangkan sunnahnya.

Sabdanya:
عَنْ أَبِى رَافِعٍ عَنِ النَّبِىِّ -صلى الله عليه وسلم- قَالَ « لاَ أُلْفِيَنَّ أَحَدَكُمْ مُتَّكِئًا عَلَى أَرِيكَتِهِ يَأْتِيهِ الأَمْرُ مِنْ أَمْرِى مِمَّا أَمَرْتُ بِهِ أَوْ نَهَيْتُ عَنْهُ فَيَقُولُ لاَ نَدْرِى مَا وَجَدْنَا فِى كِتَابِ اللَّهِ اتَّبَعْنَاهُ ».

(Sunan Abu Daud, kitab al-sunnah, fi luzum al-sunnah; Sunan al-Tirmidhi, al-ilm)
Bermaksud: Aku tidak mahu mendapati seseorang dari kamu yang berteliku di atas katilnya kemudian datang sesuatu perkara dariku sama ada yang aku suruh atau yang aku tegah, lalu dia berkata, aku tidak tahu, apa yang kami dapati dalam kitab Allah kami ikut.

Dalam hadith ini Rasulullah s.a.w tidak mahu dari kalangan umatnya yang hanya berpegang dengan sesuatu yang hanya terdapat dalam al-Quran sahaja dengan mengenepikan sunah Baginda.

Mengenai mencuri pula Rasulullah telah memerintahkan supaya dipotong tangan kepada si pencuri itu.

عَنْ عَمْرِو بْنِ شُعَيْبٍ عَنْ أَبِيهِ عَنْ جَدِّهِ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عَمْرٍو أَنَّ رَجُلاً مِنْ مُزَيْنَةَ أَتَى رَسُولَ اللَّهِ -صلى الله عليه وسلم- فَقَالَ يَا رَسُولَ اللَّهِ كَيْفَ تَرَى فِى حَرِيسَةِ الْجَبَلِ فَقَالَ « هِىَ وَمِثْلُهَا وَالنَّكَالُ وَلَيْسَ فِى شَىْءٍ مِنَ الْمَاشِيَةِ قَطْعٌ إِلاَّ فِيمَا آوَاهُ الْمُرَاحُ فَبَلَغَ ثَمَنَ الْمِجَنِّ فَفِيهِ قَطْعُ الْيَدِ وَمَا لَمْ يَبْلُغْ ثَمَنَ الْمِجَنِّ فَفِيهِ غَرَامَةُ مِثْلَيْهِ وَجَلَدَاتُ نَكَالٍ ». قَالَ يَا رَسُولَ اللَّهِ كَيْفَ تَرَى فِى الثَّمَرِ الْمُعَلَّقِ قَالَ « هُوَ وَمِثْلُهُ مَعَهُ وَالنَّكَالُ وَلَيْسَ فِى شَىْءٍ مِنَ الثَّمَرِ الْمُعَلَّقِ قَطْعٌ إِلاَّ فِيمَا آوَاهُ الْجَرِينُ فَمَا أُخِذَ مِنَ الْجَرِينِ فَبَلَغَ ثَمَنَ الْمِجَنِّ فَفِيهِ الْقَطْعُ وَمَا لَمْ يَبْلُغْ ثَمَنَ الْمِجَنِّ فَفِيهِ غَرَامَةُ مِثْلَيْهِ وَجَلَدَاتُ نَكَالٍ ». (سنن النسائى، قطع السارق ،الثمر يسرق بعد أن يأويه الجرين، سنن أبى داود، الحدود، ما لا (سنن الدارقطنى، الحدود والديات وغيرها، تعليق يد السارق فى عنقه )

Sunan al-Nasa'I, kitab qat`u al-sariq; Sunan Abi Daud, kiab al-hudud).
Bermaksud: Daripada `Amrw bin Shu`ayb daripada bapanya daripada datuknya, `Abd Allah bin `Amrw, bahawa seorang lelaki dari kaum Muzaynah datang menemui Rasulullah s.a.w. lalu katanya: wahai Rasulullah! Apa pendapatmu mengenai kambing-kambing yang dipelihara di bukit-bukit?  Jawab Baginda ia dan yang seumpamanya dan balasan. Tidak dipotong tangan bagi mencuri binatang kecuali dalam rebannya dan sampai kepada harga perisai maka dipotong tangan (pencurinya), dan yang tidak sampai kepada harga perisai maka didenda dua kali ganda, dan beberapa sebatan sebagai hukuman. Katanya lagi wahai Rasulullah! Apa pendapatmu mengenai tamar yang tergantong? Jawab Baginda, ia dan yang seumpamanya bersama-sama dengannya dan hukuman.  Tiada potong tangan pada tamar yang masih bergantong (di pohonya),  kecuali tamar yang telah dijaga di tempat pengeringannya dan sampai nilainya harga perisai, اmaka hendaklah dipotong (tangan pencurinya).

Dalam riwayat yang lain juga, jelas menunjukkan bahawa orang yang mencuri dipotong tangannya. Dalam hadith yang lain:

عَنْ جَابِرِ بْنِ عَبْدِ اللَّهِ قَالَ أُتِىَ رَسُولُ اللَّهِ -صلى الله عليه وسلم- بِسَارِقٍ فَقَطَعَ يَدَهُ ثُمَّ أُتِىَ بِهِ قَدْ سَرَقَ فَقَطَعَ رِجْلَهُ ثُمَّ أُتِىَ بِهِ قَدْ سَرَقَ فَقَطَعَ يَدَهُ ثُمَّ أُتِىَ بِهِ قَدْ سَرَقَ فَقَطَعَ رِجْلَهُ ثُمَّ أُتِىَ بِهِ قَدْ سَرَقَ فَأَمَرَ بِهِ فَقُتِلَ.)

(Sunan al-Darqutni, al-hudud wa al-diyyat wa ghayurha,) ,Bermaksud: Daripada Jabir bin Abd Allah katanya, dibawa kepada Rasulullah s.a.w. seorang pencuri lalu dipotong tangannya, kemudian orang itu dibawa kepada Baginda kerana dia telah mencuri maka dipotong kakinya, kemudian orang itu dibawa kepada Baginda kerana dia telah mencuri maka dipotong tangannya, kemudian orang itu dibawa kepada Baginda kerana dia mencuri maka dipotong kakinya, kemudian orang itu dibawa kepada Baginda kerana dia mencuri maka diperintahkan supaya dibunuh.
Mengenai nilai harga barang yang dicuri yang dikenakan hukuman potong tangan ialah satu perempat dinar atau lebih.

Sabda Rasulullah s.a.w.:
تُقْطَعُ الْيَدُ فِى رُبُعِ دِينَارٍ فَصَاعِدًا
.
(Sahih al-Bukhari, kitab al-hudud, bab quwl Allah al-sariq wa al-sariqah)
 Bermaksud: Dipotong tangan (kerana mencuri) pada satu perempat dinar atau lebih.

Dari keterangan di atas menunjukkan bahawa Rasulullah s.a.w. sekalipun Baginda amat kasih sayang dan belas kasihan kepada umatnya tetapi kerana menjalankan perintah Allah, mengikut agama Allah  Baginda telah menjalankan hukuman sebat sebanyak 100 kali kepada mereka yang berzina dan belum berkahwin. Baginda juga memerintahkan supaya dipotong tangan orang yang mencuri, demi untuk menjalankan hukum yang telah ditetapkan oleh Allah.


C.        Ijmak ulamak

Ulamak-ulamak yang muktabar telah ijmak bahawa orang Islam yang belum berkahwin dan melakukan zina adalah disebat 100 kali. Ini ialah kerana ayat al-Quran mengenai perkara ini adalah jelas (sarih). Sebagaimana dimaklumi bahawa al-Quran adalah sabit kebenarannya (qat`i al-Thubut) dan ayat al-Quran mengenai zina adalah jelas kandungannya (qat`I al-dalalah) maka sesiapa yang menolak sesuatu yang sabit melalui ayat al-Quran yang demikian dia bukan orang Islam. Hukuman ini dikuatkan pula dengan hadith qawli dan fi`li. Begitu juga ijmak ulamak yang muktabar  hukum potong tangan bagi orang yang mencuri apabila telah mencukupi syarat-syaratnya kerana ayat al-Quran mengenai perkara ini adalah jelas (sarih). Di samping ayat al-Quran yang jelas maksudnya mengenai hukum mencuri ia dikuatkan lagi dengan hadith qawli dan fi`li.

Maksud agama Islam itu bersifat murunah, mudah, tidak menyusahkan dan sesuai setiap zaman dan ketika.

Agama Islam bersifat murunah, bertolak ansur ini adalah dalam perkara-perkara yang berbentuk ijithadi atau sekurang-kurangnya dalam perkara yang zanni, bukan dalam perkara-prkara yang telah sabit melalui nas yang qatci lagi sarih. Dalam perkara yang akhir ini kita sebagai umat Islam mesti menerima sesuatu yang telah sabit dari nas tersebut tanpa sebarang bantahan, kerana perkara-perkara ini termasuk di dalam rukun iman iaitu beriman kepada al-Quran dan inilah antara yang membezakan di antara ajaran agama Islam dengan yang lainnya.
Islam itu mudah. Ia Islam itu mudah selaras dengan sabda Rasulullah s.a.w.:

« إِنَّ الدِّينَ يُسْرٌ ، وَلَنْ يُشَادَّ الدِّينَ أَحَدٌ إِلاَّ غَلَبَهُ ، فَسَدِّدُوا وَقَارِبُوا وَأَبْشِرُوا ، وَاسْتَعِينُوا بِالْغَدْوَةِ وَالرَّوْحَةِ وَشَىْءٍ مِنَ الدُّلْجَةِ »

(sahih al-Bukhari, kitab al-iman, bab al-din yusr) Bermaksud: Bahawasanya agama itu mudah, seseorang itu tidak menyusahkan terhadap agama kecuali agama akan mengalahkannya, maka berusahalah untuk mendapat yang tepat dan sekurang-kurangnya hampir kepada tepat dan bergembiralah. Mintalah pertolongan dengan waktu pagi, petang dan sebahagian dari al-duljah

Kita mesti memahamai konsep ini dengan benar menurut sebagaimana yang dikehendaki oleh syarak, bukan hanya mengikut fahaman kita sahaja tanpa diasaskan dengan syarak. Maksud agama itu mudah ialah ajaran agama Islam itu adalah mudah dengan erti mudah dijalankan bagi orang yang hendak melaksanakannya. Suruhan sembahyang, puasa dan lain-lainnya termasuklah 100 kali sebat bagi orang yang berzina, potong tangan bagi orang yang mencuri semuanya adalah perkara yang mudah dijalankan bagi orang yang hendak menjalankannya,  kerana ini semua telah pun dijalankan di zaman Rasulullah. Tidak ada satu pun dari suruhan Islam yang sukar untuk dijalankan bagi orang yang hendak melaksanakanya, dan tidak ada satu pun larangan Islam yang tidak dapat ditinggalkan bagi orang yang hendak meninggalkannya.
Selaras dengan ini juga jika terdapat dua perkara satu mudah dan satu lebih mudah maka hendaklah diambil yang lebih mudah. Inilah yang difahami dari hadith berikut:

عَنْ عَائِشَةَ - رضى الله عنها - أَنَّهَا قَالَتْ مَا خُيِّرَ رَسُولُ اللَّهِ - صلى الله عليه وسلم - بَيْنَ أَمْرَيْنِ إِلاَّ أَخَذَ أَيْسَرَهُمَا ، مَا لَمْ يَكُنْ إِثْمًا ، فَإِنْ كَانَ إِثْمًا كَانَ أَبْعَدَ النَّاسِ مِنْهُ ، وَمَا انْتَقَمَ رَسُولُ اللَّهِ - صلى الله عليه وسلم - لِنَفْسِهِ ، إِلاَّ أَنْ تُنْتَهَكَ حُرْمَةُ اللَّهِ فَيَنْتَقِمَ لِلَّهِ بِهَا)

 (Sahih al-Bukhari, kitab al-Manaqib, bab sifat al-Nabi s.a.w.) Bermaksud: Daripada Aishah r.a. katanya: Rasulullah tidak diberi pilihan diantara dua perkara melainkan Baginda akan memilih yang lebih mudah selama tidak membawa kepada dosa. Jika dosa maka Baginda adalah orang yang paling menjauhinya. Rasulullah tidak pernah membalas dendam untuk dirinya, kecuali jika dicabul kehormatan Allah maka Baginda membalas dendam kerana Allah.

Maksud agama Islam itu sesuai setiap zaman dan ketika. Bahawa agama Islam itu adalah sesuai disetiap zaman dan ketika. Jika agama Islam itu sesuai di zaman Rasulullah maka agama Islam itu juga sesuai di zaman ini. Dalam hal ini yang pentingnya ialah manusia itu khususnya umat Islam hendaklah menyesuaikan dirinya dengan kehendak agama, jangan agama itu yang disuruh untuk mengikut kehendak mereka.
Kesimpulan

fi`l amr pada fajlidu dan faqta`u adalah menunjukkan kepada wajib, bukan sunat dan bukan harus. Ia tidak sama dengan fi`l amr pada khudhu zinatakum kerana berasaskan kepada bahasa Arab dan salur galurnya, ayat al-Quran yang lain yang berkaitan dengannya, hadith-hadith sahih yang berbentuk qawli dan fi`li mengenainya yang membawa ijmak ulama muktabar mengenainya. Tafsiran yang menyamakan fajlidu dan faqta`u dengan khudhu zinatkum adalah menyeleweng, sesat dan menyesatkan dan wajib ditolak.



Rujukan:

Al-Quran al-Karim.
Abu Daud, Sulayman bin al-Ash'ath. Sunan Abi Daud, ta`liq
Muhammad Ali Saiyyid. Dimisq: Hims.
Ahmad bin Hambal. 1978/1398. Musnad al-Imam Ahmad. Bayrut: al-
Maktab al-Islami.
Al-Bayhaqi, Ahmad bin al-Husayn. 1355H. al-Sunan al-Kubra. Al-
Hind: Majlis Dairah al-Ma`arif
Al-Bukhari, Muhammada bin Ismail dalam Ibn Hajar. T.T. Sahih al-
Bukhari dalam Fath al-Bari. Al-Qahirah: al-Maktabah al-Salafiyyah.
al-Darimi, Abdullah bin Abd al-Rahman. 1966/1386. Sunan al- al-Darimi, tahqiq al-Sayyid Abd Allah Hashim. Al-Madinah al-Munawwarah: al-Tiba`h al-Fanniyyah al-Muttahidah. al-Darqutni, Ali bin Umar. 1966/1386. Sunan al-Darqutni, tahqiq
Abdullah Hashim. Al-Qahirah.
Al-Dhahabi, Muhammad Husayn. 1978/1397. al-Ittijahat al-Munharifah
Fi Tafsir al-Quran. Al-Qahirah.
Ibn Athir, al-Mubark bin Muhammad. T.T. al-Nihayah Fi Gharib al-
Hadith. Bayrut: al-Maktabah al-Islamiyyah.
Ibn Mjah, Muhammad bin Yazid. T.T. Sunan Ibn Majah, Tahqiq
Muhammad Fuad Abd al-Baqi.
Malik bin Anas.1951/1370. al-Muwtta'. Al-Qahirah: Isa al-babi al-Halabi.
Muslim bin Al-Hajjaj. 1955/1375. Sahih Muslim, tahqiq Muhammad Fuad Abd. Al-Baqi. Al-Qahirah: Isa al-babi al-Halabi.
Al-Nasa’i, Ahmad bin Shu’ayb. T.T. Sunan al-Nasa’i Sharh al-Suyuti. Al-Qahirah: al-Matba’ah al-Misriyyah.
Al-Siyasah al-Usbu`iyyah. Al-Tashri` al-Misri Wa Silatuh Bi al-Fiqh al-Islami. Dalam al-Dhahabi. 1978. al-Qahirah.
Al-Tirmidhi, Muhammad bin `Isa bin Surah. 1937/1356. Sunan al-Tirmidhi, tahqiq Ahmad Muhammad Shakir. Al-Qahirah: Mustafa al-Babi al-Halabi.