SOLAT ATAS KERUSI

Dr. Udah bin Mohsin.

HUKUM SOLAT DI ATAS KERUSI

Setelah meneliti nas-nas yang berkaitan dengan solat secara duduk dan setelah meneliti pandangan-pandangan ulamak mengenai tajuk ini maka menurut penulis: Seseorang yang tidak mampu solat dengan berdiri maka bolehlah baginya solat dengan duduk di atas  lantai. Jika tidak mampu duduk di atas lantai bolehlah baginya solat di atas kerusi. Ini ialah kerana solat di atas lantai itulah yang dilakukan oleh Rasulullah s.a.w. Sahabat-sahabat Baginda, para Tabi`in dan yang selepas mereka, termasuklah imam-imam, para mujtahidin. Ini jugalah yang dibincangkan oleh ulama-ulama Hadith dan fekah silam. Solat dengan duduk di atas kerusi ini boleh dilakukan dan ia didahulukan sebelum mengiring ialah kerana solat dengan duduk di atas kerusi itu adalah juga termasuk dalam solat secara duduk yang dijelaskan oleh Rasulullah s.a.w.: Solatlah dengan berdiri jika tidak mampu maka duduk. Duduk itu samaada di lantai atau di atas kerusi kedua-duanya dinamakan duduk (qu`ud). Ia dikemudiankan dari duduk di atas lantai kerana  ia tidak dilakukan oleh Rasulullah s.a.w., para Sahabat dan seterusnya ulama-ulama besar setelah mereka, termasuklah ulama-ulama ahli ijtihad. Ia didahulukan dari mengiring kerana ia masih termasuk dalam makna duduk (qu`ud) sebagaimana yang telah diterangkan di atas. Oleh itu ia lebih menyerupai kepada duduk di atas lantai berbanding dengan mengiring. Solat dengan duduk ini juga telah diharuskan oleh ramai di kalangan ulama masa kini. Ia juga lebih mudah untuk bangun bagi qiyam, iktidal dan rukuk berbanding dengan mengiring.

Perhatian:
Bagi orang yang bersolat dengan duduk di atas lantai
Seorang yang bersolat dengan duduk di atas lantai, Jika dia mampu bertakbiratulihram dengan berdiri wajib dilakukan takbiratulihram itu dengan berdiri. jika dia melakukannya dengan duduk tidak sah solatnya. Begitu juga jika dia mampu rukuk dengan berdiri wajib baginya rukuk dengan berdiri. Begitu juga dengan iktidal dan sujud, jika dia mampu untuk melakukan seperti biasa maka wajib baginya melakukan seperti biasa.
Jika dia tidak mampu berdiri dia bertakbiratulihram dengan duduk. Begitulah dengan perbuatan-perbuatan yang lain. Sebagaimana telah dibincangkan sebelum ini.

Bagi orang yang solat dengan duduk di atas kerusi
seseorang yang bersolat dengan duduk di atas kerusi, Jika dia mampu bertakbiratulihram dengan berdiri wajib dilakukan takbiratulihram itu dengan berdiri, jika dia melakukannya dengan duduk tidak sah solatnya. Begitu juga jika dia mampu rukuk dengan berdiri wajib baginya rukuk dengan berdiri. Begitu juga dengan iktidal dan sujud jika dia mampu untuk melakukan seperti biasa maka wajib baginya melakukan seperti biasa.
Jika dia tidak mampu berdiri, tidak mampu sujud di atas lantai, maka dia mengerjakan qiyam, rukuk, iktidal, sujud, duduk di antara dua sujud dan tasyahhud dengan duduk di atas kerusi.

Untuk rukuk
Sekurang-kurang rukuk bagi orang yang sembahyang duduk ialah bahawa dia tunduk ke bumi sekadar dahinya bersetentangan dengan belakang lututnya. Adapun yang paling sampurna ialah dia tunduk ke bumi sekira-kira dahinya bersetentagan dengan tempat sujudnya. Ini telah dibincang sebelum ini ketika membincangkan solat dengan duduk.

Untuk sujud
Jika orang yang bersolat dengan duduk di atas kerusi itu mampu sujud seperti biasa dia wajib melakukannya.
Jika tidak mampu, dia hendaklah menundukkan kepalanya seberapa yang terkebawah hampir dengan lantai dan kedua-dua tangannya di atas lantai. Kerana anggota sujud itu adalah dahi, kedua-dua tangan, kedua-dua jari-jari kaki dan kedua-dua lutut. Jika tidak mampu, maka hendaklah dilakukan sekadar yang dia mampu.

Jika tidak boleh membongkokkan badan untuk rukuk dan sujud
Jika orang yang mengerjakan solat itu tidak mampu  membongkokkan badan untuk rukuk dan sujud maka dia hendaklah menundukkan badannya untuk rukuk sehingga kadar sekurang-kurang rukuk dan bagi sujud hendaklah lebih dari itu mengikut semampunya. Jika tidak mampu juga untuk tunduk sekadar sekurang-kurang rukuk maka lakukanlah sekadar yang boleh, adalah tidak mengapa jika sujudnya sama dengan rukuknya.