بسم الله الرحمن الرحيم. الحمد لله رب العالمين. والصلاة والسلام على أشرف المرسلين سيدنا محمد وعلى آله وأصحابه أجمعين.
Menyambut Hari Raya Fitri
Ramadhan yang penuh barkat, diisi dengan berbagai-bagai amal salih. Sembahyang fardu, sembahyang rawatib, sembahyang terawih, dan sembahyang-sembahyang sunat yang lain, di samping berpuasa. Juga bersedekah samada yang wajib atau yang sunat. Juga tadarrus dan membaca al-Quran, zikir, selawat dan doa. Setengah daripada kita pula, bangun pada malam Ramadhan khususnya pada 10 malam yang akhir untuk qiyam al- layl di masjid. Semoga Allah jadikan kita dari kalangan orang yang bertakwa dan semoga Allah kurniakan kita laylah al-qadr. Amin, Ya Rab al-`Alamin.
Orang yang bertakwa, termasuk orang yang dikurniakan Allah laylah al-qadr dia akan benar-benar tunduk kepada Allah mengerjakan segala perintah-perintahNya dan benar-benar tunduk kepada Allah, dengan melaksanakan segala perintah-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya. Sesungguhnya semua bentuk amal ibadah yang kita lakukan dalam bulan Ramadhan, sembahyang, puasa, zakat, sedekah, tadarrus al-Quran, membaca al-Quran, zikir, selawat, doa dan lain-lain, semuanya adalah membentuk pelakunya menjadi insan yang bertakwa, iaitu insan yang melaksanakan segala perintah Allah dan meninggalkan segala larangan-Nya, di sepanjang hidupnya, samada dalam bulan Ramadhan atau pada bulan-bulan yang lain, sehinggalah dia meninggal dunia. Insan yang bertakwa faham tuntutan ibadah-ibadah yang dilakukan, dan sentiasa melaksanakan tuntutan ibadah-ibadah tersebut. Dengan itu ibadah-ibadah yang dilakukan itu mempunyai kesan yang amat baik terhadap dirinya.
Mengenai sembahyang Allah berfirman:
{وَأَقِمِ الصَّلَاةَ إِنَّ الصَّلَاةَ تَنْهَى عَنِ الْفَحْشَاءِ وَالْمُنْكَرِ } [العنكبوت : 45
Bermaksud: Dan hendaklah kamu mendirikan sembahyang, sesungguhnya sembahyang itu menegah dari fahsha' dan mungkar.
Dengan ini sembahyang menuntut pelakunya menjauhi fahsha' dan mungkar. Fahsha’ adalah dosa-dosa besar seperti zina. Manakala mungkar pula adalah sesuatu yang dilarang oleh syarak, samada melakukan perkara yang dilarang seperti minum arak, atau meninggalkan yang disuruh, seperti tidak mengerjakan sembahyang fardu. Mungkar merangkumi segala bentuk dosa yang besar dan yang lainnya.
Mengenai puasa Allah berfirman:
{يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُتِبَ عَلَيْكُمُ الصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى الَّذِينَ مِنْ قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ } [البقرة : 183]
Bermaksud: Wahai mereka yang beriman difardhukan ke atas kamu puasa sebagaimana difardhukan ke atas mereka yang sebelum kamu, mudah-mudahan kamu bertakwa.
Sifat orang yang bertakwa adalah melaksanakan segala perintah Allah s.w.t. dan meninggalkan segala larangan-Nya. Ibadah puasa menuntut/menyuruh pelakunya menjadi orang yang bertakwa.
Mengenai puasa juga Rasulullah s.a.w. bersabda:
الصِّيَامُ جُنَّةٌ ، فَلاَ يَرْفُثْ وَلاَ يَجْهَلْ. )صحيح البخارى، الصوم)
Bermaksud: Puasa itu adalah perisai, oleh itu maka janganlah orang yang berpuasa itu melakukan perkara keji dan melakukan perbuatan orang jahil.
Maksud perisai ialah alat yang boleh menyelamatkan tuannya dari terkena dosa dan menyelamatkan tuannya dari dimasukkan ke dalam neraka. Dengan itu sepatutnya puasa yang kita lakukan menegah kita dari melakukan dosa dan menjauhkan kita dari neraka.
Mengenai zakat dan sedekah
Firman Allah:
{خُذْ مِنْ أَمْوَالِهِمْ صَدَقَةً تُطَهِّرُهُمْ وَتُزَكِّيهِمْ بِهَا } [التوبة : 103]
Bermaksud: Ambillah dari harta mereka sebagai sedekah yang membersih dan menyucikan mereka dengannya.
Ayat ini menunjukkan bahawa sedekah itu menyucikan tuannya. Orang yang telah suci sepatutnya menjaga dari melakukan maksiat.
Mengenai zikir, selawat dan do`a
Firman Allah:
{فَاذْكُرُونِي أَذْكُرْكُمْ وَاشْكُرُوا لِي وَلَا تَكْفُرُونِ} [البقرة : 152]
Bermaksud: Maka hendaklah kamu ingat kepada Aku nescaya Aku akan ingat kepada kamu, dan hendaklah kamu bersyukur kepada Aku dan jangan sekali-kali kamu kufur kepada-Ku.
Seseorang yang ingat kepada Allah, dia tidak akan derhaka kepada-Nya. Derhaka kepada Allah bererti dia tidak syukur kepada-Nya.
Orang yang berselawat ke atas Rasul sepatutnya dia mestilah mentaati Rasul, dengan melaksanakan suruhannya dan meninggalkan larangannya. Bagaimana kita berselawat kepada Rasulullah s.a.w. tetapi kita tidak mematuhi suruhan dan larangannya.
Orang yang bergelumang dengan maksiat, doanya tidak diperkenankan. Ini boleh diperhatikan dari nas berikut:
أَيُّهَا النَّاسُ إِنَّ اللَّهَ طَيِّبٌ لاَ يَقْبَلُ إِلاَّ طَيِّبًا وَإِنَّ اللَّهَ أَمَرَ الْمُؤْمِنِينَ بِمَا أَمَرَ بِهِ الْمُرْسَلِينَ فَقَالَ يَا أَيُّهَا الرُّسُلُ كُلُوا مِنَ الطَّيِّبَاتِ وَاعْمَلُوا صَالِحًا إِنِّى بِمَا تَعْمَلُونَ عَلِيمٌ) وَقَالَ (يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُلُوا مِنْ طَيِّبَاتِ مَا رَزَقْنَاكُمْ). ثُمَّ ذَكَرَ الرَّجُلَ يُطِيلُ السَّفَرَ أَشْعَثَ أَغْبَرَ يَمُدُّ يَدَيْهِ إِلَى السَّمَاءِ يَا رَبِّ يَا رَبِّ وَمَطْعَمُهُ حَرَامٌ وَمَشْرَبُهُ حَرَامٌ وَمَلْبَسُهُ حَرَامٌ وَغُذِىَ بِالْحَرَامِ فَأَنَّى يُسْتَجَابُ لِذَلِكَ.(صحيح مسلم ، الزكاة)
Bermaksud: Wahai manusia! Bahawasanya Allah itu baik. Dia tidak menerima kecuali yang baik. Bahawasanya Allah menyuruh orang mukmin apa yang Dia menyuruh kepada para rasul, Allah berfirman kepada para rasul: Wahai para rasul! Makanlah dari yang baik-baik, dan beramallah soleh, bahawasanya Aku amat mengetahui apa yang kamu lakukan. Dan Allah berfirman kepada orang-orang mukmin. Wahai orang-orang mukmin! Makanlah daripada yang baik-baik apa yang telah Kami rezekikan kamu. Kemudian Baginda menyebut seseorang lelaki yang bermusafir lama, kusut masai, berdebu, menadahkan kedua-dua tangannya ke langit, wahai Tuhanku! wahai Tuhanku! Sedangkan makanannya daripada yang haram, minumannya daripada yang haram pakaiannya dari yang haram dan diberi makan dengan yang haram maka bagaimana dia diperkenankan.
Apa yang difahamkan dari hadith ini seseorang yang makanannya haram atau diperolehi dari yang haram, seseorang yang minumannya dari perkara yang haram atau diperolehi dari yang haram, seorang yang pakaiannya dari perkara yang diharamkan seperti lelaki memakai kalong emas atau memakai sutra atau memakai pakaian yang dihasilkan dari sumber yang haram maka doanya tidak diperkenankan oleh Allah. Begitu juga dengan tempat tinggal yang dihasilkan dari harta yang haram atau lainnya.
Mengenai membaca dan tadarus al-Quran Allah berfirman:
{وَنَزَّلْنَا عَلَيْكَ الْكِتَابَ تِبْيَانًا لِكُلِّ شَيْءٍ وَهُدًى وَرَحْمَةً وَبُشْرَى لِلْمُسْلِمِينَ } [النحل : 89
Bermaksud: Dan Kami turunkan ke atasmu al-Quran, menerangkan bagi setiap sesuatu, petunjuk, rahmat dan kegembiraan bagi kaum muslimin.
Firman-Nya lagi:
{شَهْرُ رَمَضَانَ الَّذِي أُنْزِلَ فِيهِ الْقُرْآنُ هُدًى لِلنَّاسِ وَبَيِّنَاتٍ مِنَ الْهُدَى وَالْفُرْقَانِ} [البقرة : 185]
Bermaksud: Bulan Ramadhan yang diturunkan padanya al-Quran sebagai petunjuk bagi manusia, dan penjelasan mengenai petunjuk, dan pemisah (antara yang hak dengan yang batil).
Dengan ini yang menjadi ukuran bagi kebenaran adalah al-Quran. Betul kata al-Quran maka betullah ia. Sebaliknya, salah kata al-Quran maka salahlah ia. Orang yang hanya membaca al-Quran tetapi tidak mahu menjadikannya sebagi panduan hidupnya maka al-Quran akan menemplaknya.
Sabda Rasulullah s.a.w.:
وَالْقُرْآنُ حُجَّةٌ لَكَ أَوْ عَلَيْكَ
صحيح مسلم))
Bermaksud: al-Quran itu hujjah bagimu atau hujjah ke atasmu.
Hujjah bagimu bererti memberi pertolongan kepadamu, manakala hujjah ke atasmu ialah menempelakmu atau melaknatmu. Tidak beramal dengan al-Quran, maka al-Quran akan menempelakmu.
Allah dan Rasul-Nya telah memerintahkan kita banyak perkara dan melarang kita banyak perkara. Kita wajib melaksanakan segela perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Sempena dengan kedatangan shawal ini penulis akan hanya menyentuh beberapa perkara sahaja antaranya.
Di antara perkara-perkara yang dilarang oleh Allah dan Rasul-Nya ialah:
Dilarang membazir dan melampau.
Membazir ialah membelanjakan harta pada jalan yang haram. Lima sen kita belanjakan harta kita pada jalan haram adalah adalah termasuk di dalam membazir. Membazir adalah amat dilarang. Firman Allah:
وَلَا تُبَذِّرْ تَبْذِيرًا (26) إِنَّ الْمُبَذِّرِينَ كَانُوا إِخْوَانَ الشَّيَاطِينِ وَكَانَ الشَّيْطَانُ لِرَبِّهِ كَفُورًا (27) } [الإسراء : 26 ، 27
Bermaksud: . Dan janganlah engkau terlampau membazir, bahawasanya orang-orang yang membazir itu adalah saudara syaitan dan syaitan itu adalah ingkar terhadap Tuhannya.
Marilah kita renungi jika kita belanjakan harta kita untuk beli mercun atau yang seumpamanya dan membeli untuk membeli rokok. Apatah lagi kalau kita belanjakan harta kita untuk membeli arak atau untuk pergi kelab malam.
Selain dari membazir perkara yang sering dilakukan ialah melampau-lampau di dalam perkara yang asalnya harus. Firman Allah:
{وَكُلُوا وَاشْرَبُوا وَلَا تُسْرِفُوا إِنَّهُ لَا يُحِبُّ الْمُسْرِفِينَ (31} [الأعراف : 31]
Bermaksud: Dan hendaklah kamu makan dan minum dan jangan kamu melampau-lampau, bahawasanya Allah tidak suka kepada orang yang melampau-lampau.
Melampau adalah dalam perkara yang asalnya harus, tetapi melebihi dari batasan yang diizinkan. Melampau-lampau dalam makan minum, melampau-lampau dalam pakaian, melampau-lampau dalam perhiasan, melempau-lampau dalam menghiasi rumah, melampu-lampau dalam membeli peralatan dalam rumah, kerusi meja dan lain-lain. Perkara ini mesti dijauhi.
Di antara perkara yang dilarang juga ialah mendedahkan aurat. Adalah diwajibkan ke atas sekalian orang mukmin samada lelaki atau perempuan menutup aurat. Wajib bagi perempun tidak memperlihatkan aurat di hadapan lelaki ajnabi, yang lain dari muka dan pergelangan tangan. Sabda Rasulullah s.a.w. :
عنْ عَائِشَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا
أَنَّ أَسْمَاءَ بِنْتَ أَبِي بَكْرٍ دَخَلَتْ عَلَى رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَعَلَيْهَا ثِيَابٌ رِقَاقٌ فَأَعْرَضَ عَنْهَا رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَقَالَ يَا أَسْمَاءُ إِنَّ الْمَرْأَةَ إِذَا بَلَغَتْ الْمَحِيضَ لَمْ تَصْلُحْ أَنْ يُرَى مِنْهَا إِلَّا هَذَا وَهَذَا وَأَشَارَ إِلَى وَجْهِهِ وَكَفَّيْهِ
(سنن أبى داود)
Bermaksud: Daripada ‘Aisah r.a. bahawasanya Asma’ binti Abu Bakar masuk menemui Rasulullah s.a.w. dia memakai pakaian yang nipis lalu Baginda berpaling daripadanya, lalu Baginda bersabda: Wahai Asma’ bahawasanya seseorang perempuan itu apabila telah berhaid tidak boleh dilihat daripadanya kecuali ini dan ini, Baginda menunjukkan kepada muka dan pergelangan tangan Baginda.
Hadis ini jelas menunjukkan bahawa semua badan perempun adalah aurat yang tidak boleh dilihat kecuali muka dan pergelangan tangan. Maksud tidak dilihat, bukan hanya memada dengan ditutup sahaja, tetapi hendaklah tidak menampakkan bentuk badan. Terdapat sesetengah kaum wanita, anak dara, atau bukan anak dara, yang auratnya ditutup tetapi bentuk anggotanya jelas. Ini kerana pakainnya ketat. Yang seumpama ini juga termasuk tidak menutup aurat. Setengah mereka pula lehernya terdedah, ini jelas tidak menutup aurat. Setengah mereka pula rambut hadapannya terdedah, ini juga tidak menutup aurat.
Di antara perkara yang dilarang juga ialah berandam.
Sabda Rasulullah s.a.w.
لَعَنَ اللَّهُ الْوَاشِمَاتِ وَالْمُسْتَوْشِمَاتِ وَالنَّامِصَاتِ وَالْمُتَنَمِّصَاتِ وَالْمُتَفَلِّجَاتِ لِلْحُسْنِ الْمُغَيِّرَاتِ خَلْقَ اللَّهِ. )صحيح مسلم، اللباس)
Bermaksud: Allah melaknat perempuan yang menatu dan perempuan yang ditatukan, perempuan yang mencabut bulu muka dan perempuan yang dicabut bulu mukanya, dan perempuan yang mempangur gigi untuk kecantikkan yang mengubah kejadian Allah.
Di antara perkara yang dilarang dalam hadith ini ialah mencabut bulu muka dan mempangur gigi supaya kelihatan cantik seperti gigi perempun muda. Menurut al-Imam Nawawi: Membuang bulu di muka adalah haram kecuali jika tumbuh janggut atau misai bagi wanita maka tidak haram membuangnya. (al-Nawawi t.t. 12: 106).
Nas yang lain menunjukkan andaman itu dilarang ialah sabda Rasulullah s.a.w.
« صِنْفَانِ مِنْ أَهْلِ النَّارِ لَمْ أَرَهُمَا قَوْمٌ مَعَهُمْ سِيَاطٌ كَأَذْنَابِ الْبَقَرِ يَضْرِبُونَ بِهَا النَّاسَ وَنِسَاءٌ كَاسِيَاتٌ عَارِيَاتٌ مُمِيلاَتٌ مَائِلاَتٌ رُءُوسُهُنَّ كَأَسْنِمَةِ الْبُخْتِ الْمَائِلَةِ لاَ يَدْخُلْنَ الْجَنَّةَ وَلاَ يَجِدْنَ رِيحَهَا وَإِنَّ رِيحَهَا لَيُوجَدُ مِنْ مَسِيرَةِ كَذَا وَكَذَا ».(صحيح مسلم، الباس والزينة)
Bermaksud: Dua golongan dari ahli neraka yang aku belum melihatnya, satu kaum yang bersama-sama alat penyebat seperti ekor lembu yang mereka gunakan untuk menyebat orang ramai, satu golongan lagi ialah wanita yang berpakaian, (tetapi kelihatan) telanjang, linggang lingguk, kepala mereka sepeti bonggol unta yang tunduk, mereka tidak masuk syurga, dan mereka tidak dapat baunya sedangkan baunya dapat dirasai dari jauh perjalanan begini, begini.
Sabda Baginda yang bermaksud: wanita yang berpakaian, (tetapi kelihatan) telanjang, lenggan lengguk, kepala mereka sepeti bonggol unta yang tunduk adalah menunjukkan kepada berhias yang berlebih-lebihan, yang termasuk dalam andaman iaitu tidak menutup aurat, kepalanya dihias dengan berbagai-bagi hiasan sehingga kelihatan berbonggol dan berat, orang yang berbuat demikian tidak mencium bau syurga. Ini menunjukkan bahawa perbuatan ini adalah amat dilarang. Dengan ini andaman yang termasuk di dalamnya mendedahkan aurat, membuang bulu kening, bermekap yang berlebihan dan memakai rambut palsu adalah jelas haram dan termasuk dalam ancaman yang disebutkan dalam hadith di atas.
Di antara perkara yang dilarang ialah pergaulan bebas. Pergaulan bebas tanpa batasan syarak, apatah lagi yang disertai dengan pegang memegang, sentuh menyentuh, dengan gelak ketawa di kalangan yang bukan mahram adalah jelas haram. Ini bukan perbuatan orang yang bertakwa.
Di antara perkara yang dilarang ialah menonton filem-filem lucah, tidak sopan atau sebagainya. Filem-filem lucah, atau gambar wanita separuh bogel adalah jelas haram ditonton.
Muzik yang disertai dengan penyayi wanita, tidak menutup aurat, melaungkan seni kata yang bertentangan akhlak Islam, seperti seni kata yang membangkitkan nafsu dan dihadapan lelaki ajnabi adalah jelas haram. Muzik yang disertai dengan penyayi wanita yang bertudung yang dianggap menutup aurat tetapi senikata yang dilaungkannya bertentangan dengan akhlak Islam seperti seni kata yang membangkitkan nafsu syahwat adalah haram.
Di antara perkara yang dilarang juga ialah membuang masa, termasuk lepak.
بوَالْعَصْرِ (1) إِنَّ الْإِنْسَانَ لَفِي خُسْرٍ (2) إِلَّا الَّذِينَ آمَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ وَتَوَاصَوْا بِالْحَقِّ وَتَوَاصَوْا بِالصَّبْرِ (3
(سورة العصر)
Bermaksud: Demi masa, bahawasanya manusia itu sesungguhnya di dalam kerugian, kecuali mereka yang beriman dan beramal salih, mereka yang berpesan-pesan dengan kebenaran dan mereka yang berpesan-pesan dengan kesabaran
Di dalam ayat di atas Allah telah bersumpah dengan masa. Allah bersumpah itu, menunjukkan perkara itu adalah amat penting, yang kita semua sebagai hamba-Nya mesti mengambil perhatian. Setelah Allah bersumpah dengan masa, lalu Allah menjelaskan, bahawasanya manusia itu berada di dalam kerugian, kecuali, iaitu yang tidak rugi, mereka ialah orang yang beruntung. Yang beruntung itu ialah orang-orang yang beriman, beramal salih, berpesan-pesan dengan kebenaran dan berpesan-pesan dengan kesabaran. Selain dari mereka yang mempunyai ciri-ciri di atas adalah rugi. Kita semua tidak mahu rugi, bahkan kita semua hendak mencari keuntungan. Orang yang beruntung ialah yang mendapat kebahagian di dunia dan akhirat. Inilah yang sentiasa kita do`akan dengan melafazkan:
رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً وَفِي الْآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ (201) [البقرة : 201]
Bermaksud: Wahai Tuhan kami berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan peliharalah kami dari azab neraka.
Oleh kerana itu hargailah masa, jangan disia-siakan.
Sempena menyambut bulan Syawal ini penulis hanya memperkatakan perkara-perkara di atas yang merupakan sebahagian kecil sahaja dari perkara-perkara yang dilarang oleh Allah dan Rasul-Nya, maka di sana banyak lagi perkara-perkara yang dilarang, apatah lagi yang merupakan dosa besar, seperti minum arak, judi, zina dan lain-lain. Semua perkara-perkara yang dilarang oleh syarak kita sebagai orang mukmin yang mengharapkan keredhaan Allah dan mengharapkan untuk menjadi orang yang benar-benar bertakwa hendaklah menjauhinya.
Mengenai suruhan-suruhan Allah pula, di antara perkara yang di wajibkan oleh Allah kita melakukannya ialah:
Bersifat Ikhlas. Ikhlas ialah melakukan sesuatu kebaikan hanya semata-mata kerana Allah. Apabila seseorang itu melakukan kebaikan semata-mata kerana Allah, bukan kerana untuk mendapat habuan dunia, seperi mencari nama, pangkat atau sebagainya maka kita terus melakukan kebaikan itu, kerana semua perbuatan itu dilihat dan diketahui oleh Allah dan Allah memberi balasan yang sebaik-baiknya kepadanya. Dengan demikian dia terus melakukan kebaikan itu sampailah akhir hayatnya. Begitu juga dia meninggalkan kejahatan adalah semata kerana Allah, dia yakin segala gerak-gerinya sentiasa diketahui oleh Allah. Dengan demikian dia terus meninggalkan kejahatan di mana dia berada.
Diantara nas yang menyuruh kita ikhlas di dalam amalan ialah sabda Rasulullah s.a.w.
قَالَ اللَّهُ تَبَارَكَ وَتَعَالَى أَنَا أَغْنَى الشُّرَكَاءِ عَنْ الشِّرْكِ مَنْ عَمِلَ عَمَلًا أَشْرَكَ فِيهِ مَعِي غَيْرِي تَرَكْتُهُ وَشِرْكَهُ
صحيح مسلم))
Bermaksud: Allah sw.t. berfirman (di dalam hadith qudsi): Aku adalah adalah amat terkaya dari disekutukan, maka sesiapa yang melakukan amalan yang dia menyekutukan amalan itu Aku dengan yang lain, Aku tinggalkan kepada sekutunya.
Nas di atas jelas menunjukkan bahawa sesuatu amalan yang dilakukan bertujuan kerana Allah dan yang lain-Nya Allah tidak terima. Apatah lagi kalau seseorang itu melakukan amalan bertujuan hanya mencari nama atau sebagainya, jelas tidak diterima oleh Allah. Marilah kita bersifat ikhlas dalam semua amalan yang kita lakukan ia akan diterima oleh Allah dan menjadikan orang itu terus melakukan amalan itu sampai akhir hayatnya.
Di antara perkara-perkara yang kita di suruh melakukan ialah nasihat menasihati di kalangan orang mukmin. Sabda Rasulullah s.a.w.
عَنْ جَرِيرِ بْنِ عَبْدِ اللَّهِ قَالَ
بَايَعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَلَى إِقَامِ الصَّلَاةِ وَإِيتَاءِ الزَّكَاةِ وَالنُّصْحِ لِكُلِّ مُسْلِم
صحيح البخاري))
Bermaksud: Daripada Jarir bin Abdullah katanya: Aku bay`ahn Rasulullah s.a.w. untuk mendirikan sembahyang, mengeluarkan dan nasihat untuk setiap Muslim.
Hadith ini menunjukkan bahawa nasihat menasihati itu adalah perkara yang penting dalam Islam. Ia adalah selaras dengan firman Allah:
وَالْعَصْرِ (1) إِنَّ الْإِنْسَانَ لَفِي خُسْرٍ (2) إِلَّا الَّذِينَ آمَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ وَتَوَاصَوْا بِالْحَقِّ وَتَوَاصَوْا بِالصَّبْر (سورة العصر)
Bermaksud: Demi masa, bahawasanya manusia itu sesungguhnya di dalam kerugian, kecuali mereka yang beriman dan beramal salih, mereka yang berpesan-pesan dengan kebenaran dan mereka yang berpesan-pesan dengan kesabaran.
Di antara perkara yang diwajibkan ke atas kita juga ialah menyuruh dengan ma`ruf dan menegah kemungkaran.
Firman Allah:
وَلْتَكُنْ مِنْكُمْ أُمَّةٌ يَدْعُونَ إِلَى الْخَيْرِ وَيَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَيَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنْكَرِ وَأُولَئِكَ هُمُ الْمُفْلِحُونَ (104} [آل عمران : 104]
.
Bermaksud: Hendaklah ada dari kalangan kamu satu kumpulan yang menyeru kepada kebaikan, menyuruh dengan yang makruf dan menegah kemungkaran. Merekalah orang yang benar-benar berjaya.
Dalam ayat ini Allah s.w.t. memerintahkan, mestilah ada dari kalangan umat ini orang yang menyuruh dengan ma’ruf dan yang menegah kemungkaran. Ma’ruf adalah perkara-perkara yang telah diperkenankan oleh syara`, seperti mengerjakan sembahyang fardhu, puasa di bulan Ramadan, ihsan kepada dua ibu bapa, melarang minum arak, melarang berzina, melarang makan riba, melarang rasuah dan lain-lain. Adapun mungkar ialah perkara yang diingkari oleh syara`, seperti tidak mengerjakan sembahyang fardhu, tidak berpuasa di bulan Ramadan, derhaka kepada dua ibu bapa, melakukan zina, makan riba dan melakukan rasuah.
Berkaitan dengan menyuruh dengan ma`ruf dan menegah kemungkaran juga sabda Rasulullah s.a.w.
منْ رَأَى مِنْكُمْ مُنْكَرًا فَلْيُغَيِّرْهُ بِيَدِهِ فَإِنْ لَمْ يَسْتَطِعْ فَبِلِسَانِهِ فَإِنْ لَمْ يَسْتَطِعْ فَبِقَلْبِهِ وَذَلِكَ أَضْعَفُ الْإِيمَانِ
صحيح مسلم))
Bermaksud: Sesiapa dari kalangan kamu yang melihat kemungkaran maka hendaklah dia menegah dengan tangannya, jika tidak mampu hendaklah dengan lidahnya, dan jika tidak mampu hendaklah dengan hatinya. Dengan hati itu merupakan selemah-lemah iman.
Di antara perkara yang diwajibkan kepada kita juga ialah menghubungkan silaturrahim. Silaturrahim ialah hubungan kekeluargaan. Kita diperintahkan supaya berbuat baik dengan seluruh kaum kerabat kita, apatah lagi dengan orang yang paling terdekat dengan kita iatu ibu dan bapa kita.
Di antara nas mengenai silaturrahim ialah firman Allah:
{وَبِالْوَالِدَيْنِ إِحْسَانًا إِمَّا يَبْلُغَنَّ عِنْدَكَ الْكِبَرَ أَحَدُهُمَا أَوْ كِلَاهُمَا فَلَا تَقُلْ لَهُمَا أُفٍّ وَلَا تَنْهَرْهُمَا وَقُلْ لَهُمَا قَوْلًا كَرِيمًا (23) وَاخْفِضْ لَهُمَا جَنَاحَ الذُّلِّ مِنَ الرَّحْمَةِ وَقُلْ رَبِّ ارْحَمْهُمَا كَمَا رَبَّيَانِي صَغِيرًا (24)} [الإسراء : 23 ، 24]
Bermaksud: dan tehadap dua ibu bapa hendaklahkamu berbuat baik. Jika salah satu dari kedua-duanya atau kedua-duanya sekali sampai kepada umur tua maka janganlah engkau kata kepada kedua-duanya (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan uh, dan jangan sekali-kali kamu tengking kedua-duanya dan berkatalah kepada kedua-duanya perkataan yang mulia. Dan hendaklah engkau merendahkan diri kerana sayang (kepada kedua-duanya) dan berdoalah, wahai Tuhanku! Kasihilah kedua-duanya sebagaimana kedua-duanya memelihara aku semasa kecil.
Nas al-Quran di atas jelas menyuruh kita semua supaya berbuat baik kepada kedua-dua ibu bapa, merendah diri dan sayang kepada mereka. Apabila mereka telah tua hendaklah bercakap kepada mereka dengan percakapan yang mulia, jangan bercakap kasar kepad kedua-duanya walaupun dengan perkataan “uh” dan jangan sekali-kali menengking kedua-duanya, bahkan doakan kedua-duanya.
Dalam hadith ada menyatakan:
عنْ أَنَسٍ – رضى الله عنه – قَالَ سُئِلَ النَّبِىُّ – صلى الله عليه وسلم – عَنِ الْكَبَائِرِ قَالَ « الإِشْرَاكُ بِاللَّهِ ، وَعُقُوقُ الْوَالِدَيْنِ، وَقَتْلُ النَّفْسِ، وَشَهَادَةُ الزُّورِ. (صحيح البخارى، الشهادات)
Bermaksud: Daripada Anas r.a. katanya, Nabi s.a.w. ditanya mengenai dosa-dosa besar, jawab Baginda: Menyengutukan Allah, derhaka kepada dua ibu bapa, membunuh orang dan saksi palsu.
Apabila kita disuruh berbuat baik dengan ahli keluarga kita maka jangan sekali-kali kita memutuskan hubungan silaturrahim kerana perbuatan ini amat dilarang.
Rasulullah bersabda:
لَا يَدْخُلُ الْجَنَّةَ قَاطِعٌ
صحيح البخاري))
Bermaksud: Tidak masuk syurga orang yang memutuskan silaturrahim.
Hadith di atas adalah menunjukkan betapa besarnya kesalahan orang yang memutuskan hubungan silaturrahim. Bagi orang yang terus untuk menghubungkan silaturrahim tetapi kerabat yang dihubungkan silaturrahim itu engan dan dia terus menghubungkannya dia mendapat darjat yang tinggi di sisi Allah.
عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ
أَنَّ رَجُلًا قَالَ يَا رَسُولَ اللَّهِ إِنَّ لِي قَرَابَةً أَصِلُهُمْ وَيَقْطَعُونِي وَأُحْسِنُ إِلَيْهِمْ وَيُسِيئُونَ إِلَيَّ وَأَحْلُمُ عَنْهُمْ وَيَجْهَلُونَ عَلَيَّ فَقَالَ لَئِنْ كُنْتَ كَمَا قُلْتَ فَكَأَنَّمَا تُسِفُّهُمْ الْمَلَّ وَلَا يَزَالُ مَعَكَ مِنْ اللَّهِ ظَهِيرٌ عَلَيْهِمْ مَا دُمْتَ عَلَى ذَلِكَ
صحيح مسلم - (12 / 41
Bermaksud: Daripada Abu Hurayrah bahawa seorang lelaki berkata: Wahai Rasulullah! Bahawasanya aku mempunyai kerabat yang aku menghubungkan Silaturrahim kepada mereka tetapi mereka memutuskan hubungan Silaturrahim kepadaku, aku berbuat baik kepada mereka tetapi mereka membuat keburukan terhadapku, aku bersabar terhadap perbuatan mereka tetapi mereka melakukan perbuatan orang jahil (perbuatan buruk) terhadapku, maka jawab Rasulullah s.a.w.: Jika engkau sebagaimana yang engkau katakan maka seolah-olah engkau memberi mereka makan pasir yang panas. Engkau sentiasa bersamamu pertolongan dari Allah selama engkau dalam keadaan demikian.
Dari nas-nas di atas menunjukkan kita wajib menghubungkan silaturrahim apatah lagi terhadap ibu bapa, yang wajib kita berbakti kepadanya. Nas di atas juga menunjukkan betapa besar dosa orang yang memutuskan silaturrahim. Seseorang itu disuruh supaya terus menghubongkan silaturrahim kepada kaum kerabatnya sekalipun kepada kaum kerabat yang tidak mahu berbuat baik kepadanya, bahkan melakukan keburukkan kepadanya. Islam bukan setakat menyuruh berbuat baik kepada keluarga yang terdekat dan yang jauh, bahkan menjelaskan semua orang Islam itu adalah bersaudara, tolong menolong dan bantu membantu di antara satu dengan yang lain. Jangan sekali-kali melakukan kezaliman dan penghinaan.
عن أبي هريرة عن النبي صلى الله عليه و سلم قال : من ستر أخاه المسلم في الدنيا ستره الله في الدنيا والأخرة ومن نفس عن أخيه كربة من كرب الدنيا نفس الله عنه كربة من كرب يوم القيامة والله في عون العبد ما كان العبد في عون أخيه
سنن النسائي الكبرى - (4 / 308)
Bermaksud: Daripada Abu Hurayrah daripada Nabi s.a.w.sabdanya: Sesiapa yang menutup keaiban saudaranya di dunia Allah menutup keaibannya di akhirat. Sesiapa yang melepaskan dari saudaranya satu kesusahan dari kesusahan-kesusahan demi Allah melepaskan dia satu kesusahan dari kesusah-kesusahan pada Hari Kiamat. Allah adalah menolong seseorang hamba selama hamba itu menolong saudaranya.
عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ
قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَا تَحَاسَدُوا وَلَا تَنَاجَشُوا وَلَا تَبَاغَضُوا وَلَا تَدَابَرُوا وَلَا يَبِعْ بَعْضُكُمْ عَلَى بَيْعِ بَعْضٍ وَكُونُوا عِبَادَ اللَّهِ إِخْوَانًا الْمُسْلِمُ أَخُو الْمُسْلِمِ لَا يَظْلِمُهُ وَلَا يَخْذُلُهُ وَلَا يَحْقِرُهُ التَّقْوَى هَاهُنَا وَيُشِيرُ إِلَى صَدْرِهِ ثَلَاثَ مَرَّاتٍ بِحَسْبِ امْرِئٍ مِنْ الشَّرِّ أَنْ يَحْقِرَ أَخَاهُ الْمُسْلِمَ كُلُّ الْمُسْلِمِ عَلَى الْمُسْلِمِ حَرَامٌ دَمُهُ وَمَالُهُ وَعِرْضُهُ
صحيح مسلم – (12 / 426
Bermaksud: Daripada Abu Hurayrah katanya: Rasulullah s.a.w. bersabda: Jangan kamu berhasad dengki, jangan kamu menawar dengan harga yang tinggi untuk menipu orang lain, jangan kamu benci membenci, jangan kamu belakang membelakangi, tidak boleh menjual seseorang kamu atas jualan orang lain. Hendaklah kamu menjadi hamba Allah yang bersaudara. Seorang Muslim adalah saudara kepada sesorang Muslim, dia tidak boleh menzaliminya, tidak membiarkannya tanpa memberi pertolongan dan tidak boleh menghinanya. Takwa adalah di sini Baginda mengisyaratkan ke dadanya sebanyak tiga kali. Cukup seseorang itu dikira melakukan kejahatan bahawa dia memandang rendah terhadap saudarnya yang Muslim. Setiap orang Islam terhadap orang Islam yang lain adalah haram, darahnya, hartanya dan kehormatanya.
Dengan demikian kita hendaklah terus menghubungkan silaturrahim dan terus kasih sayang di antara satu dengan yang lain. Jangan sekali-kali menzalimi saudara muslim kita dan jangan sekali-kali menghinanya. Dalam bulan Shawal yang mulia ini kita sibuk menziarahi kaum kerabat dan sahabat handai, walau bagimanapun kesibukan kita jangan sekali-kali meninggalkan sembahyang.
Di antara perkara yang disuruh kita melakukannya ialah ziarah kubur. Tujuan ziarah kubur ialah untuk ingatkan mati yang menjadikan seseorang itu insaf, sedar ke manakah akhir dirinya akan pergi. Ini menjadikan seeorang itu terus menghampirkan dirinya kepada Allah, dengan mentaati-Nya, melaksanakan suruhan-Nya dan meninggalkan larangn-Nya.
Di antara nas yang menyuruh menziarahi kubur ialah sabda Rasulullah s.a.w.:
قَدْ كُنْتُ نَهَيْتُكُمْ عَنْ زِيَارَةِ الْقُبُورِ فَقَدْ أُذِنَ لِمُحَمَّدٍ فِي زِيَارَةِ قَبْرِ أُمِّهِ فَزُورُوهَا فَإِنَّهَا تُذَكِّرُ الْآخِرَةَ
قَالَ وَفِي الْبَاب عَنْ أَبِي سَعِيدٍ وَابْنِ مَسْعُودٍ وَأَنَسٍ وَأَبِي هُرَيْرَةَ وَأُمِّ سَلَمَةَ قَالَ أَبُو عِيسَى حَدِيثُ بُرَيْدَةَ حَدِيثٌ حَسَنٌ صَحِيحٌ
سنن الترمذى، الجنائز))
Bermaksud: Sesungguhnya aku telah menegah kamu dari ziarah kubur, sesungguhnya telah diizinkan bagi Muhammad untuk menziarahi kubur ibunya maka ziarahilah kubur sesungguhnya ia mengingatkan akhirat.
Sabda Baginda lagi:
كُنْتُ نَهَيْتُكُمْ عَنْ زِيَارَةِ الْقُبُورِ فَزُورُوهَا فَإِنَّهَا تُزَهِّدُ فِي الدُّنْيَا وَتُذَكِّرُ الْآخِرَةَ
سنن ابن ماجه، الجنائز))
Bermaksud: Bahawa Rasulullah s.a.w bersabda, aku telah menegah kami dari menziarahi kubur maka ziarahilah ia. Kerana menziarahi kubur itu menzuhudkan di dunia dan mengingatkan akhirat.
Nas yang lain
عَنْ أَنَسٍ قَالَ : نَهَى رَسُولُ اللَّهِ -صلى الله عليه وسلم- فَذَكَرَ لُحُومَ الأَضَاحِىِّ وَالأَوْعِيَةِ وَزِيَارَةِ الْقُبُورِ ، ثُمَّ ذَكَرَ إِذْنَهُ فِيهَا بِطُولِهِ قَالَ :« وَكُنْتُ نَهَيْتُكُمْ عَنْ زِيَارَةِ الْقُبُورِ ثُمَّ بَدَا لِى فَزُورُوهَا فَإِنَّهَا تُرِقُّ الْقَلْبِ وَتُدْمِعُ الْعَيْنَ وَتُذَكِّرُ الآخِرَةَ فَزُورُوا وَلاَ تَقُولُوا هُجْرًا ». {ت} وَكَذَلِكَ رَوَاهُ يَحْيَى بْنُ الْحَارِثِ عَنْ عَمْرٍو.
السنن الكبرى للبيهقي وفي ذيله الجوهر النقي - 4 / 77)
Bermaksud: Daripda Anas katanya: Rasulullah s.a.w. … Aku telah menegah kamu dari ziarah kubur , kemudian ternyata bagiku, oleh itu hendaklah menziarahinya maka sesuggguhnya ia melembutkan hati, mengalirkan air mata dan mengingatkan akhirat.
Sabda Baginda lagi lagi:
نَهَيْتُكُمْ عَنْ زِيَارَةِ الْقُبُورِ ثُمَّ بَدَا لِي أَنَّهَا تُرِقُّ الْقَلْبَ وَتُدْمِعُ الْعَيْنَ وَتُذَكِّرُ الْآخِرَةَ فَزُورُوهَا
مسند أحمد، 21 / 141)
Bermaksud: Aku menegah kamu dari ziraah kubur, kemudian ternyata bagiku bahawasanya ia melembutkan hati, mengalirkan air mata dan mengingatkan akhirat, oleh itu hendaklah kamu menziarahinya.
Dari nas-nas di atas menunjukkan bahawa matlamat ziarah kubur ialah untuk mengingatkan akhirat, zuhud terhadap dunia, melembutkan hati dan menitiskan air mata. Dengan itu ziarah kubur adalah dikehendaki bila-bila masa sahaja khususnya apabila kita lalai terhadap suruhan dan larangan Allah, dengan tidak mengkhususkan hari-hari tertentu atau bulan-bulan tertentu seperti pagi Hari Raya, satu Sawal, selepas sembahyang Hari Raya.
Di atas tadi adalah sebahagian kecil dari perkara-perkara yang disuruh oleh Allah dan Rasul-Nya untuk kita melakukan, sedangkan perkara-perkara yang diperintahkan oleh Allah dan Rasul-Nya kepada kita untuk melakukan adalah amat banyak dan semuanya hendaklah kita laksanakan.
Untuk menyambut Hari Raya `Id al-Fitri, untuk menyambut sebarang hari perayaan, untuk mengadakan sebarang majlis, juga seterusnya untuk menjalani kehidupan harian kita, kita sebagai seorang muslim mesti mempunyai pendirian sendiri, iaitu pendirian yang di asaskan kepada ajaran Allah dan Rasul-Nya, berasaskan kepada al-Quran dan Sunah. Sesuatu yang bertentangan dengan al-Quran dan Sunnah hendaklah ditolak. Oleh itu pergaulan bebas, pendedahan aurat, hiburan yang melanggar batasan syarak, pembaziran di dalam makanan dan minuman, adat-istiadat, cara hidup atau lainnya yang bertentangan dengan syarak, semua perkara-perkara di atas mestilah ditolak dan dijauhi. Janganlah cara kita menghadapi hidup ini hanya mengikut cara hidup orang lain sehingga jika mereka masuk lubang biawak pun kita masuk juga.
وصلى الله على سيدنا محمد وعلى آله وأصحابه اجمعين. والحمد لله رب العالمين.
Rujukan
Al-Quran al-Karim
Abu Daud, Suliman bin al-Ash’ath. T.T. Sunan Abi Daud. Al-Maktabah al-Shamilah.
Ahmad bin Hambal. 1978/1397. Musnad al-Imam Ahmad bin Hambal. Bayrut: al-Maktab al-Islami.
Ahmad bin Hambal. 1999/1420. Musnad al-Imam Ahmad bin Hambal, tahqiq al-Arnawut. Muassasah al-Risalah
Al-Bukhari, Muhammad bin Ismail. T.T. al-Jami` al-Sahih al-Musnad Min Hadith Rasul Allah S.A.W. Wa Sunanih Wa Ayyamihn (Sahih al-Bukahri). Al-Maktabah al-Shamilah.
Al-Bayhaqi, Ahmad bin al-Husayn. 1344H. al-Sunan al-Kubra. al-Hind: Da’irah al-Ma’arif.
Ibn Majah, Muhammad bin Yazid al-Qazwini. T.T. Sunan Ibn Majah tahqiq Muhammad Fuad Abd. Al-Baqi. Al-Qahirah: ‘Isa al-Babi al-Halabi.
Muslim bin al-Hajjaj. 1955/1374. Sahih Muslim, tahqiq Muhammad Fuad Abd al-Baqi. Al-Qahirah: ‘Isa al-Babi al-Halabi.
Muslim bin al-Hajjaj. T.T. al-Jami` al-Sahih al-Musamma Sahih Muslim. Al-Maktabah al-Shmilah
Al-Nasa’i, Ahmad bin Shu’ayb. T.T. al-Sunan al-Kubra. Al-Maktabah al-Shamilah.
Al-Nasa’i, Ahmad bin Shu’ayb. 1991/1411. . al-Sunan al-Kubra,tahqiq Dr. Abda al-Ghaffar Sulayman. Bayrut: Dar al-Kutub al-`Ilmiyyah.
Al-Tirmidhi, Muhammad bin `Isa bin Surah. 1937/1356. Sunan al-Tirmidhi, tahqiq Ahmad Muhammad Shakir. Al-Qahirah: Mustafa al-Babi al-Halabi.
Al-Tirmidhi, Muhammad bin `Isa bin Surah. T.T. Sunan al-Tirmidhi. Al-Maktabah al-Shamilah